MONDAY- Mac 6, 2000

Harakah ‘baru’ terbit Jumaat ini
Fathi Aris Omar

6pm, ISN: Akhbar pembangkang popular, Harakah, yang kini boleh diterbitkan hanya dua kali sebulan akan menemui pembacanya Jumaat ini. Keputusan ini dicapai dalam satu mesyuarat lembaga pengarah tabloid itu semalam. Pengarang Harakah, Zulkifli Sulong, memberitahu malaysiakini hari ini bahawa akhbar rasmi PAS itu akan menambah bilangan halamannya dan menaikkan harga.

"Kita akan keluarkan setebal 72 muka surat dan harganya RM2.50 senaskhah," kata Zulkifli.

Pertambahan muka surat dipercayai akibat perubahan konsep penerbitannya. Konsep baru ini akan dipenuhi analisis berita, rencana, laporan dan pendapat. Penulis tamu Harakah dan juga Naib Presiden PRM, Rustam A. Sani, dipercayai akan memimpin satu bahagian laporan dalam tabloid itu.

Sebelum permitnya tamat pada Selasa lalu, tabloid itu diterbitkan setebal 40 halaman dan dijual dengan harga RM1.30 senaskhah. Akhbar yang sebelum ini diterbitkan setiap Isnin dan Jumaat itu memuatkan berita-berita semasa, kenyataan pemimpin PAS, analisis berita dan beberapa penulis kolum yang popular, antaranya Subky Latif dan Ibnu Muslim. Bahagian bahasa Inggeris, ‘English Section,’ mendapat perhatian khusus dari pembaca yang lebih berpelajaran.

"Ia akan diterbitkan setiap awal dan pertengahan bulan," tambah Zulkifli, yang kini sedang menunggu perbicaraan atas tuduhan ‘menghasut’ pada 22 Mei depan bersama pemilik syarikat percetakan itu, Chia Lim Thye.

Sejak Kementerian Dalam Negeri mengurangkan bilangan terbitannya Rabu lalu, terbitan pada Jumaat ini merupakan edisi pertama dengan konsep baru.

Dalam perkembangan berkaitan, PAS bersama parti komponen Barisan Alternatif akan menganjurkan ceramah umum esok bagi membantah tindakan KDN. Ceramah yang dijadualkan dihadiri oleh empat pemimpin tertinggi BA itu akan diadakan di Pusat Tarbiyah PAS di Taman Melewar.

Jumaat lalu, lebih 500 penyokong PAS menyertai satu tunjuk perasaan protes di Alor Setar dan beberapa ratus lagi di Kuala Lumpur.



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM

Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.

Kirim email ke