PETIKAN : http://aku-ok.com/

 Niat Baik Yang
Membinasakan<http://aku-ok.com/blog/2010/07/niat-baik-yang-membinasakan/>

<http://aku-ok.com/blog/wp-content/uploads/2010/07/Niat-baik-yang-membinasakan-pixca.jpg>

Biar siapa pun kita… Biar setinggi mana pun ilmu kita… Biar sekaya mana pun
kita…

Satu hal yang pasti… kita tidak akan mampu membohongi Allah swt walau sesaat
sekali pun.

Niat memainkan peranan yang penting dalam sesuatu perlakuan. Tanpa niat
perlakuan tidak akan timbul. Biar apa pun perlakuan kita namun sedar atau
tidak sedar ianya telah diawali dengan niat cuma mungkin kita tidak sedar
akan keberadaannya. Mungkin bagi kita niat adalah satu ucapan dan mungkin
ada juga yang mengatakan yang niat adalah lintasan hati atau boleh jadi apa
yang dirasa dalam hati. Biar apapun keadaannya, caranya ianya tetaplah niat.
Begitu jugalah niat yang baik tetapi seringkali memakan diri.

Saya pernah ditanya tentang hal ini, kata si penanya “mengapa kadangkala
niat yang baik tetapi akhirnya membawa keegooan yang tinggi dalam diri
seseorang?” Mungkin selama ini terlepas pandang kaitan niat dan nafsu dalam
melaksanakan tindakan. Sebagai contoh, kita berniat baik untuk mengajarkan
sesuatu perkara yang baik kepada seseorang tetapi kita mungkin alpa dalam
menilai nafsu yang ada dalam niat baik kita.

Kita mungkin menjadi terlalu bercita-cita tinggi dalam menjadikan seseorang
itu baik hinggakan perlakuan kita dipenuhi dengan ego. Kita menasihati
seseorang untuk melakukan kebaikan dengan harapan mereka akan berubah ke
arah lebih baik. Kita memberi nasihat bersungguh-sungguh supaya perubahan
dapat berlaku namun jika sebaliknya orang yang dinasihati itu tidak
mendengar nasihat yang diutarakan kita menjadi emosi. Maka di situlah
letaknya ego. Kita lupa bahawa kita perlu melakukan apa sahaja untuk membawa
transformasi yang baik namun jangan dilupa bahawa keputusan atau hasil itu
tetap menjadi hak milik mutlak Allah swt.

Saya sendiri pernah ditanya “ mengapa orang bukan Islam bersetuju dengan
Islam tetapi tidak mahu masuk Islam?” Inilah titik ego yang halus yang sudah
terlepas pandang. Kita menasihati seseorang kerana kemahuan kita bukan
kerana kasih sayang. Kasih sayang sentiasa akan timbul dari jiwa yang tenang
yang sentiasa mengingati Allah swt dengan jiwanya. Satu kisah yang sering
kita dengar yang pernah dihuraikan oleh Al-Ghazali mungkin dapat memberi
gambaran tentang niat yang dilihat baik tetapi sebenarnya membawa kemusnahan
diri.

Pada zaman Bani Israil terdapat seorang ahli ibadah yang begitu tekun
beribadah hinggakan sebahagian kehidupan hanya untuk berbakti kepada Allah
swt. Sebagai seorang abid, dia begitu menjaga hubungannya dengan Allah swt
dan hubungannya sesama insan. Pada suatu hari, dia mendapat tahu yang
masyarakat kampungnya menyembah sepohon pokok yang dianggap keramat.

Mendengar akan perbuatan yang merosakkan aqidah itu, emosinya menjadi marah
lalu dia berniat untuk menebang pokok yang menjadi punca kekufuran
masyarakat sekelilingnya, lalu diambilnya kapak lantas keluarlah dia untuk
menghapuskan kekufuran. Niatnya begitu baik dan begitu murni dan ini
menimbulkan keresahan pada Iblis. Maka dipertengahan jalan menuju ke pokok
tersebut, ahli ibadah ini bertemu dengan iblis menjelma menjadi seorang
lelaki tua.

Iblis kemudiannya bertanya kepada ahli ibadah ke manakah tujuannya dengan
membawa kapak. Ahli ibadah menjawab soalan iblis yang menjelma sebagai
lelaki tua dengan penuh emosi “saya mahu ke sana untuk menebang pokok yang
disembah oleh masyarakat setempat. Saya akan tebang pokok itu!” Iblis cuba
memainkan peranan dalam membuat strategi agar niat ahli ibadah membatalkan
niatnya.

