*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
KAFIR MENGKAFIR DAN POLITIK

Oleh
Mohd Asri b. Zainul Abidin
[EMAIL PROTECTED]

Sejak dahulu lagi isu kafir mengkafir selalu dijadikan suatu topik politik
untuk menghentam atau menyalahkan saf kebangkitan umat Islam. Banyak
kumpulan Islami yang teraniaya kerananya. Samada fitnah dari golongan musuh
yang sengaja menimbulkan kebencian umum terhadap saf dakwah atau fitnah itu
datang dari kegelojohan segelintir yang berada dalam saf dakwah yang
menghidupkan isu ini tanpa bimbingan ilmu.

Sebenarnya persoalan kafir mengkafir atau takfir adalah persoalan `aqidah
yang cuba diheret ke gelanggang politik oleh golongan yang berkepentingan.
Sebahagian pihak cuba menjadikannya sebagai
umpan politik bagi menarik perhatian ramai agar bangkit menentang para
pencinta syariat Allah. Sementara dalam masa yang sama terdapatnya di
kalangan saf dakwah mereka yang tergesa-gesa dan
mempermudah-mudahkan dalam mengkafirkan orang lain sehingga melanggari
batasan ilmu dan akhirnya menjadi senjata musuh yang menikam para pendakwah.

Batas-Batas Iman

Adalah perlu dijelaskan bahawa di sana adanya batasan-batasan antara iman
dan kufur yang sesiapa melanggar akan mengeluarkannya dari daerah iman
kepada daerah kufur. Persoalan ini adalah besar di dalam `aqidah untuk
difahami agar seseorang muslim mengetahui bagaimana cara dia dapat
mengelakkan diri dari menjadi kafir.

Oleh kerana itu, As-Syeikh `Abd al-`Aziz `Abdillah Bin Baz r.h. dalam
risalahnya kepada jamaah haji (Dalil al-Haaj wa al-Mu'tamir) , menyenaraikan
perkara-perkara yang disebut sebagai
(Perkara-perkara yang membatalkan Islam).

Tujuannya agar umat Islam yang menunaikan ibadat terutamanya haji tidak
melakukan perkara-perkara berkenaan yang menyebabkan terbatalnya
keislamannya dan akhirnya apa sahaja ibadat yang
dilakukannya tidak memberi manfaat di akhirat.

Antara sepuluh perkara yang disebut oleh as-Syeikh Ibn Baz yang ke-empatnya
ialah: "Sesiapa yang beriktikad bahawa petunjuk selain dari Nabi s.a.w.
lebih sempurna dari petunjuk baginda atau hukum selain dari hukum Nabi lebih
baik dari hukuman baginda seperti golongan yang mengutamakan hukum taghut
melebihi hukum Nabi, maka di adalah kafir, termasuk dalam perkara ini:

1.  Beriktikad bahawa peraturan atau undang-undang yang dibuat oleh manusia
lebih baik dari syariat Islam.

2.  Atau  beriktikad bahawa peraturan Islam tidak sesuai untuk dilaksanakan
di kurun ke-20.

3.  Atau beriktikad bahawa Islam adalah penyebab kepada kemunduran muslimin.

4.  Atau beriktikad bahawa Islam itu hanya terbatas antara hubungan
seseorang dengan tuhannya sahaja tanpa ada kaitan dalam urusan kehidupan
yang lain.

5.  Menyatakan bahawa melaksanakan hukum Allah mengenai memotong tangan
pencuri atau merejam penzina yang muhsan tidak sesuai dengan zaman ini.

6.  Beriktikad harusnya berhukum dengan selain dari apa yang diturunkan
Allah dalam mu`amalat syarak atau hudud atau selain keduanya, sekalipun
tidak beriktikad ianya lebih baik dari hukum syari`at. Ini kerana dia telah
mengharuskan apa yang diharam
oleh Allah secara `ijma'. Sesiapa yang mengharuskan apa yang diharamkan
Allah dalam perkara yang diketahui secara umum dalam agama seperti zina,
arak, riba dan berhukum dengan selain syariat Allah maka dia kafir dengan
ijma' muslimin." (rujukan:
m.s.10-11, ctk. Riasah al-`Am li Idarat al-Buhuth al-Ilmiyyah, Saudi)

Ternyata persoalan peringatan terhadap meninggalkan syariat Allah bukanlah
isu politik murahan tetapi adalah isu yang mesti diberi perhatian oleh
setiap individu muslim di kurun ini. Ibn Baz r.h. adalah seorang yang semasa
hayatnya terbebas dari politik kepartian. Beliau adalah mufti yang `alim dan
disegani. Beliau
mengeluarkan kenyataan ini, bebas dari cengkaman kefahaman kepartian
mana-mana pihak, sebaliknya hanya menjelaskan apa yang dinyatakan oleh
ajaran Islam ini.

