Mahathir Melatah Lagi!

Kini tiba pula giliran black metal selepas isu mahasiswa militan mewarnai dunia politik tanahair. Di mana-mana sahaja heboh diperkatakan orang tentang bahaya kewujudan black metal yang telah diresapi dengan unsur-unsur pemujaan syaitan. Lebih memeranjatkan lagi seperti kebiasaannya, Dr Mahathir tanpa usul periksa telah menyalahkan guru-guru agama yang pro pembangkang kerana gagal menangani masalah black metal di kalangan para pelajar. Aneh! pada waktu yang sama kumpulan rock gergasi dari Jerman,Scorpion telah diberikan permit untuk mengadakan konsert di Stadium Bukit Jalil pada 3 Ogos ini. Nyata sekali tindakan sebegini bukan sahaja menyerlahkan lagi dasar hipokrit kerajaan, malah kelihatan seolah-olah kerajaan sedang melakukan promosi untuk menarik minat orang ramai supaya menyaksikan konsert Scorpion di Stadium Bukit Jalil. Rakyat tertanya-tanya apakah bezanya muzik aliran black metal dengan muzik aliran rock sehingga menyebabkan black metal dianaktirikan dan rock diberikan layanan istimewa. Tentu pening kepala Dr Mahathir untuk menjawabnya. Segala kesalahan yang ditujukan kepada guru-guru agama kini kembali semula kepadanya.

Sewajarnya kerajaan yang patut dipertanggungjawabkan kerana gagal mengambil tindakan yang tegas sehingga membolehkan anasir-anasir buruk di dalam black metal berjaya mempengaruhi minda muda-mudi negara kita. Masih belum memadai setakat merampas kaset-kaset atau atau vcd-vcd kumpulan black metal. Kerajaan perlu membasmi pengaruh black metal sehingga ke akar umbi sekiranya kerajaan benar-benar serius untuk menangani masalah black metal dan ini termasuklah mengharamkan terus muzik aliran black metal. Kegagalan kerajaan berbuat demikian menunjukkan segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan Dr Mahathir termasuklah menyalahkan guru-guru agama yang pro pembangkang akan dilihat sebagai melepaskan batuk di tangga semata-mata. Mana yang lebih berkuasa? Kerajaan atau guru-guru agama? Sekiranya usaha kerajaan masih lagi gagal, bolehlah Dr Mahathir mula memikirkan untuk menyerahkan kuasa kepada guru-guru agama untuk memerintah negara. Hakikatnya, usah lagi memperbodohkan rakyat dengan kenyataan-kenyataan yang tidak masuk akal kerana ianya menunjukkan kelemahan pemikiran pemimpin itu sendiri. Setelah isu black metal kian reda, muncul pula isu sistem meritokrasi yang sebelum ini cuba diperkenalkan oleh DAP melalui gagasan Malaysian Malaysianya. Dr Mahathir Mohamad telah mengumunkan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan radikal ke atas pelajar Bumiputera yang terbabit dalam kegiatan keruntuhan moral, gejala sosial dan aktivis pelajar. Tindakan itu antara lain termasuklah mengetatkan kemasukan pelajar Bumiputera ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berdasarkan meritokrasi tanpa bantuan kerajaan.

Apakah rasionalnya kerajaan berbuat demikian? Taktik sebegini tidak ubah seperti serampang dua mata. Strategi yang pertama adalah untuk mengugut golongan mahasiswa supaya tidak lagi menyokong parti pembangkang dan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan BN. Matlamatnya adalah untuk membendung gelombang kebangkitan mahasiswa yang selama ini dilihat sebagai satu ancaman yang cukup besar dan amat mengerunkan kerajaan khususnya Dr Mahathir sendiri. Selepas ini akan lahirlah generasi mahasiswa yang jumud, bacul dan pengampu seperti Steven Doss dan rakan-rakan yang lain. Generasi mereka yang tertewas inilah akan turut sama disertai oleh rakan-rakan mereka yang lain seperti Nazrul Fazami Mohamad, Yang Di Pertua JPPUiTM dan para pemimpin mahasiswa yang mudah mengaku kalah setelah menerima sedikit tekanan daripada kerajaan. Apakah selepas ini Presiden PKPIM, Asyraf Wajdi Dusuki, Izwandy Idris, Yang Di Pertua MPPUSM dan lain-lain pemimpin mahasiswa akan tunduk kepada tekanan dan provokasi yang dilakukan oleh kerajaan?

