MATRIKULASI sebenarnya merugikan orang Melayu lantaran ramai yang menempuh 
tempoh pengajian selama satu hingga dua tahun yang dianggap sia-sia kerana 
akhirnya tidak berjaya mendapat tempat dalam kursus yang dikehendaki. Majikan 
ketika ini lebih gemar memilih pekerja yang mempunyai kemahiran khusus serta 
lebih fokus

*******************************
Bazir masa dua tahun jika gagal ikuti kursus diminati

Berita Harian 25 Jun 2010

MATRIKULASI sebenarnya merugikan orang Melayu lantaran ramai yang menempuh 
tempoh pengajian selama satu hingga dua tahun yang dianggap sia-sia kerana 
akhirnya tidak berjaya mendapat tempat dalam kursus yang dikehendaki, sedangkan 
mereka adalah kumpulan pelajar berpotensi dan cemerlang pada peringkat SPM.

Itu antara pandangan yang dilontarkan Presiden Gabungan Pelajar Melayu 
Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim, ketika diminta mengulas mengenai senario 
kedudukan pelajar matrikulasi terutama membabitkan pelajar Bumiputera.

Kata beliau, majikan ketika ini lebih gemar memilih pekerja yang mempunyai 
kemahiran khusus serta lebih fokus. “Secara perhitungan kasar, pelajar yang 
gagal peringkat matrikulasi sudah membazirkan masa selama hampir dua tahun, 
sedangkan jika mereka mengikuti program diploma, dalam masa lima tahun, mereka 
sudah boleh menyelesaikan pengajian sehingga ke peringkat ijazah. Malah, ada 
yang boleh mendapat ijazah dalam masa empat tahun.

“Berbeza dengan pelajar matrikulasi, kebanyakan mereka terpaksa melalui tempoh 
pengajian hampir enam tahun untuk memiliki ijazah, sedangkan mereka pelajar 
cemerlang,” katanya.

Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Pahang, Mohd Aedlan Nur 
Ahmad, berkata beliau sendiri adalah produk matrikulasi yang dikecewakan kerana 
tidak mendapat kursus dikehendaki meskipun kelulusannya layak untuk memasuki 
bidang berkenaan.

“Ketika matrikulasi saya memilih bidang biologi tetapi ditawarkan untuk kursus 
dalam bidang kejuruteraan. Ia menyebabkan saya terpaksa belajar semula bidang 
fizik. Ia membuktikan dakwaan ramai orang yang matrikulasi sebagai tiket untuk 
masuk ke IPT tanpa mengambil kira kursus yang diingini.

“Bagi saya, pelajar diploma lebih baik sebabnya sejak awal lagi sudah 
didedahkan dengan bidang kursus tertentu dan alam pengajian di IPT. Berbeza 
dengan pengalaman di matrikulasi, setahun di sana bagai tiada apa-apa. Saya 
sebenarnya cemburu melihat rakan dari program diploma.

“Mereka (pelajar diploma) nampak seakan-akan sudah menguasai banyak bidang 
berbanding kami yang lahir daripada program matrikulasi. Mereka juga menguasai 
banyak ilmu luar kelas termasuk kepemimpinan. Pendek kata, mereka lebih 
matang,” katanya.

Bagi Mohd Aedlan, paling mengecewakan ialah sepanjang pengamatannya, hampir 
lebih separuh daripada pelajar di matrikulasi tidak mendapat tempat dalam 
jurusan yang diingini.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/2010062420434320100624204343/Article




Kirim email ke