Berdasarkan ini maka persoalan takfir ini mestilah dibincang secara rasional
dan bebas dari pengaruh semasa. Ianya adalah persoalan ilmu dan aqidah yang
ada disiplin-disiplinnya yang digariskan dalam manhajnya.

Menjunjung Syari`at Allah

Sejak zaman penurunan wahyu lagi, masyarakat Islam dan umat keseluruhannya
dididik oleh Al-Quran agar senantiasa menganggap hanya Allah dan Rasul
sahaja sumber rujukan di dalam hukum-hakam
kehidupan. Sesiapa sahaja yang membaca Al-Quran akan mendapati bahawa
Al-Quran begitu tegas dalam memastikan keimanan dan keyakinan individu
mukmin terhadap inti kandungan perlembagaan
Al-Quran dan As-Sunnah. Iman yang difahami oleh mereka ialah kepercayaan
yang mutlak terhadap segala titah perintah Allah dan RasulNya s.a.w.
Ayat-ayat yang turun ketika itu mendidik mereka juga kita agar jangan sama
sekali berpaling daripada wahyu dan sabdaan Nabi s.a.w.

Antaranya cuba lihat firman Allah di dalam Surah an-Nisa' ayat 60-61:

Maksudnya:
"Tidakkah kamu perhatikan mereka yang mengakui beriman dengan apa yang
diturunkan kepadamu dan apa yang diturunkan sebelum daripadamu. Mereka ingin
berhakimkan taghut sedangkan meraka disuruh agar mengingkari taghut dan
syaitan bermaksud untuk menyesatkan meraka dengan kesesatan yang jauh."
(60)

"Apabila dikatakan kepada mereka marilah (tunduk) kepada hukum yang
diturunkan Allah dan kepada hukum Rasul, kamu akan melihat golongan munafiq
menghalang (manusia) dengan sekuat-kuatnya
(dari mendekati kamu)." (61)

Kata al-Hafizd Ibn Kathir dalam mengulas ayat ini:

"Inilah bantahan daripada Allah Azza wa Jalla terhadap sesiapa yang mengaku
beriman dengan apa yang Allah turunkan kepada RasunNya dan para ambiya' yang
terdahulu sedangkan pada masa yang sama dia mahu berhakimkan selain dari
kitab Allah dan sunnah RasuiNya dalam penyelesaian perbalahan. Ini seperti
yang disebut bahawa sebab nuzl ayat ini ialah pada seorang lelaki Ansar dan
seorang Yahudi yang berbalahan. Yahudi itu menyatakan

"Penyelesaian antara aku dan kamu ialah Muhammad". Sedang lelaki Ansar ini
menyatakan "Penyelesai antara aku dan kamu ialah Ka`ab bin al-Asyraf.
Dikatakan juga ayat ini diturunkan ke atas golongan munafiqin yang
memperlihatkan Islam mereka sedangkan mereka ingin berhukumkan hukuman
jahiliyyah.

Dikatakan juga sebab nuzulnya adalah selain yang disebutkan. Sebenarnya,
ayat ini lebih umum dari semua itu. Ianya adalah cercaan terhadap sesiapa
sahaja yang berpaling dari al-Kitab dan as-Sunnah lalu berhukum dengan dari
keduanya yang merupakan  (hukum) yang batil yang dimaksudkan dengan taghut
di sini. (rujukan: Tafsir al-Quran al-`Azim, jilid 1, m.s. 531, certakan Dar
al-Fikr, Beirut)

Sesiapa sahaja yang berpaling dari syariat dengan memilih peraturan dan
perundangan selain daripadanya bererti berhukum kepada taghut. Samada taghut
dari timur atau barat. Samada berkulit gelap atau cerah, berketurunan arab,
melayu atau selainnya..taghut tetap taghut. Kata as-Syeikh Muhmmad bin `Abd
al-Wahhab: "Taghut itu banyak, tetapi kepala utamanya lima iaitu; Iblis yang
dilaknati Allah, sesiapa yang disembah dan dia pula redha, sesiapa yang
mengajak manusia kepada menyembah dirinya, sesiapa yang yang mendakwa dia
mengetahui perkara ghaib dan sesiapa yang tidak berhukum kepada apa yang
diturunkan Allah" (rujukan: Hasyiah Al-Usul ath-Thalathah, m.s. 95, ctk.
Idarah al-Buhuth, Saudi.)

