SMI Hidayah Johor Bahru tawan pentas akhir debat MUSLEH 
http://www.malaysiaharmoni.com/index.php/nasional/33-nasional/372-smi-hidayah-johor-bahru-terus-ungguli-debat-musleh







                        Ahad, 11 Julai 2010 23:03


                        TM Lim








 KUALA LUMPUR -
 Tahun ini ternyata manis buat Sekolah Menengah Islam Hidayah Johor
Bahru (SMIHJB) apabila   pasukan debatnya berjaya menggegar gelanggang
akhir Kejohanan Debat Antarabangsa Pelajar MUSLEH Kali   Ke-2 Tahun 2010
 bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

Meskipun sekadar menjadi naib juara dalam kategori
Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris, dewan di tingkat empat   Hotel Putra
Kuala Lumpur gamat dengan sorakan apabila SMIHJB diumumkan pemenang
perlawanan akhir   kategori Bahasa Melayu.  SMIHJB yang
dibarisi Ili Syazwani, Raihana Zakaria dan Nadiah Syahirah serta Mohd
Hanif selaku pendebat   simpanan menewaskan Kolej Islam Sultan Alam Shah
 (KISAS) yang diwakili Syed Fahmi, Muhd Firdaus, Haris   Safwan serta
Aifa Nadhirah. Bertindak sebagai 'Speaker Dewan' pula ialah Muhammad
Talhah Ajmain (gambar kiri) dari   Universiti Malaya,
manakala Hasif Hishamuddin sebagai penjaga masa.
 Debat ala Parlimen dengan usul 'Dewan ini percaya kita perlu berkeras
dengan Israel' menyaksikan barisan lima   juri diketuai Pembantu
Pengarah di Jabatan Komunikasi dan Pengembangan Pengucapan Universiti
Islam   Antarabangsa Malaysia (UIAM), Amirul Zaidi Che Ros memberikan
kemenangan 5-0 kepada SMIHJB. SMIHJB   bertindak selaku pembangkang yang
 menolak usul berkenaan.  Gelaran
Pendebat Terbaik Bahasa Melayu bagaimanapun menjadi milik Muhd Firdaus (gambar
 kanan) yang berjaya menawan   para juri dengan hujahannya yang
 kemas dan bernas terutama dalam sesi penggulungan.  Terdahulu, dalam kategori 
Bahasa Arab, KISAS mengatasi
pasukan A dari SMIHJB dengan perbezaan markah   hanya 7.1 peratus. Usul
bertajuk 'Campur tangan ahli anggota ASEAN dalam hal ehwal dalaman ahli
satu   keperluan' turut menobatkan wakil KISAS, Nur Farhanah sebagai
pendebat terbaik.  Bagi kategori Bahasa Inggeris
pula, Sri Ayesha Islamic School (SAIC) Kajang membuktikan keunggulannya
  apabila menundukkan pencabarnya yang juga dari SMIHJB. Gelaran
pendebat terbaik turut dimonopoli SAIC   menerusi pesertanya,
Nurkamalia.  Pendebat terbaik keseluruhan untuk
kategori Bahasa Melayu jatuh kepada Husna Iskandar (SMI Al-Amin Bangi),
  manakala untuk kategori Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris masing-masing
dirangkul oleh  Anis Amirah Zakaria   (KISAS) dan Adibah Bahiyah Awang
(SMI Al-Amin Gombak). Pengetua SMIHJB, Kamaliah
Nordin (gambar kiri) yang ditemui melahirkan rasa
syukur atas pencapaian wakil-wakil sekolahnya yang berjaya melangkah
hingga ke peringkat akhir dalam ketiga-tiga kategori pada tahun ini.

"Debat
 memang menjadi niche atau fokus sekolah sejak 4-5 tahun lepas.
 Alhamdulillah, ia dimasukkan ke dalam perancangan strategik sekolah dan
 bolehlah saya katakan hasilnya mula kelihatan sekarang," ujar beliau
apabila ditanya tentang rahsia kejayaan SMIHJB.

"Saya juga amat
berbangga dengan kumpulan alumni pendebat sekolah yang begitu komited
melatih serta mencurahkan pengalaman mereka sehingga melahirkan pendebat
 pelapis peringkat sekolah. Hasilnya, SMIHJB telah beberapa kali muncul
johan dalam pertandingan yang disertai," tambahnya.

Beliau
berharap arena debat dilihat sebagai unsur yang dapat membentuk sahsiah
pelajar kerana ia bukan setakat melatih pelajar bercakap tetapi juga
bersabar, gigih, tabah dan mengawal diri ketika berdebat. "Semua kualiti
 ini amat penting untuk du'at (pendakwah)," katanya.  Kejohanan tahun ini 
menunjukkan peningkatan
memberangsangkan apabila disertai oleh beberapa buah sekolah   berasrama
  penuh seperti KISAS, Maktab Melayu Kuala Kangsar dan Sekolah Sultan
Alam Shah Putrajaya.    Kejohanan ini adalah anjuran bersama Pertubuhan IKRAM
Malaysia (IKRAM), Musleh Berhad (Pusat Pendidikan   SRI-SMI Bhd), UIAM
dan International Center for Educational Excellence Bhd (ICEE) untuk
pelajar-pelajar sekolah   menengah yang berlangsung dari 8 hingga 11
Julai 2010 di Hotel Putra, Jalan Tun Razak di sini. Acara perasmian
penutupannya telah disempurnakan oleh Setiausaha Dewan Negara, Datuk
Zamani   Sulaiman.  Seramai 158 orang pelajar
dari dalam dan luar negara membabitkan 40 buah pasukan debat telah
mendaftarkan   diri untuk menyertai kejohanan berkenaan. Kejohanan kali
ini turut dimeriahkan dengan penyertaan dua buah   pasukan debat dari
negara jiran, Indonesia. Penyertaan dalam negara pula terdiri daripada
pelajar-pelajar jaringan   sekolah menengah rangkaian Musleh (14 buah)
dan sekolah swasta yang lain iaitu Sekolah Menengah Islam ADNI,   Sri
Ayesha Islamic School Kajang dan International Islamic School Kota
Damansara.   Foto-foto oleh M Nasim



      

Kirim email ke