7 juta umat Islam di AS dalam kebimbangan SAN JOSE, California 13 Sept. - Kira-kira tujuh juta umat Islam di Amerika Syarikat (AS) berada dalam kebimbangan kerana sentimen anti-Islam dan anti-Arab kian memuncak setelah masjid-masjid dirosakkan sehari selepas serangan di New York dan Washington dikaitkan dengan jutawan Arab Saudi, Osama Bin Laden. Tingkap-tingkap di masjid Texas dipecahkan dan seorang warga New York diberkas kerana dipercayai menjadi ancaman kepada orang Arab. Di sebuah penjara di Washington pula tercetus pertelingkahan disebabkan penghinaan ke atas umat Islam. Sentimen anti-Islam itu memuncak setelah AS menuding jari kepada Osama Bin Laden yang didakwa menjadi orang yang paling disyaki melakukan serangan tersebut meskipun tiada bukti kukuh untuk mengaitkannya. ``Saya menggesa orang ramai supaya tidak bertindak sedemikian,'' kata Pengarah Eksekutif, Majlis Hubungan Islam-Amerika di Washington, Nihad Awad dipetik oleh AP. Di Suffolk County, New York, pihak berkuasa menahan seorang lelaki yang didakwa membuat ancaman anti-Arab dan menghala senapang patah kepada seorang pelanggan di sebuah stesen minyak. Di Texas, sekurang-kurangnya enam butir peluru menembusi tingkap-tingkap di Pusat Islam Irving, kata polis. Pihak berkuasa kawasan itu dan beberapa tempat lain tidak dapat memastikan sama ada ancaman itu mempunyai kaitan dengan serangan pengganas di New York dan Washington. Di Asbury, New Jersey, Ramandeep Singh yang memakai serban di kepala menyatakan, kereta miliknya dilemparkan sampah dan batu kerana menyangka dia dari Afghanistan. Dia mengambil keputusan untuk tidak keluar bekerja. Di penjara Washington pula, perbalahan tercetus ketika televisyen menyiarkan laporan mengenai serangan tersebut. Jurucakap polis berkata, insiden berlaku apabila salah seorang banduan secara lantang mengkritik Islam sehingga memaksa seorang banduan beragama Islam memukulnya. Di kedutaan Kuwait di Washington pula, Tamara Alfson terpaksa mententeramkan pelajar Kuwait yang ketakutan untuk ke sekolah mereka. Sementara itu, beberapa Pertubuhan Islam di Amerika Syarikat dalam kenyataannya telah mengingatkan masyarakat Islam supaya berwaspada terhadap kecenderungan media mengaitkan serangan tersebut dengan gerakan militan Islam. Di San Francisco, polis mengklasifikasikan insiden sebuah beg berisi darah ditinggalkan di pintu masuk Pusat Komuniti Islam (ICC) semalam, sebagai `jenayah kebencian'. Para pelajar Malaysia di Amerika Syarikat yang menghantar e-mel kepada [EMAIL PROTECTED] juga melahirkan kebimbangan terhadap situasi selepas serangan yang disifatkan lebih mengerikan daripada yang digambarkan oleh media. Salah seorang daripada mereka berkata: ``Pelajar-pelajar di sini telah diminta berjaga-jaga berikutan semangat anti-Islam yang mula timbul. ``Kebimbangan utama ialah untuk menunaikan solat Jumaat di masjid. ``Banyak laman web Islam telah pun ditutup berikutan e-mel berunsur kebencian terhadap Islam yang terlampau banyak. ``Pelajar Islam semua berada dalam keadaan yang cukup mencemaskan sekarang ini.''