Berdalilkan ayat-ayat dan nas-nas hadith yang banyak maka para `ulama
`aqidah termasuk Ibn Abi al-`Izz menyebut dalam Syarh al-`Aqidah
at-Tahawiyyah:

Maksudnya: "Sekiranya seseorang pemerintah beriktikad bahawa berhukum dengan
apa yang diturunkan Allah itu tidak wajib dan dia diberikan pilihan mengenai
(samada ingin berhukum dengan syariat Allah atau tidak) atau dia
merendahkan-rendahkannya sedangkan dia yakin bahawa itu adalah hukum Allah,
maka ini adalah kufur yang terbesar. Sekiranya dia beriktikad wajibnya
berhukum dengan apa yang diturunkan Allah dan dia mengetahui perkara
tersebut tetapi dia berpaling daripadanya (hukum Allah) sedangkan dia
mengakui perbuatannya itu layak menerima hukuman, maka ini (pemerintah
tersebut) adalah `asi (ahli maksiat)" dinamakan kafir kufur majazi (kiasan)
atau kufr asghar (kufur kecil yang tidak terkeluar dari agama).

Sekiranya dia jahil mengenai hukum Allah dalam perkara tersebut sedangkan
dia telah berusaha bersungguh-sungguh serta mencurah segala kemampuan dalam
mengenali hukum (agar menepati hukum Allah) namun dia tetap tersilap maka
ini adalah orang yang tersilap. Baginya pahala kesungguhan dan kesilapannya
diampunkan."(rujukan: Syarh al-`Aqidah at-Tahawiyyah, m.s. 324, ctk.
Al-Maktab al-Islami, Beirut.)

Membezakan Tiga Golongan

Ternyata Al-Imam Ibn Abi al-`Izz telah memberikan amaran terhadap golongan
yang meninggalkan hukum Allah juga dalam masa yang sama mengingat umat Islam
bahawa bukan semua mereka yang meninggalkan hukum-hakam Allah menjadi kafir.
Daripada teks yang disebutkan di atas, Ibn Abi al-`Izz membahagikan golongan
yang meninggalkan perlaksaaan hukum-hukam Allah kepada tiga golongan iaitu:

Pertama: Kufr Akhbar.

Sesiapa yang beriktikad berhukum dangan apa yang diturunkan Allah tidak
wajib, ataupun beriktikad bahawa dia mempunyai pilihan samada hendak
berhukum dengan hukum Allah atau memilih hukum
selainnya, ataupun merendah-rendah kebaikan dan kemampuan hukum-hakam Allah
atau menghinanya.

Ketika dia beriktikad atau melakukan perkara-perkara tersebut dia sedar
bahawa hukum-hukum tersebut adalah hukum-hakam daripada Allah maka dia
menjadi kafir yang terkeluar dari agama atau kufr akbar. Sekiranya dia tidak
mengetahui hukum-hukum tersebut daripada Allah seperti dia begitu jahil
al-Quran atau jahil as-Sunnah maka dia tidak termasuk dalam golongan yang
kafir sehingga dia diberitahu bahawa hukum-hakam tersebut daripada Allah
atau RasulNya. Sekiranya dia beterusan dengan sikapnya
sedangkan penjelasan terang lagi nyata kepadanya maka dia kafir yang
terkeluar dari agama.

Oleh itu golongan pemerintah juga tidak boleh menganggap enteng soal
`akidah, ucapan dan tidak laku mereka dalam soal perlaksanaan syariat Islam.
Perkara meremeh dan memandang rendah hukum-hakam syarak adalah tersangat
bahaya. As-Syeikh Muhammad bin Abd al-Wahhab menyebut antara perkara yang
membatalkan syahadah ialah:

Maksudnya: Sesiapa yang beriktikad bahawa petunjuk selain Nabi s.a.w. lebih
sempurna daripada petunjuk baginda atau selain hukum selain hukum baginda
lebih baik daripada hukum baginda seperti
golongan yang mengutamakan hukum taghut melebihi hukum baginda maka dia
adalah kafir".

Bahkan seperti kata Ibn Abi al-`Izz tadi, bahawa menganggap dirinya diberi
pilihan samada menerima pakai atau menyampingkan hukum hakam Allah juga
boleh membawa kepada kufr akbar (kufr
yang mengeluarkan seseorang dari agama).

