PETiKAN BLOG i FOLLOW : http://resipihidup-bersamasuzana.blogspot.com/

Teknik mententeramkan insan yang
kecewa<http://resipihidup-bersamasuzana.blogspot.com/2010/04/teknik-mententeramkan-insan-yang-kecewa.html>
 Pernahkah anda berdepan dengan rakan atau saudara anda yang kecewa? Kecewa
dalam peperiksaan, pekerjaan, percintaan, perkahwinan dan berbagai
kekecewaan lain? Bagaimana reaksi mereka? Sedih adalah perkara biasa.
Menangis juga adalah perkara biasa tetapi tidak boleh dibiarkan berlarutan
kerana mampu mengundang masalah lain pula. Meraung? Menjerit? Marah-marah?
Fenomena ini juga bukan agak luar biasa tetapi adalah melampau. Biasanya,
kekecewaan melampau ini terjadi dalam perhubungan cinta atau perkahwinan.
Perbuatan meraung, menjerit atau marah-marah adalah kesan tekanan melampau
yang dirasai oleh seseorang yang kecewa terhadap sesuatu. Perbuatan ini
perlu dihentikan segera kerana jika dibiarkan, akan membawa padah bukan
sahaja kepada insan yang kecewa sebaliknya kepada insan sekelilingnya juga.

Jika anda berhadapan dengan insan-insan kecewa dan bersikap seperti ini,
anda perlu bertindak untuk mententeramkan mereka. Perkara pertama yang perlu
anda lakukan ialah takluk dan tandingi mereka. Sudah pastilah anda perlu
bersikap lebih agresif berbanding rakan atau saudara anda yang kecewa itu.
Bukan agresif yang negatif sebaliknya yang positif. Jika insan kecewa
tersebut menangis meraung-raung, pegang atau peluk dirinya agar dia rasa
lebih tenang. Jika anda tidak berdaya memegang atau memeluknya, contohnya
insan kecewa yang menangis dan meraung-raung itu adalah rakan atau saudara
berlainan jantina dan tidak ada orang lain bersama anda berdua tika itu,
paksa dia berhenti menangis dan meraung.

Tanyakan, apakah dengan meraung, kecewanya akan hilang? Jika dia putus
cinta, persoalkan apakah dengan meraung, cintanya akan kembali bersatu?
Kenapa perlu meraung sakitkan fikiran dan emosi sendiri kerana insan yang
tak menyayangi dirinya? Tanamkan dalam fikirannya, hidupnya takkan berakhir
walau tanpa insan yang mengecewakan dirinya itu. Dah nyata insan yang
mengecewakan tersebut bukan lelaki atau gadis terbaik untuk dirinya. Minta
dia ingati dan kenang ibu bapa atau siapa sahaja insan tersayang lainnya
yang ada di dalam hidupnya. Apakah perasaan mereka jika melihat dirinya yang
bersikap sedemikian? Sudah tentu mereka juga akan sedih dan kecewa. Apakah
dia sanggup kecewakan orang yang betul-betul ikhlas menyayangi semata-mata
kerana seorang insan penipu?

Mungkin tika ini, anda perlu tinggikan sedikit suara anda. Yang penting,
anda perlu menakluk dan menandingi emosinya tika itu. Insan yang menangis
dan meraung ini terlalu mengikut perasaan hingga tidak mampu memikirkan
perkara lain kecuali kekecewaannya. Tugas dan peranan anda untuk membawa
emosi dan perasaannya ke dunia nyata semula. Sama juga jika insan kecewa
tersebut menjerit atau marah-marah. Tindakan tersebut adalah satu luahan
kekecewaan. Tika ini, anda perlu lawan emosi marah tersebut. Bukan marahkan
sikapnya sebaliknya mengingatkan insan kecewa tersebut agar tidak marahkan
orang lain yang tidak bersalah dan tidak ada kaitan dengan kekecewaannya.

Paling penting, minta dia istighfar ingatkan Allah. Minta rakan anda itu
ucapkan Allah, Allah, Allah berulang kali. InsyaAllah, dalam beberapa ketika
sahaja, dia akan mula tenteram dan tenang. Minta insan kecewa ini mandi dan
sejukkan diri sekaligus sejukkan emosi dan tekanan perasaannya. Anda juga
perlu memantau setiap perlakuan dan perbuatan insan kecewa ini. Jangan
biarkan dia bersendirian. Elakkan daripada membincangkan perkara yang
mengecewakan tersebut jika dia belum bersedia. Dia hanya bersedia jika anda
dapati, dia boleh bercakap mengenai kekecewaan tersebut secara bersahaja.
Hingga tiba saat itu, setiap kali dia cuba luahkan kekecewaannya, minta dia
bertenang dan jangan dikenang lagi kisah-kisah lama yang boleh melukakan
lagi hatinya. Jangan minta dia melupakan sebaliknya elakkan dari memikirkan
kisah-kisah luka tersebut dengan menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti.

Cuba elakkan daripada menyebut perkataan sabar sebab ada tikanya perkataan
sabar ini akan lebih menambahkan kekecewaannya. Kenapa? Semua orang tahu,
sabar adalah perkara yang perlu dipraktikkan dalam setiap agenda kehidupan
tetapi sabar bukanlah perkara yang mudah dilakukan. Bagi insan-insan yang
kecewa, sabar boleh mengundang pelbagai maksud. Ada tikanya, perkataan sabar
mampu didefinisikan sebagai hidupnya sedang berdepan dengan ujian yang maha
berat dan sukar ditangani. Ada juga yang merasakan dia perlu bersendirian
mengharungi hidupnya.

Sebaliknya anda boleh gunakan perkataan tabah, kuat, boleh dan pelbagai lagi
kata-kata semangat dan motivasi. Ceritakan kisah orang lain yang lebih
menyayat hati tetapi orang tersebut mampu meneruskan kehidupan seperti biasa
agar insan kecewa tadi sedar dan tahu, bukan dia sahaja yang diuji oleh
Allah malah ada orang lain yang lebih teruk ujiannya dan mampu meneruskan
hidup dengan ceria. Minta dia lebih dekatkan diri kepada Allah dan mohon
kekuatan daripada-Nya. InsyaAllah, kekecewaan akan beransur hilang walau
kisah duka masih belum luput di fikiran.

****Siaran September 2008

Kirim email ke