Tafsir Al-Quran
Oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Pesanan Webmaster: Renungilah dan ambil pengiktibaran darinya

Tafsir Surah an-Nisa' ayat 140

Golongan munafiq mengharapkan kemuliaan daripada orang kafir bukannya kemuliaan daripada Allah kerana mereka merasakan jika tidak mengikut cara yang diajar oleh orang kafir, orang Islam tidak akan maju.

Memang pada zahirnya kita melihat kemajuan kebendaan diperolehi oleh orang kafir sedang pertolongan Allah kepada umat Islam (walaupun tidak mempunyai kemajuan kebendaan melebihi orang kafir) kita tidak dapat melihatnya. Jika kita balik kepada Allah akan datang pertolongan itu.

Seterusnya Allah menyatakan firman-Nya yang bermaksud:

"Dan sesungguhnya Allah telah pun menurunkan kepada kamu (Perintah-Nya) di dalam Kitab (al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafiq), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu lakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafiq dan orang kafir di dalam neraka jahanam. (Surah an-Nisa': 140)

Mereka mempersenda-sendakan orang yang menyampaikan ayat-ayat Allah. Mereka tidak percaya dan mempersenda-sendakan ayat Allah tetapi dalam masa yang sama mengaku sebagai orang Islam. Contohnya apabila mencuri, hukumannya ialah dipotong tangannya, ada orang mengatakan hukuman itu tidak boleh dilaksanakan.

Contohnya lagi, Allah mengharamkan riba dan menghalalkan jual beli, orang berkenaan berkata jika amalan riba (sistem konvensional) tidak dilaksanakan, orang Islam tidak maju. Kalau membuat pelaburan tanpa riba orang Islam tidak akan mendapat keuntungan. Mesti berkait dengan riba juga seolah-olah ia menjadi nyawa ekonomi. Kononnya tanpa riba' tidak hidup ekonomi negara. Ini apa yang ada dalam kepala orang munafiq.

Bila dibaca ayat-ayat Allah, dia tidak percaya. Bahkan dipersenda-sendakan ayat Allah itu. Oleh itu jangan kamu duduk bersama dengan mereka sehinggalah mereka bercakap dalam percakapan yang lain. Sesungguhnya kalau begitulah keadaannya kamu bersama dengan mereka.

Ayat ini menjelaskan bahawa Allah mengharamkan kita menghadirkan diri dalam majlis maksiat dan mempersenda-sendakan Islam kecuali untuk berhujah dengan mereka, tindakan ini diberi pahala yang besar oleh Allah SWT.

Bagaimanapun jika pergi hanya sekadar mahu dengar sahaja atau untuk berjamu selera bersama mereka sedang dia tidak menentang kemungkaran yang berlaku, maka tidak perlulah dia menghadirkan diri dalam majlis berkenaan.

Termasuk dalam makna ayat ini ialah apa sahaja majlis maksiat, kufur dan munafiq. Jangan duduk di majlis itu, jika kamu duduk sekali maka kamu bersama dengan mereka dan mendapat saham maksiat sama dengan mereka kerana majlis seumpama itu adalah majlis yang dilaknat oleh Allah SWT kecuali kita mahu mencegah kemungkaran, itu lainlah masalahnya.

Kalau tidak berani mencegah dengan tangan, maka dengan lidah dan jika tidak berupaya berbuat demikian atau hanya sekadar benci dalam hati, tidak usahlah kita menyibuk menghadiri majlis seumpama itu. Golongan munafiq mempermain-mainkan ayat Allah secara bermusim seperti perlawanan bola sepak juga ada musimnya. Mereka bercakap Islam dalam satu masa dan mempersenda-sendakan Islam di masa yang lain.

Allah mengumpulkan munafiq dan golongan kafir di dalam neraka jahanam. Allah Ta'ala kumpulkan mereka dalam satu bakul (tempat). Oleh itu jangan kita berkumpul dalam bakulnya. Kalau duduk dalam bakul mereka, kita akan diarahkan turut mengangkat bakul itu.



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Get Yahoo! Mail - Free email you can access from anywhere!

Kirim email ke