Iblis pun berkata “mengapakah kamu bersusah-payah mahu menebang pokok
tersebut hingga kamu sanggup meninggalkan ibadah kamu kepada Allah swt.”
Tanpa menghiraukan kata-kata iblis, ahli ibadah meneruskan meneruskan
perjalanannya dengan tekad tidak berbelah bahagi dan dia benar-benar mahu
menebang pokok kayu yang menyesatkan manusia itu.

Dek kerana kedegilan si abid ini maka berlakulah perkelahian antara keduanya
namun kerana tekad yang begitu kuat untuk membawa manusia kepada Allah swt
maka iblis dapat dikalahkan oleh ahli ibadah itu dengan mudah. Setelah kalah
dalam berlawan secara fizikal, iblis mula menggunakan pendekatan diplomasi
yang diharapkan dapat membuatkan ahli ibadah membatalkan niatnya.

Katanya “Allah swt tidak mewajibkan kamu menebang pokok tersebut dan tidak
pula mewajibkan kamu untuk mencegah masyarakat menyembah pokok tersebut.
Perkara ini adalah kewajipan serta tugas para Nabi dan Rasul, sedangkan kamu
bukan dari golongan tersebut. Biar apapun dikatakan iblis, ahli ibadah
tersebut tetap juga dengan pendiriannya untuk menebang pokok tersebut dan
ini menimbulkan kemarahan yang amat sangat kepada iblis lalu dia menggunakan
kekerasan untuk memastikan kegagalan misi ahli ibadah tersebut. Namun
keputusan tetap juga berpihak kepada ahli ibadah tersebut.

Melihatkan kekerasan hati ahli ibadah yang benar-benar nekad itu maka iblis
membuat satu tawaran. Iblis menawarkan ahli ibadah satu keberhasilan atau
keuntungan yang berterusan kerana ahli ibadah adalah seorang yang miskin dan
tidak berharta. Iblis memujuk ahli ibadah untuk menerima tawaran tersebut
supaya ahli ibadah dapat menghabiskan waktu dalam beribadah dan tidak tidak
perlu memikirkan hal-hal kewangan.

Iblis berkata “aku akan memberi kamu dua dinar setiap hari. Dengan itu kamu
boleh menggunakan satu dinar bagi keperluan nafkah kamu dan satu dinar lagi
bolehlahkamu sedekahkan untuk kaum fakir-miskin dan melarat. Wang sebanyak
dua dinar itu akan saya letakkan di bawah bantal kamu pada setiap pagi.”

Tanpa disedari oleh ahli ibadah tersebut, pujuk rayu iblis itu telah
menyusup masuk ke dalam benak mindanya. Si abid telah mula terbayang wang
yang bakal diperolehinya setiap pagi dan mengenangkan ianya dapat beribadat
lebih tekun tanpa memikir kewangan maka dia pun memutuskan untuk tidak
meneruskan niatnya lalu kembali ke rumahnya untuk kembali beribadah seperti
biasa. Seperti yang dijanjikan si iblis, pada pagi hari yang pertama
terdapat dua dinar di bawah bantalnya dan begitu juga pada hari kedua.

Ahli ibadah tersebut cukup berlapang dada kerana wang yang diperolehinya
begitu mudah dan dia merasakan dia akan dapat melakukan ibadah dengan lebih
tekun lagi. Namun hal itu tidak berlaku pada hari ketiga. Pada hari ketiga
wang yang dijanjikan iblis tidak berada di bawah bantal sebagaimana dua hari
yang lepas. Ahli ibadah tersebut mula berasa kecewa kerana dipermainkan. Dia
merasa dimungkiri lalu dia mengambil kapaknya dan keluar untuk meneruskan
niatnya yang terbantut akibat pujuk rayu iblis itu.

Dia pergi dalam keadaan yang begitu marah kepada kepada iblis kerana
menipunya tentang wang dua dinar yang dijanjikan. Dalam perjalanannya untuk
menebang pokok tersebut, dia bertemu kembali iblis yang menyerupai lelaki
yang menahannya beberepa hari lepas. Ahli ibadah itu memarahi si iblis dan
mereka bertengkar dengan hebatnya dan berlakulah pertempuran fizikal.

