Hadi, Mustafa Kekal Ahli Parlimen
 

Anggota majlis mesyuarat kerajaan (exco) Terengganu dan juga Ahli Parlimen Dungun, Mustafa Ali, menafikan laporan
akhbar yang menyeb untukan beliau dan Menteri Besar Abdul Hadi Awang, juga Ahli Parlimen Marang, akan melepaskan
kedudukannya sebagai wakil rakyat di dua kawasan itu.
 
Mustafa memberitahu malaysiakini petang tadi bahawa laporan itu tidak berasas sama sekali dan "100 peratus tidak
benar." "Kami tidak tahu dari mana akhbar mengambil cerita itu," katanya. "Kami masih lagi penat bertanding dalam
pilihan raya," tambahnya. "Bagaimana mungkin kami berkempen semula untuk dua lagi pilihan raya kecil?"
 
Sabtu lalu, sebuah akhbar berbahasa Melayu, Berita Harian, melaporkan di halaman depan kemungkinan Hadi dan
Mustafa meletakkan jawatan ahli parlimen masing-masing bagi menumpukan perhatian hal-ehwal pentadbiran negeri.
 
Laporan itu memetik sumber-sumber sebagai berkata bahawa PAS berhasrat mencalonkan tokoh ulama Dr Haron Din
bagi kawasan parlimen Marang, sementara bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Dr Badrul Amin
menggantikan Mustafa di Dungun.
 
Menurut laporan itu lagi, pemilihan tokoh-tokoh berpendidikan Islam itu bertujuan meningkatkan penyertaan ulama
PAS di peringkat Dewan Rakyat.
 
Spekulasi tentang hal itu semakin meluas semalam apabila hanya Hadi dan Mustafa tidak menghadiri sidang pertama
Dewan Rakyat dan majlis mengangkat sumpah seramai 193 anggota dewan. Bagaimanapun, sumber-sumber dalam PAS
menjelaskan kedua-duanya tidak dapat hadir di sidang itu kerana terpaksa menghadiri sidang dewan undangan negeri
di Kuala Terengganu.
 
Sementara itu, pembentangan belanjawan Terengganu, yang diumumkan hari ini, menjangkakan lebihan RM8.475 juta
atau 1.22 peratus daripada pendapatan yang dijangkakan.
 
Abdul Hadi yang membentangkan belanjawan itu di sidang pertama Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman,
berkata hasil pendapatan dari royalti petroleum dan gas adalah sumber terbesar pendapatan kerajaan negeri,
sebanyak RM530 juta.
 
"Prospek ekonomi Terengganu bagi tahun 2000 dianggarkan mengalami pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus," jelasnya.
 
Hadi juga menjelaskan memandangkan kerajaan Barisan Nasional meninggalkan beban hutang lebih RM731.334 juta,
kerajaan PAS akan menubuhkan satu jawatankuasa hisbah untuk menilai semula sistem pentadbiran kerajaan negeri.
Usaha ini termasuklah menyusun semula peranan dan tugas badan-badan berkanun bagi mengurangkan perbelanjaan.
 
Selain itu, kerajaan negeri jua akan membuka semula permohonan untuk mendapatkan tanah bagi tempat kediaman
dan tujuan-tujuan komersial-(pembaca MRF) 22 Dis 99
 
 
 

Kirim email ke