PETiKAN : LAMAN-SERi <http://aman-seri.blogspot.com/>
 Manusia digalak bersedekah untuk naungan di hari
kiamat<http://laman-seri.blogspot.com/2010/03/manusia-digalak-bersedekah-untuk.html>
<http://4.bp.blogspot.com/_oV1RUxbNq84/S5vNDw-PAXI/AAAAAAAADp0/ljhNJypja9Y/s1600-h/sedekah.jpg>
Assalamualaikum warahmatullah,

SEORANG Muslim sentiasa khuatir akan nasibnya di hari kiamat kerana
memikirkan umat manusia bakal dibangkitkan dan dikumpulkan di padang Mahsyar
sedangkan matahari berada sangat dekat di kepala.

Bagaimanapun, umat Nabi Muhammad SAW bertuah kerana baginda sudah
menjelaskan bagaimana untuk mendapat naungan di hari kiamat seterusnya
berusaha melaksanakan apa yang patut demi kebahagiaan di akhirat nanti.
Antara keterangan Rasulullah SAW ialah hadis menyatakan bahawa naungan orang
beriman di hari kiamat sangat terkait dengan kebiasaannya mengeluarkan
sedekah sewaktu hidupnya di dunia.

Ketika di padang Mahsyar, setiap manusia menunggu giliran untuk diadili.
Semua akan merasakan panasnya matahari di atas kepala namun bagi yang rajin
bersedekah, bakal memperoleh naungan daripada matahari kerana sedekahnya
itu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Setiap orang berada di bawah
naungan sedekahnya (pada hari kiamat) hingga diputuskan di antara manusia
atau ia berkata: “Ditetapkan hukuman di antara manusia.” Yazid berkata:
“Abul Khair tidak pernah melewati satu hari pun melainkan ia bersedekah
padanya dengan sesuatu, walaupun hanya sepotong kuih atau bawang merah atau
seperti ini.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi, Al-Hakim dan Ibnu Khuzaimah)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW dengan jelas menyatakan: “Naungan orang
beriman di hari Kiamat adalah sedekahnya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Menyedari hakikat itu, rajin-rajinlah bersedekah supaya memperoleh naungan
di hari yang tidak ada naungan kecuali naungan Allah.

Jangan meremehkan amalan sedekah

Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang
bersedekah dengan sebutir kurma dari usaha yang halal, maka Allah akan
menerimanya dengan baik, lalu dipelihara-Nya seperti kamu memelihara anak
kambing atau anak unta sehingga sedekahmu itu bertambah besar menjadi
sebesar gunung atau lebih besar daripada itu.” (Hadis riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Janganlah kami meremehkan sedikitpun
perbuatan makruf sekalipun kamu sekadar menemui saudaramu dengan wajah
berseri.” (Hadis riwayat Muslim)

Daripada dua hadis di atas, ketahuilah dan janganlah sekali-kali kita
memandang remeh pemberian diberikan. Sesungguhnya bukan banyaknya sedekah
yang dikira, tetapi keikhlasan hati.

Sedekahlah apa saja mengikut kemampuan

Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya, “Hendaklah setiap orang Islam itu
bersedekah, jika ia tidak dapat berbuat demikian, maka hendaklah ia berusaha
sendiri yang dapat memberi faedah kepada dirinya sendiri dan dengan yang
demikian ia dapat bersedekah, jika ia tidak sanggup, maka hendaklah ia
menolong orang yang susah yang memerlukan bantuan, jika sekiranya ia dapat
berbuat demikian, maka hendaklah ia menyuruh orang lain mengerjakan
kebaikan, jika ia tidak dapat berbuat demikian juga, maka hendaklah menahan
dirinya daripada melakukan kejahatan, kerana yang demikian itu adalah
dianggap sedekah.” (Hadis riwayat Ahmad)

Suatu ketika, seorang sahabat pernah menyatakan kepada Rasulullah SAW bahawa
seorang miskin berdiri di depan pintu rumahnya. Maka dia tidak menemukan
sesuatu yang dapat di berikan kepada orang miskin itu. Maka Rasulullah SAW
bersabda kepadanya yang bermaksud: “Jika kamu tidak menemukan sesuatu yang
dapat kamu berikan kepadanya selain kuku binatang yang dibakar, maka
serahkanlah kepadanya di tangannya.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi)

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Ya Allah, sesungguhnya aku
berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan serta sikap pengecut
dan kebakhilan.” (Hadis riwayat Muslim)

Membantu orang yang tidak berada dan berkongsi menggunakan suatu kemudahan
juga merupakan sedekah dan salah satu daripada sifat yang amat dituntut di
dalam Islam. Setiap umat Islam hendaklah berusaha sedaya upaya untuk
melakukan kebaikan dan kebajikan di dalam hidupnya sama ada dengan
memberikan bantuan tenaga, buah fikiran atau memberikan nasihat yang berguna
kepada orang lain di mana semua ini dinilai sebagai sedekah.

