Disebabkan PM nak datang melawat Perak, peniaga pasar malam diarah tutup selama 
dua hari. Siapa nak bayar ganti rugi ? Sebelum ni pun peniaga Melayu ditindas 
dan diarah roboh gerai di Negeri Sembilan bila Menteri datang buat Program 
Juara Rakyat, kisahnya di 
http://buletinlabu.blogspot.com/2010/03/notis-roboh-gerai-di-tmn-gadong-jaya.html

************************************
Arahan tutup pasar malam sempena lawatan PM tidak munasabah

Berita Harian 15 Jun 2010

SELURUH masyarakat Bagan Datoh di Perak berasa bangga apabila Perdana Menteri, 
Datuk Seri Najib Razak sudi melapangkan masa untuk melakukan lawatan kerja, 
Ahad ini. Sudah pasti pelbagai persiapan harus dibuat agar kedatangan pemimpin 
utama negara disambut dengan baik serta berjalan lancar.

Akan tetapi dalam keseronokan lawatan kerja itu, ada suatu tindakan yang amat 
mengecewakan pihak peniaga. Mana tidaknya, lawatan Perdana Menteri jatuh pada 
Ahad (20 Jun), satu arahan dikeluarkan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Teluk 
Intan (MPTI) mengarahkan agar peniaga pasar malam di Bagan Datoh yang 
sepatutnya berniaga pada hari Sabtu malam dan pasar sehari Ahad pagi untuk 
menutup perniagaan mereka bagi dua hari berkenaan.

Malah peniaga kecil dan penjaja tepi jalan juga diarah berbuat demikian tanpa 
alasan munasabah diberikan kepada mereka. Apa dilihat adalah satu penganiayaan 
dan tindakan yang langsung tidak masuk akal. Apakah dengan alasan kedua-dua 
pasar itu mengganggu urusan dan kelancaran majlis, sedangkan majlis yang 
dihadiri Perdana Menteri, jaraknya beberapa kilometer dari tapak pasar. Jika 
dikatakan ‘menyakitkan mata memandang’ ia tidak tersusun di satu tapak di 
sebelah pasar berbanding sebelumnya sepanjang jalan di pekan Bagan Datoh?

Persoalan timbul, apakah langkah ini hanya untuk menutup malu bagi MPTI kerana 
pekan Bagan Datoh ini hanya pekan ‘koboi’ atau dengan lain perkataan ‘hidup 
segan, mati tak mahu’.

Jika kita lihat impak sosioekonomi yang berlaku daripada arahan berkenaan, 
sudah pasti peniaga kecil sama ada di pasar malam atau pekan sehari, akan 
terjejas pendapatan mereka. Penutupan dua hari itu sudah pastinya merugikan. 
Apakah MPTI menyediakan peruntukan untuk membayar ganti rugi sebagai balasan 
kepada penutupan sementara itu?

Tindakan dan arahan MPTI dilihat langsung tidak selari dengan konsep yang 
dibawa oleh kepemimpinan negara iaitu “1 Malaysia: Rakyat Didahulukan, 
Pencapaian Diutamakan”.

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Bagan Datoh meminta MPTI 
mempertimbangkan semula arahan itu.

MOHAMAD ASRI SHAFII,
Yang Dipertua GPMS
Cawangan Bagan Datoh

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/ArahantutuppasarmalamsempenalawatanPMtidakmunasabah/Article




Kirim email ke