Golongan pengampu seperti ini cukup ramai di dalam UMNO dan sedikit-sebanyak telah melemahkan kekuatan UMNO dari dalam. Seolah-olah mereka membenarkan apa sahaja kata-kata yang keluar daripada Dr Mahathir. Malah sekiranya Dr Mahathir berkata bahawa kambing itu bertelur sekalipun , tidak mustahil mereka akan mengiyakan kata-kata beliau. Mungkin ada yang akan menambah dengan mengatakan bahawa kambing itu bertelur emas. Maka ada pula yang akan mengatakan bahawa kambing bertelurkan emas sebulan sekali dan pada bulan yang seterusnya akan mengeluarkan telur perak. Akhirnya macam-macam kenyataan yang pelik-pelik yang akan keluar daripada mulut mereka.

Strategi yang kedua pula dilihat sebagai usaha kerajaan BN untuk memancing undi pengundi-pengundi Bukan Melayu di dalam pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sarawak yang akan diadakan tidak berapa lama lagi. Maka sistem meritokrasi bolehlah dianggap sebagai perencah istimewa yang mampu menambat selera pengundi-pengundi Bukan Melayu di Sarawak. Matlamatnya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memenangi undi masyarakat Bukan Melayu Di Sarawak.

Persoalannya pula ialah apakah kerajaan sanggup untuk melaksanakan sistem meritokrasi ini ke atas IPTA-IPTA tempatan biarpun selama 1 semester? Merujuk kepada kenyataan Ustaz Azizan Abdul Razak,Ketua Penerangan PAS di dalam akhbar The Sunday Star bertarikh 29 Julai 2001, yang mengatakan bahawa tindakan kerajaan itu telah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan pada waktu yang sama cuba mempersoalkan hak-hak keistimewaan kaum Melayu seperti yang tertera di dalam Perlembagaan Persekutuan. Menurutnya lagi sekiranya sistem meritokrasi ini dilaksanakan juga oleh kerajaan bermakna padahlah yang akan menimpa UMNO di dalam Pilihanraya Umum yang akan datang. Malah, tidak mustahil UMNO akan menerima tamparan hebat dengan kekalahan yang cukup dahsyat di dalam Pilihanraya Umum tersebut. Ustaz Azizan menambah lagi bahawa UMNO mendakwa cuba membela hak-hak keistimewaan kaum Melayu tetapi pada waktu yang sama cuba mengancam kedudukan hak-hak keistimewaan kaum Melayu. Apakah Pemuda UMNO akan berdiam diri sahaja? Sekurang-kurangnya mereka mesti memanjat bangunan UMNO di PWTC sebagaimana yang telah mereka lakukan ketika memanjat bangunan Suqiu ketika cuba memelihara hak-hak keistimewaan kaum Melayu. Apakah Pemuda UMNO sanggup menyahut cabaran ini?

Kenyataan Ustaz Azizan yang mengatakan bahawa kerajaan bertindak memangsakan golongan mahasiswa IPTA kerana marahkan PAS wajar direnungi oleh kita semua. Mengapa kerana nyamuk habis kelambu dibakar.? Kejayaan PAS meraih undi kaum Melayu kebelakangan ini cukup mengugat kedudukan UMNO yang dipimpin oleh Dr Mahathir. Lebih-lebih lagi dengan kegagalan UMNO mendesak kaum Melayu supaya membalas budi yang telah diberikan oleh kerajaan. Sejarah pernah membuktikan bahawa Dr Mahathir sendiri tidak pernah mengenang budi. Buktinya, Dr Mahathir pernah berkempen di atas platform PAS memburuk-burukkan kerajaan yang dipimpin oleh AlMarhum Tuanku Abdul Rahman Putra Al Haj ketika beliau dibuang daripada UMNO. Usaha UMNO gagal kerana kaum Melayu tidak mudah lupa dan mereka belajar daripada sejarah silam.

Apakah isu-isu ini sekadar gimik politik untuk mengalih tumpuan rakyat kepada isu-isu yang lebih besar iaitu penyalahgunaan ISA, insiden kebakaran di DTC(perlukah ada Suruhanjaya Di Raja untuk menyiasat punca kebakaran?), mahasiswa militan, black metal, kemelesetan ekonomi dan masalah pengangguran, kenaikan tambang penerbangan domestik kecuali Sabah dan Sarawak, kenaikan kadar bayaran jemaah haji ke Mekah, kenaikan tambang bas sekolah, laporan Datuk Fauzi Abdul Rahman tentang penyelewengan Menteri Penerangan, Tan Sri Khalil Yaakub, Adun Beserah, pengambil-alihan MAS dan UEM yang menunjukkan kegagalan dasar penswastaan kerajaan dan menyerlahkan lagi dasar bela kroninya kerana UMNO cuba melindungi kepentingannya di dalam syarikat berkenaan. Benarlah kata-kata Profesor Jomo yang mengatakan pengambil-alihan UEM sekadar usaha kerajaan untuk melindungi kepentingannya di dalan syarikat berkenaan kerana meskipun UEM muflis, tol tetap ada.

