Mood Rakyat Terengganu Menjelang Kemenangan (Siri 2)
 

Fathi Aris Omar melaporkan dari KUALA TERENGGANU
 
Rupa-rupanya rakyat Terengganu sungguh terpanggil dengan slogan Datuk Seri Anwar Ibrahim, "lawan tetap lawan" atau dalam loghat negeri penyu itu "lawang tetak
lawang". Sejak kedatangan Anwar dalam siri road-show nya ke Pantai Timur, sejak itulah rakyat Terengganu, khususnya ahli-ahli dan penyokong-penyokong Umno
sendiri, berdiri di belakang Anwar. Bukannya menyertai Gerakan Reformasi tetapi simpati yang mendalam terhadap nasib Anwar dan sekali gus meluat terhadap
pemimpin-pemimpin Umno yang masih pro-MAHAFIRAUN.
 
Ceramah-ceramah umum yang dihadiri Nurul Izzah dan Kak Wan dihadiri oleh ribuan manusia. Pernah suatu hari, ceramah Nurul Izzah
betul-betul di tengah bandar Kuala Terengganu, antara stesen bas utama dengan Pasar Kedai Payang, jam 3 petang, dihadiri oleh begitu
ramai orang, berasak-asak. Sedangkan tempat itu memang panas, dipanahi terik matahari! Sama seperti road-show Anwar di Terengganu
pada September tahun lalu yang dibuat pada hari Jumaat, betul-betul selepas sembahyang Jumaat. Memang panas, dan jarang sekali
ceramah umum diadakan waktu itu, tetapi ribuan rakyat Terengganu hadir juga.
 
Ceramah atau forum perdana yang dipimpin oleh Dr Hassan Ali, Dr Harun Din atau Datuk Ismail Kamus, jangan ceritalah... Sesak sampai berjam-jam. Sejak itu,
satu demi satu cawangan Umno berkubur. Tidak ada lagi aktiviti. Ahli dan penyokong Umno diserang rasa berdosa, malu dan terhina dengan layanan yang dikenakan
ke atas Anwar Ibrahim, pernah pada suatu masa pemimpin mereka yang popular dan memikat. Foto-foto Anwar, khususnya mata lebamnya yang diambil dari
laporan suruhanjaya itu, berada di mana-mana. Sebahagiannya ditampalkan dalam "bulatan PAS" yang besar dan berwarna putih di mana-mana bilik gerakan parti itu
atau tempat-tempat tumpuan orang ramai. Cara tampalan itu secara simboliknya membayangkan Anwar dilindungi dan akan selamat di dalam kawalan PAS. Di
kampung saya, hampir semua lorong dihiasi pintu gerbang PAS, padahal kawasan-kawasan ini dahulunya sungguh asing daripada pengaruh PAS. Bendera-bendera
PAS berkibar megah di sana-sini, tidak ditandingi oleh Umno dan BN.
 
Sepanjang jalan dari Kemaman ke Besut, khususnya di jambatan-jambatan utama, dipenuhi bendera-bendera PAS, kiri dan kanan, dalam jarang beberapa kaki
sahaja antara satu sama lain. Tiang-tiang lampu utama Jalan Sultan Mahmud (bermula dari hospital ke jambatan Kuala Ibai) dihiasi bendera-bendera PAS.
Sehinggakan Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) terpaksa mengisi ruang kosong itu dengan bendera Terengganu dan Malaysia supaya petugas PAS
tidak lagi menghiasi tiang-tiang lampu itu. Bilik-bilik gerakan tumbuh macam cendewan selepas hujan.
 
Maklumlah, Terengganu sekarang musim tengkujuh! Bilik-biliknya berdekatan, dipenuhi petugas sukarela dari golongan tua hingga muda. Golongan ini dulunya
memenuhi bilik-bilik gerakan BN tetapi kini bersama PAS. Bilik gerakan BN tidak ramai petugas, malah tidak ramai dikerumuni orang kampung. Makanan dan
minuman tidak banyak, malah sentiasa tidak cukup. Di bilik-bilik gerakan PAS makanan sentiasa "mewah", malah mereka senang hati mengajak orang kampung,
anak-anak muda, sukarelawan dan petugas BN makan bersama mereka.
 