Di dalam Taisir Zi Jalal wa Ikram,ketika memetik perkataan As-Syeikh
Muhammad bin Ibrahim, iaitu: "Sekiranya seseorang pemerintah tidak
menganggap hukuman selain dari hukum Allah lebih baik dari hukum Allah dan
RasulNya tetapi dianggap ianya sama, ini adalah kufur yang mengeluarkannya
dari agama kerana pada demikian itu menyamakan makhluk dengan Yang Maha
Pencipta (Allah) (rujukan :Taisir Zi Jalal wa Ikram, Sa`ad bin Muhammad
al-Qahtani, m.s. 61, ctk. Dar Isbelia, Saudi.)

Kedua: Kufr Asghar

Sesiapa yang meninggalkan berhukum dengan apa yang telah diturunkan Allah
namun dia tetap mengiktiraf kewajipannya untuk menerima pakai syariat Allah
dan dia mengakui bahawa meninggalkan
berhukum dengan syariat Allah adalah suatu kesalahan dan dosa. Dia
meninggalkan berhukum dengan syariat mungkin disebabkan hawa nafsu atau
kepentingan dunia yang dikejar seperti menjaga pangkat atau harta benda maka
dia dianggap oleh para ulama `aqidah sebagai kafr asghar atau kufur kecil
yang tidak mengeluarkannya dari daerah Islam sebaliknya adalah ahli maksiat
dan penderhaka.

Ketiga: Tersalah Hukuman

Sesiapa yang telah berhukum dalam sesuatu perkara tidak berdasar hukum Allah
disebab kejahilan yang tidak disengajakan. Ini seperti seseorang yang tidak
tahu tentang hukum Allah dalam sesuatu perkara lalu dia berhukum tidak
berdasarkan syariat Allah sedang dia senantiasa berusaha dan cuba memastikan
agar
hukuman yang dilaksanakannya menepati syariat. Disebabkan maklumat yang
tidak cukup atau pengetahuan yang tidak sampai kepadanya walaupun dia telah
berusaha untuk mengetahui hukum Allah mengenai perkara berkenaan maka
hukuman yang dilaksanakannya tanpa disengajakan menyalahi syariat.

Padahal, sekiranya dia tahu hukuman yang sebenar berdasarkan syariat tentu
dia akan melaksanankannya. Kedudukan orang seperti seorang mujtahid yang
tersalah ijtihad. Kesungguhan dan
usaha untuk mengetahui hukuman yang sebenar diberikan apahala oleh Allah
sementara kesalahan diampunkan kerana dia tidak sengaja dan telah berusaha.

Mempelajari Perundangan Bukan Islami

Perkara ini juga patut diberikan peringatan kepada para penuntut atau
pelajar perundangan barat agar tujuan mereka dalam mempelajari perundangan
barat atau perundangan yang tidak Islami itu tidak menyanggahi `aqidah.
Sekiranya tujuan mereka mempelajarinya semata-mata sebagai suatu pengetahuan
atau kerana ingin hendak dijadikan senjata dalam mempertahankan Islam maka
ini ditidak menyanggahi syarak bahkan dia memperolehi pahala sekirannya
tujuannya untuk mempertahankan Islam.

Namun sekiranya mereka mempelajarinya untuk mengagungkannya atau menyanggap
inilah perundangan yang terbaik atau setaraf dengan perundangan Islam atau
diharuskan menerima sekalipun tidak menganggap lebih baik dari apa yang
diturunkan Allah, maka ini sangat merbahaya kepada `aqidah mereka. Kata `Abd
al-`Aziz `Abdillah bin al-Baz: "Sesiapa yang memepelajari undang-undang yang
tidak Islam atau mengajarnya dalam keadaan dia menghalalkan berhukum
dengannya, samada dia beriktikad syariat Islam
lebih baik atau tidak, maka golongan ini adalah dengan ijma' muslimin kafir
kufr akhbar.

Ini kerana dia menghalakan berhukum dengan perundangan ciptaan manusia yang
menyanggahi syariat Allah, dengan itu bereti dia menghalakan apa yang
diketahui secara umum dalam agama sebagai haram. Ini sama dengan hukum
sesiapa yang menghalakan zina, arak dan  seumpamanya.(rujukan: Al-Takfir wa
Hukm bi ghair ma Anzal Allah, m.s. 60, Ctk. Dar al-Ibn Khuzaimah, Saudi.)

