Adakah Tun Dr Mahathir cuba mengkritik kepimpinan negara secara halus dan tidak 
langsung ? Malaysia boleh mencapai Wawasan 2020, iaitu untuk mencapai status 
negara maju, sekiranya beberapa strategi pembangunan dan ekonomi ditukar, kata 
Tun Dr Mahathir Mohamad. Untuk mencapai Wawasan 2020, negara perlu memperoleh 
pertumbuhan ekonomi sebanyak tujuh peratus setiap tahun bagi tempoh 30 tahun.

Sebelum ini pun Tun Dr Mahathir secara tidak langsung mengkritik pembelian 
helikopter Eurocopter untuk menggantikan helikopter Nuri TUDM, kisahnya di 
http://amkns.blogspot.com/2010/07/dr-mahathir-perli-pembelian-helikopter.html 

*********************** 
09 Julai, 2010 00:14 AM

Wawasan 2020 Mampu Dicapai Jika Beberapa Strategi Pembangunan Dan Ekonomi 
Ditukar - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Malaysia boleh mencapai Wawasan 2020, iaitu 
untuk mencapai status negara maju, sekiranya beberapa strategi pembangunan dan 
ekonomi ditukar, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri yang mengilhamkan wawasan itu pada 1991, berkata ini 
kerana krisis kewangan dunia serta krisis dalaman negeri pada tahun 1997 dan 
1998 sedikit sebanyak telah menyekat pertumbuhan ekonomi negara seperti yang 
dirancang.

"Untuk mencapai Wawasan 2020, negara perlu memperoleh pertumbuhan ekonomi 
sebanyak tujuh peratus setiap tahun bagi tempoh 30 tahun," katanya pada 'Forum 
RMK-10 KITA' Siri 3 anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan di 
Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam Khamis, dan disiarkan secara langsung 
melalui TV1.

Dr Mahathir berkata bagaimanapun, strategi pembangunan dan ekonomi yang perlu 
ditukar itu harus dibincang dengan lebih mendalam bagi mengenal pasti bentuk 
strategi yang boleh menggalakkan pertumbuhan yang lebih besar.

"Ada cara-caranya, tapi kita kena perah otak supaya kita dapat satu idea 
bagaimana untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Mengenai pembangunan Kampung Baru di Kuala Lumpur, Dr Mahathir mencadangkan 
supaya kaum lain turut terlibat dalam program pembangunan itu supaya ia dapat 
dijadikan daya penarik dalam usaha tersebut.

"Saya berpendapat perlu ada kaum lain yang mengambil bahagian. Kita tidak boleh 
tentukan 40 peratus ke 50 peratus tetapi sedikit sebanyak mesti ada, kerana ia 
adalah satu daya penarik.

"Kalau tidak ada kaum lain berniaga bersama, orang Melayu pun tidak akan datang 
kerana memang sudah kepercayaan kononnya orang Melayu tidak boleh berniaga," 
katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata punca masyarakat Melayu masih berkurangan dalam 
senarai 40 orang terkaya di negara ini walaupun Malaysia telah 50 tahun merdeka 
adalah kerana dakwanya orang Melayu masih "tidak dapat mengawal nafsu dan 
terlalu boros."

"Kita tidak kawal nafsu, kita dapat duit sahaja (kita) hendak belanja. Saya 
jumpa dengan seorang kawan Cina, katanya masalah mengenai Bumiputera, tidak 
pandai hendak menguruskan tunai, ada duit sahaja hendak belanja, belum jadi 
duit sendiri pun sudah belanja," katanya.

Dr Mahathir turut menegaskan bahawa Rancangan Malaysia Ke-10 bukan bersifat 
rasis walaupun banyak memberi tumpuan kepada agenda pembangunan Bumiputera.

"(RMK-10) hanya bertujuan menyamakan pendapatan semua rakyat Malaysia tanpa 
mengira kaum. Tumpuan mesti diberikan kepada yang tertinggal kerana yang di 
belakang tidak dapat kejar yang di depan," katanya.

-- BERNAMA 
 
http://www.bernama.com.my/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=512069 



      

Kirim email ke