KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TARAWIH
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang
Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas
junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu
'alaihi wasallam serta para sahabatnya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawikh
pada malam-malam ramadhan
telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik,media-media
cetak serta media-media massa
turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar,
dairi-dairi Islam, TV, radio,
risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat
saham dalam usaha menggalakkan umat
Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati
itu. Hadis yang dimaksudkan itu
ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina
Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut,
Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda
berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:
· Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama
seperti mana dia baru dilahirkan
(mendapat keampunan dari Allah Taala).
· Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang
yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil
dan Al-Quran.
· Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat
yang tawaf di Baitul-Ma`mur
(sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan
tanah akan mendoakan supaya Allah
mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada
malam ini.
· Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong
Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya
Firaun dan Haman.
· Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih
sepertimana yang telah dikurniakan
kepada Nabi Ibrahim A.S.
· Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu
ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad
S.A.W..
· Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam
yang ke-tiga puluh
Namun begitu setelah diajukan
pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis
ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan.
Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain
kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis
palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan
bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama
hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan
wujudnya hadis ini. Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan
kedudukannya didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu
dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan
amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak
akan diperolehinya.
Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan
kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik
oleh ulama-ulama kita dahulu.
Rasulullah S.A.W. telah pun
memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas
namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya : Barang siapa
sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya
dalam neraka. (Bukhori, Muslim)
Hadis ini diriwayatkan dengan
banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi
segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi
galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala
larangan Allah (targhib dan tarhib).
Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah
selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang
pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W. menukilkan kata-kata Imam
Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu
hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu`
atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`.
Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya
maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam
ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan
atas Nabi Muhammad S.A.W. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis
yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan
serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis
nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar
dosa dan sejelek-jelek perkara dengan
ijmak ulamak Islam… seterusnya dia berkata:
Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang
biasa. Bagaimana pula dengan
orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta
atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Fiman Allah bermaksud: Tidaklah
dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang
diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).
Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin
untuk melakukan amalan terawih dalam
bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman
terhadap orang yang meninggalkan sembahyang
yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad
S.A.W. seperti contoh satu hadis
yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang
zohor dosanya adalah seperti
dia berzina dengan ibunya sendiri.Jika dia meninggalkan sembahyang
sembahyang asar dosanya adalah
seperti meruntuhkan kaa'bah..
Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang
menghidupkan malam Ramadhan yang
terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa
yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan
ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)
Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan
sembahyang yang terdapat dalam
al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan
kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk
orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)
Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti
dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh
dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas
bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya
namun mereka tetap tidak mahu
mengerjakannya.
Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain
dari meneliti sanad perawinya ialah
1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang
terdapat pada para sahabat nabi kita
Muhammad S.A.W. atau orang yang berjuang bersama dengan
nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai
atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian
walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau
menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan
seorang nabi.
2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang
dilakukan dimana ia menyalahi apa
yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an
dan hadis-hadis shohih.
3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad
s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai
keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis
shohih.
4. Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan
"Ya Ali" sedangkan ulama-ulama
hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata
ini hanya dua atau tiga sahaja yang
shohih.Yang lainnya adalah palsu.
Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti
institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin
terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi
pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah.Umat Islam janganlah mudah tertipu
dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya
tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat
kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan
sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya
beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.
SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W.