Kolam renang memang elok. Kalau ada duit lebih apa salahnya. Adakah Kementerian 
Pertahanan mempunyai banyak lebihan duit ? Tapi adakah ianya lebih utama. 
Apakah semua kem tentera di Malaysia ada kolam renang ? Macamana nak senggara 
kolam renang bersaiz olimpik dalam hutan ? Pasti kosnya lebih tinggi daripada 
nak senggara kolam renang yang terdapat di bandar. Siapa pula yang akan dapat 
kontrak senggera semua kolam renang ini, yang mungkin lebih tinggi dari kos 
membina kolam renang.

************************* 
Kolam renang di kem PLKN
Utusan Malaysia 31 Ogos 2010 

PULAU PINANG 30 Ogos - Semua 78 kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di 
negara ini bakal mempunyai sebuah kolam renang bersaiz olimpik sekiranya 
cadangan pembinaannya dipersetujui Kementerian Pertahanan kelak.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang 
Kechil berkata, cadangan itu bertujuan menambah keyakinan pelatih apabila 
menjalankan aktiviti dalam air. 

Menurutnya, langkah membina kolam renang yang dianggarkan bernilai RM500,000 
setiap satu juga merupakan satu pelan jangka panjang bagi memastikan setiap 
program yang melibatkan penggunaannya dapat dilaksanakan dengan jayanya.

"Sekarang ini di semua kem PLKN kita ada kolam latihan untuk melakukan aktiviti 
seperti berkayak dan ia masih tetap akan digunakan walaupun kita ada cadangan 
hendak bina kolam renang.

"Pembinaan kolam renang itu juga antara lain bagi mengelakkan sebarang ancaman 
pencemaran seperti leptospirosis ketika mereka (pelatih) membuat latihan," 
katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Ambang 
Merdeka sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53 di Dewan PLKN Seri Mutiara di 
Balik Pulau, dekat sini, hari ini. 

Pada majlis tersebut, sebanyak tujuh kumpulan yang mewakili dua buah kem iaitu 
masing-masing Kem PLKN Seri Mutiara dan Kem PLKN White Resort di sini membuat 
persembahan bertemakan Warisan Negara.

Mengulas lanjut, tambahnya, pembinaan kolam renang berkenaan dicadangkan oleh 
beberapa pengusaha kem dan buat masa ini kem PLKN di Junaco Park, Sibu, Sarawak 
telah memulakan inisiatif tersebut.

"Perkara ini masih di peringkat awal dan kita akan meminta nasihat daripada 
Kementerian Pertahanan sama ada langkah membina kolam renang di kem PLKN sesuai 
atau tidak.

"Sehubungan itu, JLKN akan membentangkan cadangan yang baik ini kepada pihak 
kementerian pada mesyuarat yang bakal diadakan sebelum hujung bulan ini," 
katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_17.htm
 



      

Kirim email ke