MONDAY - March 20, 2000

KeADILan anjur perhimpunan besar 14 April
Fathi Aris Omar

8pm, ISN: Parti KeADILan Nasional hari ini mengumumkan parti itu akan menganjurkan satu perhimpunan besar di Dataran Merdeka pada 14 April depan. Perhimpunan itu diadakan sempena genap setahun bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun atas kesalahan rasuah.

Naib Presiden KeADILan, Tian Chua, memberitahu malaysiakini tarikh itu dipilih sebagai memperingati "hari gelap dalam bidang keadilan".

Tahun lalu, selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Augustine Paul memutuskan Anwar bersalah, penyokong Anwar menganjurkan perhimpunan bantahan yang berterusan selama beberapa hari.

Pada 14 April tahun itu, penyokong Anwar bertindak liar dengan membakar tong sampah dan membaling batu kepada polis selepas pihak berkuasa menangkap dan memukul pemimpin dan rakan-rakan mereka.

Anwar sentiasa menafikan dirinya bersalah dan sebaliknya mendakwa beliau menjadi mangsa konspirasi pemimpin tertinggi kerajaan, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed.

Tian dan seorang aktivis politik, Abdul Malek Hussin, dipukul sehingga berdarah sebelum ditahan polis. Beberapa pemuda juga cedera dalam perhimpunan yang dianggap paling liar dalam sejarah perhimpunan proreformasi yang diadakan mulai tarikh pemecatan Anwar pada September 1998.

"Pemuda KeADILan akan menganjurkannya secara rasmi," kata Tian.

"Malah, kami sudah memaklumkan dalam ceramah-ceramah umum sejak beberapa minggu lalu di beberapa tempat di seluruh negara."

Ditanya sama ada perhimpunan kali akan berjaya, Tian berkata tangkapan dan mahkamah merupakan "taktik lama" dan tidak berjaya lagi menakutkan orang ramai daripada menyertai perhimpunan.

Jumaat lalu, tujuh orang didakwa di mahkamah atas tuduhan menyertai satu perhimpunan protes di Masjid Negara seminggu sebelumnya. Sementara 10 orang lagi belum hadir ke balai polis untuk membantu siasatan walaupun foto tujuh lelaki berkenaan disiarkan dalam akhbar pada Rabu lalu.

Sumber polis hari ini memberitahu malaysiakini bahawa seorang daripada tujuh lelaki itu sudah hadir membantu siasatan dan beliau akan dihadapkan ke mahkamah tidak lama lagi.

Selain Tian sendiri, turut dikehendaki polis berhubung siasatan itu ialah ahli jawatankuasa pusat PAS dan anggota Dewan Rakyat, Mohamad Sabu, Naib Ketua Pemuda parti itu, Salahuddin Ayub, dan ahli jawatankuasa pusat pemuda KeADILan, Lokman Noor Adam.



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.

Kirim email ke