 Muslimat-muslimat PAS pula secara senyap-senyap bergerak dari rumah ke rumah. Hampir setiap lorong, hampir setiap rumah disinggahi mereka. Hampir setiap
rumah ada mesej PAS dan foto Anwar dizalimi oleh Rahim Noor. Malah, calon-calon dan isteri-isteri mereka bergerak berasingan untuk melawat tempat-tempat
yang luas, berselerak dan terpencil. Maklumlah, Terengganu masih lagi dipenuhi gugusan kampung-kampung Melayu tradisi (dan separuh maju).
 
 Kalau nak bayangkan bagaimana kampung-kampung di Terengganu, pergilah ke Kampung Baru di Kuala Lumpur. Tidak ada taman perumahan di Terengganu.
Kalau ada pun, bilangan rumahnya hanyalah berpuluh-puluh, bukannya beribu-ribu, berseksyen-seksyen seperti di Lembah Klang. Dulunya, hanya BN dan Umno
mampu menampilkan kekuatan seperti ini. Tetapi kali ini, "dunia Terengganu" dah terbalik! Wanita-wanita Umno yang menjadi tulang belakang kegiatan rayu undi
(kepala 10) tidak aktif, malah macam berkabung, monyok.
 
Pada hari mengundi, mereka tidak aktif langsung! Sejak pembubaran Parlimen lagi, PAS menggerakkan jenteranya. Tetapi Umno hanya bergerak aktif --- memasang
poster dan menubuhkan bilik-bilik gerakan --- selepas MAHAFIRAUN datang melawat, beberapa hari lagi sebelum mengundi, 29 Novmber lalu! Selepas
penamaan calon, sepanjang lima hari pertama, dari 20 hingga 25 November, kelihatannya hanya PAS yang bertanding seorang diri di Terengganu tanpa persaingan
dari mana-mana parti! Patutlah rakyat Terengganu awal-awal lagi dapat menghidu angin perubahan. Dan mereka bercakap dengan penuh debar dan intrig.
Calon-calon Umno juga lambat ditentukan.
 
Masih ada infighting merebut kerusi-kerusi di saat-saat akhir, misalnya antara Datuk Abu Bakar Daud (calon Parlimen Kuala Terengganu) dengan Datuk Wan
Mohktar Ahmad (bekas MB Terengganu, selama 25 tahun). Umno Terengganu memang terkenal dengan puak-puak yang sudah lama berakar-umbi kerana diterajui
oleh beberapa wakil rakyat veteran, selain Bakar Daud dan Wan Mokhtar, ialah Datuk Rashid Ngah (DUN Seberang Takir), Tengku Mahmud (Parlimen Setiu).
 
Itu tidak termasuk puak-puak di kalangan tokoh muda, misalnya Datuk Muda Mamat (calon Parlimen Marang). Muda Mamat yang selalunya bertanding di peringkat
DUN Pangkalan Berangan kini berpindah ke Parlimen Marang, terpaksa berdepan dengan Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang. Mengetahui bahawa Muda akan
tewas kali ini, penyokong-penyokongnya bantah. Mereka tidak menaikkan bendera Umno atau BN. Sebaliknya, mulai dari Cendering hingga ke Seberang Marang,
mereka menaikkan tingi-tinggi, setinggi talian elektrik, bendera-bendera Terengganu dan diselang-selikan dengan bendera Malaysia.
 
Seolah-olahnya negeri Terengganu dan negara Malaysia sedang bertanding dengan Hadi Awang! PAS tidak membuat sebarang kempen terbuka. Tidak ada ceramah
umum. Tidak ada suasana panas dan tegang kali ini. Malah, simbol parti tidak diizinkan diletakkan di kenderaan, apatah lagi perarakan bermotor. Anak-anak muda
PAS ini, walaupun sebahagian besarnya masih baru menyokong PAS, patut dan berdisiplin pula. Hingga ke saat akhir, sehari selepas hari mengundi, mereka patut
pada arahan agar menurunkan semua poster, merobohkan pintu gerbang dan membubarkan bilik gerakan. Poster BN masih berselerakan ditimpa hujan dan ditiup
angin kencang.
 
Walaupun begitu, mood untuk menolak BN dan Wan Mokhtar (dan juga MAHAFIRAUN, sebenarnya!) sangat tinggi hingga ke saat ini.
LAWANG tetak LAWANG Syabas rakyat Terengganu. Kami dari Kuala Lumpur cukup bangga!
 
Oleh pembaca MAHAFIRAUN 2020
06 DECEMBER 1999
 
 
 

Kirim email ke