*Kategori sedekah yang paling minimum adalah dengan menjauhkan diri daripada
melakukan perkara-perkara yang jahat (buruk) di mana dengan cara itu
seseorang telah dianggap menyelamatkan masyarakat sekitarnya daripada
keburukan dirinya yang boleh membahayakan orang lain.
*
Bersedekah hendaklah dilakukan dengan hati yang ikhlas dan bukan diiringi
dengan perasaan ingin menunjuk-nunjuk (riya’) kerana ini akan menghilangkan
pahala bersedekah.

Tujuh golongan insan contoh

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sebilangan manusia yang dinaungi
Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada
sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah:
Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah
kepada tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua
orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan
berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan
yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan
berkata:” Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi
sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan
kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak
ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana
mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.” (Hadis riwayat Abu Daud dan
Ibnu Majah)

Terdapat tujuh golongan yang bakal mendapat naungan di hari akhirat kelak
iaitu :

a) *Pemerintah yang adil* – Ini kerana tanggungjawab yang dipikul oleh
pemerintah dalam melaksanakan keadilan itu adalah perkara yang amat berat
dan bukanlah mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan
terhadap semua rakyatnya. Sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikan,
ganjarannya adalah amat besar sekali. Namun jika gagal, dia menjadi
pemerintah yang zalim dan azab menanti di akhirat kelak.

b) *Pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada
tuhannya*– Ini kerana sebaik-baik masa dan semahal-mahal harganya di
dalam hidup
seseorang manusia adalah ketika di alam remaja kerana di usia muda seseorang
itu mendapat peluang yang banyak untuk menghadapi masa hadapannya, badannya
sentiasa sihat, tenaganya kuat, pendengaran dan penglihatannya tajam dan
sempurna. Bahkan di masa muda juga berbagai-bagai ujian dan godaan terpaksa
ditempuhi. Maka beruntunglah pemuda yang berjaya melepasi
rintangan-rintangan ini bahkan usia mudanya itu diisi dengan amal ibadat
serta memberikan khidmat cemerlang kepada agama, masyarakat dan negara.

c) *Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid* – Sesungguhnya
terdapat hadis yang menyebutkan bahawa dua hayunan kaki yang melangkah ke
masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah SWT dan diketegorikan sebagai
suatu sedekah. Maka apatah lagi bagi orang yang hatinya sentiasa terikat
dengan masjid dan sentiasa mengunjunginya untuk beribadah, ganjarannya
tentulah lebih besar lagi.

d) *Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya
berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah* – Hubungan yang
terjalin di atas dasar yang bercanggah dengan syariat sehingga melanggar
batas-batas agama, adab kesopanan dan sebagainya adalah hubungan yang
menjurus ke arah dosa dan maksiat. Seharusnya ikatan kasih sayang yang
dijalinkan sesama manusia mestilah ikhlas kerana Allah agar perhubungan
tersebut mendapat pahala, restu dan keberkatan daripada-Nya.

e) *Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu
(berzina) dengannya lalu ia menolak dengan berkata, “Aku takut kepada
Allah!”* – Ini menunjukkan tentang keimanan dan ketaqwaan yang sebenar telah
berjaya menangkis segala bentuk godaan yang datang. Hal ini bukanlah mudah
kerana tanpa kekuatan iman seseorang itu pasti akan mudah terpengaruh dengan
bisikan nafsu dan akhirnya terjebak dalam perbuatan zina tanpa takut tentang
dosanya.

f) *Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak
mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya* – Ia menggambarkan mengenai
keikhlasan hati orang yang bersedekah. Sesungguhnya tidak ramai orang yang
dapat menyembunyikan kebaikan yang dilakukannya melainkan akan terdapat jua
perasaan riya’ dan ingin menunjuk-nunjuk supaya mendapatkan pujian atau
sanjungan dari orang ramai atau sekurang-kurangnya ada orang yang mengetahui
kebaikan yang dilakukannya itu.

g) *Orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada dalam
ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat
Jalal dan sifat Jamal Allah* – Inilah sifat muslim mukmin sejati yang
mempunyai perasaan cintakan Allah dengan sepenuh hatinya. Dia sentiasa
memikirkan dan menghayati tentang kejadian dan keagungan ciptaan Allah serta
sifat-sifat-Nya yang Maha Agung. Oleh yang demikian hati, fikiran dan
jiwanya terhindar daripada perkara-perkara yang melalaikan.

Renung-renungkan!

--
~ 睡眠不足のママ ~
http://laman-seri.blogspot.com
http://little-kiosk.blogspot.com
Everyone thinks of changing the world, but no one thinks of changing
himself. – Leo Tolstoy

¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤
Firman Allah SWT :
[7:179] Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan
dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya
untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak
dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka
mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat
Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi.
Mereka itulah orang-orang yang lalai.

Hadis Rasulullah SAW:
Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW., sabdanya: "Siapa yang tasbih
tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga
kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya
seratus dengan membaca: "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul
mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir. Maka diampuni Allah
segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih di lautan." (Hadis riwayat
Muslim)
¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤

Kirim email ke