Lailatul Qadar, Nuzul Al-Quran Dan Millenium
 

Assalamualaikum wbt.
 
Alhamdullillah, bersyukur kita kehadrat Allah subhanawataala kerana dipanjangkan usia dan dapat bertemu lagi dengan
bulan Ramadhan almubarak yang mulia ini. Ramadhan terakhir di kurun dan alaf ini. Dan sekarang kita telah hampir
kepada pertengahan puasa.
 
Dan secara kebetulan tahun ini perayaan krismas bersamaan dengan tarikh Nuzul Quran. Sebagaimana yang dapat
didengar dan dibaca melalui TV dan akhbar, banyak pihak telah merancang dan menghebahkan program untuk
menyambut perayaan krismas secara meriah termasuklah artis-artis.
 
Walaupun bulan puasa, kita tidak melarang penganut agama kristian untuk merayakan hari besar mereka tetapi kita
amat dukacita bila perayaan tersebut akan disambut secara meriah oleh artis-artis Melayu yang beragama Islam.
Mungkin mereka berkata sambutan dibuat pada sebelah malam tetapi mereka mesti ingat ianya malam bulan puasa,
kebetulan malam nuzul Quran, maka adalah amat tidak wajar dalam kebanyakan umat Islam melakukan ibadat seperti
berterawih, bertaddarus, berzikir, dan sebagainya ada segolongan umat Islam berteriak, mengilai ketawa, bernyanyi
dan berpeleseran menyambut krismas. Dan pastinya ianya di"meriah"kan lagi oleh TV dan media lain.
 
Begitu juga sambutan tahun baru 2000, atau tahun baru millenium, pelbagai persiapan telah diatur seluruh dunia
untuk menyambut tahun tersebut kerana ianya hanya datang sekali dalam seribu tahun.
 
Tetapi bagi umat Islam, kita tidak sepatutnya terikut-ikut oleh lagak penganut kristian, dan umat lain yang merayakan
tahun baru secara besar-besaran, cukuplah sekadar kita mengingati tahun 2000 sebagai tahun genapnya 2000 tahun
kelahiran nabi Allah Isa.
 
Dan saya rasa pengikut sebenar nabi Isa pun tidak menyuruh umatnya mengigati tarikh kelahirannya dengan
mengadakan pesta liar dan mengasyikkan. Juga secara kebetulan tahun ini, tahun baru masehi jatuh dalam lingkungan
10 malam terakhir bulan Ramadhan. Bagi umat Islam seluruh dunia malam 10 terakhir bulan ramadhan adalah antara
malam yang diyakini turunnya Lailatul Qadar. Malam yang amal ibadat seseorang akan digandakan sebanyak seribu
bulan..MasyaAllah..
 
Apa akan jadi jika pada malam tahun baru sedang ramai umat manusia Islam dan kafir sedang merayakannya dengan
pesta-pestaan dengan kemeriahan secara jahiliah (joget, konsert, pesta arak dan sebagainya, kecuali orang-orang
yang beriman) dan kebetulan malam tersebut ditakdirkan juga malam Lailatul Qadar, maka bergandalah seribu bulan
kemaksiatan bagi orang tersebut (itu mengikut logic akal, tetapi InsyaAllah, Allah maha pengasih lagi penyayang,
Allah hanya mengandakan pahala dan tidak mengandakan dosa hamba nya).
 
Walaubagaimana pun saya PASti, bagi kebanyakan umat Islam yang beriman, mereka telah merancang untuk
menggandakan amal ibadat untuk sebahagian terakhir bulan Ramadhan dan akan lebih tekun dan ikhlas dlam
melaksanakan ibadah tersebut.
 
Namun untuk memeriahkan lagi sambutan (secara Islamiah bukan jahiliah) malam Nuzul Quran (yang bersamaan hari
natal) dan Lailatul Qadar (malam tahun baru) maka dicadangkan supaya diadakan sembahyang terawih secara
besar-besaran di dua stadium Negeri iaitu Stadium Sultan Muhammad IV (KB) dan Stadium Nasharuddin Shah (KT)
diikuti oleh semua surau dan masjid dengan program Qiamulail.
 
Kalau pada malam tersebut lain-lain stadium dan tempat dibisingkan dengan irama konsert dan rock, biarkan dua
stadium tersebut serta surau dan masjid digemakan dengan gema takbir, selawat dan zikir sepanjang malam.
InsyaAllah kita pancarkan sinar pertama tahun 2000 dengan cahaya keimanan, cahaya Islam, cahaya keadilan.
InsyaAllah, salawat, takbir, zikir dan doa pada malam tersebut akan diangkat pada fajar tahun baru oleh para malaikat
yang berbondong-bondong naik kelangit setelah turun beramai-ramai kebumi pada malam lailatul Qadar.
 
Allahhu Akbar -(Jamil bin Hamzah) 22 Dis 99
 
 
 

Kirim email ke