Tetapi ada juga yang ada ketiga-tiga sekali iaitu Ketua, Timbalan dan Naib.
Negara kita ada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, tetapi
tidak ada Naib Perdana Menteri. Di dalam parti
UMNO ada ketiga-tiga sekali Presiden, Timbalan Presiden dan juga Naib
Presiden. Di Amerika Syarikat mereka ada
Presiden dan Naib Presiden tetapi tidak ada pula Timbalan Presiden.
Bagaimana sesuatu jawatan itu perlu ada atau tidak
perlu ada tidaklah saya arif bagaimana ia ditentukan.
Kalau kita lihat di negara kita Malaysia, siapa yang menjawat jawatanTimbalan
Presiden UMNO selalunya akan dilantik
oleh Perdana Menteri menjadi Timbalan Perdana Menteri. Tetapi
ini bukanlah satu perkara yang wajib dipatuhi oleh
Perdana Menteri untuk melantik timbalannya daripada orang yang menduduki
jawatan Timbalan Presiden UMNO.
Sebagai contoh, perlantikan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Timbalan
Perdana Menteri suatu masa dulu menunjukkan
peraturan itu bukanlah sesuatu yang wajib kerana semasa perlantikan
itu dibuat Abdullah bukanlah Timbalan Presiden
UMNO.
Mungkin ada baiknya kalau orang yang menduduki jawatan Timbalan Perdana
Menteri itu adalah terdiri dari orang yang
disenangi dan boleh dipercayai oleh Perdana Menteri. Timbalan Perdana
Menteri sepatutnya terdiri dari orang yang boleh
membantu dan boleh bekerja dengan Perdana Menteri. Ini dapat mengelakkan
tidak timbul konflik antara Perdana
Menteri dan Timbalannya bila menghadapi sesuatu isu.
Ada di setengah negara, ketua negara menentukan sendiri siapa yang patut
menjadi timbalan atau penolongnya dalam
mentadbir negara. Tidak semestinya orang itu perlu melalui proses pemilihan
atau mempunyai kekuatan politik. Sama
seperti Musa Mohammad dilantik menjadi Menteri Pendidikan, khabarnya
sebelum ini dia tidak pernah menjadi ahli
mana-mana parti politik pun.
Amalan negara kita ini, siapa yang menjadi Timbalan Perdana Menteri
adalah juga Timbalan Presiden UMNO. Tidak
dapat dinafikan Timbalan Presiden UMNO mempunyai kekuatan politiknya
tersendiri kerana dia dipilih melalui undi
populariti. Sudah tentu kekuatan politik yang mereka miliki itu dapat
mencabar dan menggugat Perdana Menteri.
Kekuatan politik yang ada pada diri mereka menyebabkan mereka boleh
untuk tidak bersetuju dengan Perdana Menteri.
Setiap kali pemilihan untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO sudah tentu
Presiden akan menyokong calon yang boleh
bekerja dengannya untuk mentadbir parti dan negara. Tentulah sukar
bagi seorang Presiden UMNO atau Perdana
Menteri mendapat timbalan dari kalangan orang yang tidak disenanginya.
Kemungkinan seperti ini boleh berlaku kerana
Timbalan Presiden UMNO dipilih sendiri oleh ahli-ahli UMNO. Tidak hairanlah
kalau kita lihat calon Presiden UMNO
akan memilih sekutunya dari calon Timbalan Presiden UMNO bagi menentang
calon yang lain, seperti yang berlaku pada
tahun 1987 regu Mahathir dan Ghafar telah menentang regu Ku Li dan
Musa Hitam.
Apa yang kita nampak jawatan Timbalan Presiden UMNO yang sepatutnya
bertugas bagi membantu tugas Presiden ada
kalanya menentang dan tidak sama pendirian dengan presiden. Kadang
kala ia boleh menjadi pesaing terdekat dan
menggugat kedudukan presiden sendiri. Oleh itu dalam amalan sebelum
ini Timbalan Presiden UMNO itu memang tidak
tepat sebagai pembantu presiden tetapi lebih kepada menjadi pesaing
terdekat kepada presiden, mungkin ini berlaku
kerana jawatan Timbalan Presiden dipilih melalui cara undi sama seperti
memilih presiden.
Apa pula peranan Naib Presiden UMNO? Kita tak nampak pentingnya tugas
Naib Presiden UMNO yang terdiri dari
tiga orang itu. Bila ada sesuatu isu nampaklah muka mereka di dalam
TV atau akhbar untuk memberi pandangan.
Mungkin jawatan Naib Presiden UMNO itu bolehlah dianggap sebagai tempat
bagi mengukur populariti seseorang
pemimpin UMNO itu di kalangan ahlinya. Dari situ Naib-naib Presiden
UMNO ini bolehlah pula menyiapkan diri mereka
untuk bertanding bagi jawatan Presiden pada pemilihan akan datang.
Dengan kata lain Naib-naib Presiden adalah calon
yang berpotensi bagi mecabar jawatan Presiden.
Kesimpulannya, jawatan Timbalan Presiden UMNO tidaklah wajar dipertandingkan
sebaliknya cukuplah sekadar dilantik
sendiri oleh Perdana Menteri (Presiden UMNO) mengikut budibicaranya.
Tetapi jawatan Presiden UMNO memang
perlu dipertandingkan bagi menjamin kesinambungan pimpinan yang
terbaik dapat diamalkan. Hilanglah
amalan demokrasi jika jawatan Presiden tidak dipertandingkan, akhirnya
Perdana Menteri kita sama tarafnya dengan
Saddam Hussein, Muammar Gadafi dan lain-lain yang seangkatan dengannya.
Wallahualam.