Kenyataan Datuk Dr Mashitah Ibrahim di dalam akhbar Lidah Pengampu Kerajaan yang terulung, Mingguan Malaysia bertarikh 29 Julai 2001 wajar direnungi. Menurut beliau, Rasulullah sendiri pernah memberi amaran dalam sabdanya:" Apabila diserahkan sesuatu jawatan itu kepada orang yang tidak mampu, itu bermakna tanda-tanda akhir zaman. Maka akan berlakulah perpecahan." Apakah Dr Mahathir yang sedang menyambut ulangtahun ke 20 pemerintahannya di Malaysia tidak lagi mampu memerintah negara?Macam-macam masalah yang timbul ketika beliau mentadbir negara.Perpecahan UMNO, perpecahan kaum Melayu, insiden di Sauk, DTC dan Kampung Medan, Black Metal, isu murtad, meningkatnya kes rogol dan jenayah hatta kepada masalah ekonomi negara.

AlMarhum Tunku Abdul Rahman dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan, Allahyarham Tun Razak pula dikenali sebagai Bapa Pembangunan. Maka Dr Mahathir wajar digelar Bapa Perpecahan kerana jasanya memecahkan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan menghuru-harakan negara.

Usaha yang dilakukan oleh Dr Mahathir untuk mengukuhkan kedudukan UMNO termasuklah membawa masuk golongan artis seperti Siti Nurhaliza, Erra Fazira, KRU, dan lain-lain lagi sekadar indah khabar daripada rupa. Ibarat orang tua yang cuba bersolek untuk kelihatan muda. Hakikatnya tua tetap tua. Kelemahan UMNO tetap ketara Perjanjian khas yang bakal dilaksanakan ke atas golongan mahasiswa IPTA tempatan juga akan memanjangkan lagi episod permusuhan di antara mereka dengan kerajaan. Dr Mahathir juga tidak boleh menyalahkan guru-guru agama ekoran ramai kaum Melayu yang murtad dan ianya adalah tidak munasabah sama sekali kerana kerajaan sendiri tidak melaksanakan undang-undang anti murtad.

Tindakan Dr Mahathir mencampuri urusan dalaman kerajaan negeri Kelantan dengan gurkhanya, Kuli yang kini seolah-olah dialah Sultan Kelantan yang baru cukup menaikkan kemarahan rakyat Kelantan khasnya dan warga Malaysia umumnya. Masalah Dr Mahathir sendiri sudah cukup banyak dan pada waktu yang sama beliau ingin mencampuri urusan dalaman orang lain. Hakikatnya tindakan beliau itu lebih menguntungkan kerajaan negeri Kelantan yang dipimpin oleh Datuk Nik Aziz Nik Mat kerana rakyat dapat melihat betapa benarnya dakwaan yang mengatakan Sultan Kelantan dikuasai oleh Kerajaan melalui Kuli dan sekaligus menjejaskan kredibiliti baginda sebagai payung negeri Kelantan. Malah Dr Mahathir juga cuba menafikan hak rakyat Kelantan yang majoritinya menyokong pindaan tersebut sedangkan hanya Ibrahim Ali dan beberapa kerat sahaja rakyat Kelantan yang menentangnya.Buktinya tidak ada rusuhan besar-besaran ketika Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan pindaan tersebut.Ini menunjukkan bahawa majoriti rakyat Kelantan menyokong hasrat Kerajaan Negeri Kelantan untuk membuat pindaan yang akan menghadkan kuasa Sultan Kelantan.

Usahlah dipersoalkan niat seseorang kerana kita sendiri tidak tahu apakah niat sebenar Kerajaan Pusat sewaktu melaksanakan pindaan tersebut. Nyata, sedikit-sebanyak terbukti bahawa Dr Mahathir seorang yang hipokrit.

Hakikatnya telah banyak kali Dr Mahathir melatah. Malah bermacam-macam sandiwara yang telah dilakonkan oleh beliau sehingga rakyat naik muak.20 tahun suatu jangka masa yang agak lama dan sudah tiba masanya untuk Dr Mahathir bersara serta bertaubat. Apakah kita perlu memecat Dr Mahathir sebagaimana yang berlaku kepada Gus Dur di Indonesia? Persoalannya apakah ahli-ahli parlimen BN berani melakukannya.

BEGIN:VCARD
VERSION:2.1
N:Huda;Nurul
FN:Nurul Huda
EMAIL;PREF;INTERNET:[EMAIL PROTECTED]
REV:20010730T151658Z
END:VCARD

Kirim email ke