Anehnya, jika dahulu ahli ibadah ini dengan mudahnya mengalahkan iblis
tetapi kali ini yang berlaku adalah sebaliknya. Ahli ibadah dikalahkan
begitu mudah oleh si iblis tadi. Melihat ahli ibadah sudah dapat ditewaskan
dengan mudah maka iblis kemudiannya memberi amaran untuk ahli ibadah itu
meneruskan niat untuk menebang pokok berkenaan dan seandainya dia berdegil
dan meneruskan niatnya itu maka si iblis tidak teragak-agak untuk
menghapuskannya. Mereka kemudian berbalah hingga terfikir oleh ahli ibadah
tersebut itu untuk bertanyakan sesuatu yang bermain di fikirannya.

Ahli ibadah tersebut bertanya kepada iblis “mengapa engkau amat mudah untuk
aku kalahkan dalam dua pergaduhan yang awal tetapi kali ini aku pula yang
dapatkan kau kalahkan dengan mudah?”
Iblis kemudiannya menjawab dengan mudah “apakah yang engkau hairankan?
Bukankah pergaduhan pertama dan kedua itu kerana niat engkau ingin menebang
pokok supaya dapat menghindarkan masyarakat dari sesat dan engkau begitu
ikhlas dalam melakukannya. Namun kali ini engkau kalau kerana niat kamu
bukan lagi kerana Allah swt tetapi demi memenuhi tuntutan nafsu engkau.
Engkau ingin menebang pokok itu kerana kemarahan engkau apabila mendapati
tiada wang yang aku janjikan. Engkau aku kalahkan kerana niat mu.”

Walaupun kita sering mendengar cerita ini tetapi kita tidak perasan betapa
halusnya permainan yang ada dalam episod niat itu sendiri. Kita kelihatannya
mahu mengubah masyarakat agar kembali kepada kehidupan asas yakni yakin
sepenuhnya kepada Allah swt namun pada masa yang sama kita tidak perasaan
bahawa niat kita dikotori oleh nafsu duniawi yang halus tetapi cukup
merosakkan.

Kita mungkin melakukannya kerana kita bercita-cita tinggi untuk menjadi
seseorang yang dihormati atau kita melakukannya supaya kita punya gelaran
tertentu. Hal itu tiada siapa yang mengetahui dan tiada siapa yang berhak
menghakimi melainkan kita dan Allah swt. Saya menulisnya supaya kita
sama-sama merenungi kembali niat kita yang kelihatan baik tetapi memakan
diri sendiri kerana permainan nafsu diri yang dipacu oleh syaitan. Virus ini
bukan sahaja boleh merosakkan kita tetapi mampu memecah belahkan umat Islam.

Kita perlu melakukan atas niat yang murni kerana Allah swt. Kita perlu
sentiasa memeriksa niat kita agar kita tidak terlepas pandang kotoran yang
melekat padanya. Mungkin sekarang tidak, tetapi lama kelamaan kita mungkin
sahaja boleh menjadi orang ayang sombong atau berasa berilmu hingga melihat
orang lain seperti tidak berada di tahap kita. Ini adalah strategi yang
halus maka apa yang perlu kita lakukan adalah kembali kepada Allah swt
secara total dan kasih sayang Allah swt akan menyelamatkan kita dari
permainan yang cukup halus ini.

Dalam satu hadis riwayat bukhari dan muslim : “Dari Abi Bakr, bahawasanya
Rasulullah berkata: Jika dua orang Muslim berkelahi memakai pedang, maka
yang membunuh dan yang dibunuh masuk neraka. Saya bertanya: Ya Rasulullah!
Yang membunuh sudah dimaklumi, akan tetapi mengapa pula terjadi begitu
kepada yang dibunuh? Nabi berkata: kerana yang dibunuh itu pada awalnya juga
bermaksud juga untuk membunuh lawannya itu.”

Semoga mulai hari ini kita berjaga dengan keluhuran niat agar niat yang baik
tidak memusnahkan diri. wallahu a’lam.

--
~ 睡眠不足のママ ~
http://laman-seri.blogspot.com
http://little-kiosk.blogspot.com
Everyone thinks of changing the world, but no one thinks of changing
himself. – Leo Tolstoy

¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤

Kirim email ke