Beberapa kawasan pasar malam seperti di Chembong telah disusun semula. 
Perubahan susunan yang mendadak menjejaskan pendapatan peniaga kecil . 
Mewajibkan peniaga mengambil lesen RM 130 (campur RM10 wang proses)
Peniaga terpaksa membayar wang kutipan sampah 3 bulan sekali (in advance).
bayaran cagaran minimun RM120.

****************************************
KEADILAN prihatin nasib peniaga kecil Rembau

Berikut ialah petikan surat yang dihantar pagi tadi ke Pegawai Daerah merangkap 
YDP Maj. Daerah Rembau, respon kepada perjumpaan tertutup KEADILAN Rembau dan 
peniaga kecil pasar malam minggu lepas.

Ruj. Kami : pkrRembau / PKR / 2010 (013)

Tarikh : 16 Jun 2010

Kepada

Yang Di Pertua,
Majlis Daerah Rembau,
Rembau, N.Sembilan

Ybhg Tuan ;

ADUAN DAN MEMOHON PERTIMBANGAN MENGENAI SEWA DAN BEBERAPA ISU MENGENAI PASAR 
MALAM DALAM DAERAH REMBAU

Kami telah menerima aduan dan maklumat mengenai bayaran sewa tapak dan beberapa 
isu pengurusan pasar malam dalam daerah rembau.

Untuk itu kami dengan ini memanjangkan aduan dan maklumat tersebut untuk 
perhatian pihak tuan.

Penyusunan semula tapak

Maklumat yang kami perolehi bahawa ada beberapa kawasan pasar malam seperti di 
Chembong telah disusun semula. Kami faham mungkin MDR mempunyai alasan dari 
segi menaikkan imej dan seumpamanya, namun perlu dipertimbangkan juga mengenai 
peniaga yang telah lama meniaga dikawasan tersebut. Pelanggan sudah terbiasa 
dan mudah mencari gerai mereka mengikut susunan lama dan jika ada perubahan 
susunan yang mendadak sudah tentu ia bakal menjejaskan sedikit pendapatan 
peniaga kecil ini.

Kenaikan dan cara baru kutipan sewa

Maklumat yang kami perolehi ialah telah dikuatkuasa kadar dan cara pembayaran 
sewa yang baru.

Amaun terlalu tinggi

Kami menyokong mewajibkan peniaga mengambil lesen supaya ia lebih mudah 
diselia. Namun jumlah RM 130 (campur RM10 wang proses) mungkin boleh sedikit 
dipertimbangkan. Khususnya ia merupakan jumlah yang amat besar bagi peniaga 
kecil yang pendapatan tidak menentu dalam keadaan ekonomi negara yang juga 
tidak menentu.

Bayaran kutipan sampah 3 bulan sekali

Peniaga terpaksa membayar wang kutipan sampah 3 bulan sekali (in advance). Wang 
ini dikutip lebih dari satu tapak, bayangkan berapa jumlah bagi peniaga yang 
terpaksa membayar dahulu dan jika mereka punya lebih dari satu tapak dan lebih 
dari satu kawasan pasar malam. Keadaan lebih sulit bagi peniaga kecil apabila 
hari hujan, kenderaan rosak dan mengalamai masalah kesihatan sehingga mereka 
tidak dapat berniaga. Maka mereka masih terpaksa membayar wang kutipan sampah 
tapak walaupun mereka tidak berniaga.

Cagaran

Selain dari bayaran – bayaran tersebut diperkenalkan juga bayaran cagaran 
minimun RM120. Bayangkan jika peniaga hanya meniaga satu tapak sahaja di satu 
kawasan pasar malam sahaja. Maknanya dia cuma berniaga 5 jam seminggu sahaja, 
tetapi masih perlu membayar cagaran.

Gerai – gerai haram

Segala macam pembayaran diperkenalkan yang sepatutnya melihat Pasar Malam lebih 
terselia. Namun alasan memperkenalkan aturan dan perbagai bayaran bukan lasan 
yang baik untuk menyeliakan pasar malam. Setelah peniaga dibebani perbagai 
bayaran dan aturan, peniaga tetap berdepan dengan isu gerai haram (peniaga 
rambo). Penguatkuasaan lemah hanya tertumpu sebelum senja/maghrib. Maka 'rambo 
– rambo' ini akan membuka gerai selepas Maghrib dan peniaga yang telah membayar 
itu dan ini terpaksa bersaing dengan peniaga haram ini. Lebih malang lagi ada 
peniaga haram yang didatangi oleh penguatkuasa MDR dan mereka dikutip yuran 
tapak untuk hari tersebut.

Kami mencadangkan :

pertimbangkan semula bayaran lesen. Lihat sahaja peniaga pasar malam dalam 
kawasan yang lebih maju seperti Majlis Pembandaran Nilai contohnya mengenakan 
hanya RM 50 lesen (dan tambah RM10 pemprosesan).

Hapuskan atau kurangkan sehingga menjadi RM 50 sahaja wang cagaran. Jumlah yang 
tinggi bukan sahaja menyebabkan peniaga tertekan tetapi tidak baik bagi imej 
MDR yang dilihat cuba mengambil wang dan seolah membuat modal pusingan 
menyimpan selama setahun wang peniaga kecil.

Kami memahami cara kutipan baru (3 bulan sekali) mungkin diperkenalkan kerana 
kurang kakitangan MDR. Maka kami mencadangkan agar tapak – tapak pasar malam 
diberikan kepada organisasi masyarakat ataupun persatuan peniaga kecil pasar 
malam itu sendiri. Maka kutipan dapat dikembalikan kepada bentuk asal - harian. 
MDR mengutip lesen dan bayaran dari pengendali tapak pasar malam sahaja. Maka 
isu gerai haram juga secara tidak lansung boleh di atasi.

Kami juga melihat dalam komposisi ahli Majlis Daerah perlu diperbagaikan. 
Terlalu banyak hanya lantikan politik amat tidak baik, kerana mereka tidak 
mengetahui masalah sebenar dibawah seperti yang dihadapi peniaga kecil. Di 
Selangor contohnya lantikan ahli Majlis diperbagai. Ada anggota masyarakat 
biasa yang mewakili perbagai organisasi masyarakat seperti peniaga kecil, maka 
ia memberikan ruang yang lebih kepada rakyat menyuarakan pendapat. Jauh dari 
itu sudah tentu Pilihanraya Kerajaan Tempatan yang membenarkan rakyat di dalam 
satu – satu kawasan PBT memilih wakil mereka merupakan cara yang amat ideal. 
Mereka yang terpilih dengan undi rakyat sudah pasti akan melihat rakyat sebagai 
tumpuan utama bukan kelompok tertentu sahaja.

Melalui Pusat Aduan Rakyat Rembau, Parti Keadilan Rakyat akan terus 
mengenengahkan perbagai masalah rakyat dalam parlimen Rembau. Sudah tentu ada 
pihak yang rasa kurang senang dengan perbagai tindakan kami. Namun percayalah 
walaupun kami tidak punya sebarang 'kuasa politik' namun iltizam untuk terus 
membela rakyat tidak pernah pudar. Kami juga bersedia bekerja sama dengan mana 
– mana juga individu mahupun organisasi dalam membela rakyat. Dalam perkara ini 
kami juga bersedia bekerjasama dalam mencari formula terbaik dalam memastikan 
Rembau yang terurus disamping membela nasib peniaga kecil.

Kami tidak mahu mempolitikkan isu ini tetapi hanya ingin melihat pembelaan 
sewajarnya kepada peniaga kecil. Jika ini berlaku di Selangor atau mana – mana 
negeri di bawah Pakatan Rakyat percayalah ia bakal menjadi isu besar penghias 
media arus perdana.

Sekian dan terima kasih.

BADRUL HISHAM SHAHARIN a.k.a che'GuBard
Ketua Penyelaras
Pusat Aduan Rakyat Rembau
merangkap Ketua KEADILAN Cabang Rembau.

s.k :
semua peniaga pasar malam Majlis Daerah Rembau.
Ahli Parlimen Rembau
ADUN Chembong
ADUN Kota

http://chegubard.blogspot.com/2010/06/keadilan-prihatin-nasib-peniaga-kecil.html




Kirim email ke