Membezakan antara jenis dan peribadi

Ini adalah tajuk yang sangat penting akan tidak ada lagi golongan yang mudah
tersasul dan melatah tanpa panduan ilmu. Para pendokong kebangkitan Islam
hendaklah benar-benar tepat dalam meletakkan status terhadap golongan yang
tidak melaksanakan syariat Islam. Ini agar kita tidak menjadi khawarij yang
mudah mengkafir sesiapa sahaja di kalangan ahli maksiat dan tidak juga kita
menjadi murjiah yang membiarkan sesiapa sahaja melakukan maksiat.

Hendaklah diingat, bahawa adalah menjadi manhaj ahli as-Sunnah wa al-Jamaah,
bahawa membezakan antara jenis dan peribadi.Walaupun disebut tentang
pegangan, atau perbuatan atau perkataan yang boleh membawa kepada kufur,
namun apabila tiba kepada persoalan mengkafir seseorang hendak dilihat
dengan lebih teliti. Walaupun Ahli as-Sunnah menyatakan kufur pada
perbuatan, perkataan atau iktikad tertentu namun ahli sunnah tidak terus
menghukum pelakunya kafir.

Ini kerana seseorang yang melakukan  perkara-perkara yang menyebabkan kufur
boleh jadi dalam keadaan jahil, atau disalah fahami maksudnya atau tidak
sengaja atau tersasul. Tidak boleh dikafirkan seseorang melainkan
benar-benar jelas dan tidak boleh ditafsirkan si pelakunya melainkan kufir.
As-Syeikh Yusuf al-Qaradawi menyebut perkara ini dengan katanya: "Suatu
perkara yang mesti diberi perhatian iaitu apa yang telah diputuskan oleh
para `ulama muhaqqiqun mengenai wajibnya dibezakan antara peribadi dan jenis
dalam isu takfir (mengkafirkan).

Ini bermaksud, contohnya kita katakan "Golongan komunis itu kafir, atau para
pemerintah sekular yang menolak hukum syarak itu kafir, atau sesiapa yang
menyatakan sebegini atau menyeru kepada ini maka dia kafir. Ini semua adalah
hukum pada jenis. Adapun apabila perkara ini berkait dengan peribadi
seseorang, yang disandar kepada mereka itu dan ini, maka wajiblah diambil
masa untuk dibuat kepastian dan kesabitan mengenai hakikat sebenar
pendiriannya. Ini dengan cara menyoal atau berbincang dengannya sehingga
ditegakkan hujjah, tiada lagi syubhat dan juga tiada lagi keuzuran untuknya.

Perkara ini pernah disebut oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: Sesungguhnya
perkataan boleh menyebabkan kufur. Secara umumnya dikafirkan penyucapnya.
Dikatakan "Sesiapa yang mengucap begini maka dia kafir". Tetapi peribadi
berkenaan yang mengucapkannya tidak dihukum dengan kafir sehingga ditegakkan
hujjah yang menjadi kuffur sesiapa yang meninggalkannya (meninggalkan
berpegang dengan hujjah yang jelas-pen)," (rujukan:Zahirah al-Ghuluu fi
Takfir, m.s. 26-27, ctk. Maktabah Wahbah, Mesir.

Al-Imam Hasan Al-Banna juga menjelaskan perkara ini dengan katanya: Kita
tidak mengkafirkan seseorang muslim yang mengucapkan dua kalimah syahadah
dan beramal dengan tuntutannya, hanya disebabkan pandangan peribadi atau
sesuatu maksiat (yang dilakukan), kecuali dia mengakui kalimah kufur, atau
menginkari perkara yang maklum di dalam agama ataupun mendustai sesuatu yang
jelas dari al-Quran atau menafsirkan al-Quran dalam bentuk yang tidak dapat
diterima pada uslub bahasa `arab sama sekali ataupun melakukan sesuatu
perkara yang tidak boleh ditafsirkan melainkan kufur" (rujukan: Majmu'
ar-Rasail, Hasan al-Banna, m.s. 393, ctk. Dar ad-Da'wah, Mesir )

Golongan Islam yang berjuang di atas landasan `aqidah yang diajar oleh Ahl
a-Sunnah hendak tidak tergopoh-gapah dalam mengkafirkan individu tertentu
tanpa melalui kaedah yang telah ditentukan oleh
manhaj yang benar ini. Bukan senang dan mudah untuk dikafirkan seseorang
melainkan setelah begitu jelas kufurnya dan tidak boleh dibuat sebarang
andaian lagi melainkan kafir.


______________________________________________
FREE Personalized Email at Mail.com
Sign up at http://www.mail.com/?sr=signup

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: Ibrahim Yaakob <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke