Weekend Edition April 22-23, 2000

'Eksklusif' pula hadapi masalah permit KDN
Wartawan malaysiakini

6pm, SAB: Akhirnya jelas terbukti, Kementerian Dalam Negeri 'mengganggu' kebebasan akhbar di negara ini. Selepas akhbar PAS, Harakah, dihadkan jumlah terbitan daripada lapan kepada dua kali sebulan dan pengharaman majalah proreformasi, Detik, kini KDN mengenakan syarat kepada sebuah tabloid mingguan politik yang popular, Eksklusif.

Akhbar Berita Harian hari ini melaporkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Zin, sebagai berkata "pegawai (KDN) pernah menegur Eksklusif mengenai sebahagian laporan yang dikeluarkan yang dikhuatiri boleh menimbulkan rasa tidak senang pihak tertentu."

Semalam malaysiakini melaporkan "sebuah tabloid mingguan yang terkenal" tidak berjaya dicetak dan diedarkan hari ini kerana berdepan dengan masalah permit dengan KDN.

"Bagaimanapun, teguran itu tidak diberikan perhatian," kata Zainal lagi seperti dilaporkan.

Namun timbalan menteri itu tidak menjelaskan "teguran" kementerian itu.

Akhbar Eksklusif yang menjadi saingan terdekat sebuah lagi tabloid politik milik PAS, Harakah sering diedarkan pada hari Jumaat.

Selepas akhbar parti itu dihadkan penerbitannya, Eksklusif menjadi alternatif mingguan untuk mengetahui berita-berita politik yang "berbeza" daripada sumber maklumat arus rasmi.

"Kami yakin permit itu akan diluluskan," kata satu sumber dari syarikat itu.

Apabila dihubungi malaysiakini semalam, seorang pegawai di kementerian memberitahu bahawa akhbar mingguan terkenal itu masih tidak memperolehi permit dan beliau tidak mahu isu ini digembar-gemburkan.

"Saya tidak mahu mengulas lanjut, nanti ramai yang cuba membangkitkan isu ini," kata sumber itu lagi.

Mingguan politik itu diterbitkan oleh salah satu syarikat penerbitan milik Bumiputera yang terbesar, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, mulai April tahun lalu.

Ia pernah ditegur secara lisan lebih daripada tiga kali sepanjang satu tahun beroperasi kerana sering menerbitkan berita dan kenyataan pemimpin-pemimpin pembangkang.



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Send online invitations with Yahoo! Invites.

Kirim email ke