Salahguna Akta Polis - PAS akan saman Kerajaan Malaysia                   
                          Harakahdaily      
         Tue | Apr 17, 07 | 01:25:05 PM                          KUALA LUMPUR, 
17 April (Hrkh) - PAS akan memfailkan saman terhadap Kerajaan   Malaysia dengan 
meminta mahkamah memerintahkan kerajaan memansuhkan   keseluruhan Seksyen 27 
dan 27 (A) Akta Polis 1967, kerana ia memberi ruang   kepada pihak polis 
melakukan tindakan yang bercanggah dengan prinsip   kebebasan bersuara dan 
demokrasi.

  

    Ketua Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS, Mohamed Hanipa Maidin 
  berkata, pihaknya akan memfailkan saman atas nama Setiausaha Agung PAS, Dato' 
  Kamarudin Jaffar terhadap kerajaan, dalam waktu terdekat ini.

 
 Menurutnya keputusan untuk menyaman kerajaan dibuat dalam mesyuarat bulanan   
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ahad lepas.

 
 Hanipa menjelaskan kedua-dua akta berkaitan dengan perhimpunan di tempat awam  
 yang memerlukan lesen daripada Ketua Polis Daerah dan kuasa polis untuk   
menghentikan sebarang aktiviti di tempat persendirian.

 
 Menurut beliau, dua Inkuiri Awam yang dikendalikan Suhakam berhubung dengan   
keganasan polis di Lebuhraya Tol Kesas dan Perhimpunan Anti Tol di KLCC   
mencadangkan supaya akta tersebut dimansuhkan.

 
 Beliau berkata, saranan tersebut terkandung dalam semua laporan Suhakam   
secara terperinci dalam kedua-dua kes terbabit.

 
 Manakala katanya, Suruhanjaya Di Raja Bagi Meningkatkan Operasi Polis Di Raja  
 Malaysia turut mencadangkan kedua-dua akta tersebut dipinda.

 
 "Saman ini akan difailkan kerana pihak Suhakam telah dua kali mencadangkan   
supaya kerajaan memansuhkan Seksyen 27 dan 27 (A), namun sehingga kini   
kerajaan tidak berbuat apa-apa," tegasnya.

 
 Setakat ini kata beliau, empat kes di Johor, masing-masing satu kes di Pahang  
 dan Negeri Sembilan dibicarakan di bawah akta tersebut, semuanya dimenangi   
oleh PAS.

 
 "Terbaru dalam kes Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu di Jelebu, mahkamah   
membebaskan beliau dan semua yang tertuduh."

 
 "Setakat ini, semua pemimpin dan ahli PAS yang didakwa berhimpun secara haram  
  di bawah akta tersebut, dibebaskan," jelas Hanipa. - mr


       
---------------------------------
 Yahoo! Mail is the world's favourite email. Don't settle for less, sign up for 
your freeaccount today.

Kirim email ke