Back to PEMANTAU - http://pemantau.tripod.com
 
 
 
Salam dari majalah DETIK - WAWANCARA KHAS MAJALAH DETIK
 
Saudara/saudari,
 
Wawancara di bawah ini asalnya dibuat untuk Majalah Detik. Walaupun telah dicetak, akan tetapi tidak dapat diedarkan oleh kerana Detik menghadapi masalah
permit dari KDN. Pada 9/12/1999 pihak Detik diberitahu akan mendapat permit baru. Akan tetapi, beberapa hari kemudian pihak KDN telah memberitahu
pengarang/penerbit Detik secara lisan bahawa permit itu ditarik balik. Sekarang beliau sudah diberikan surat tunjuk sebab pula. Kemungkinannya hayat Detik hendak
ditamatkan.
 
Oleh kerana tidak diketahui bila dan sama ada wawancara ini akan terbit atau tidak, saya telah meminta kebenaran daripada Sdr Ahmad Lutfi, pengarang Detik,
untuk mengedarkannya melalui internet. Walaupun sudah terlewat sedikit, saya berharap ia masih berguna lagi.
 
Terima kasih.
 
Syed Husin Ali
 
 
 
1. Ulasan umum Dr terhadap keputusan pilihan raya 1999, dengan penumpuan kepada prestasi calon-calon PRM.
 
Pada umumnya keputusan ini mengecewakan kerana BA tidak berjaya memecahkan majoriti dua-pertiga BN. Namun begitu, kejayaan PAS memenangi 27 kerusi
Parlimen dan menawan Terengganu disamping mempertahankan Kelantan sangat membanggakan. Prestasi DAP lebih baik dari 1995, walau apapun yang dikatakan
orang. Kemenangan yang dicapai oleh keADILan, sunguhpun tidak besar, memberikan harapan bagi masa depannya. Malangnya PRM kecundang lagi, walaupun ia
memusatkan tenaga kepada bilangan kerusi yang sedikit saja. Yang menyejukkan hati sedikit ialah semua calonnya telah dapat mengurangkan majoriti BN,
berbanding dengan keputusan pilihanraya ke-9 pada tahun 1995.
 
Yang paling menarik bagi saya ialah dalam pilihanraya kali ini nyata sekali sebahagian besar orang Melayu telah beralih angin untuk menyokong BA. Mereka tidak
percaya kepada segala dakyah dan fitnah yang disebarkan oleh pucuk pimpinan BN, terutama mengenai Anwar Ibrahim dan pemimpin-pemimpin BA yang lain.
Bahkan faktor kezaliman ke atas Anwar telah banyak membantu PAS, seperti yang diakui oleh presidennya sendiri. Juga, tidak boleh dinafikan bahawa DAP pun
mendapat manfaat daripada perubahan angin pengundi Melayu ini. Misalnya, ia telah memberi kemenangan kepada DAP bagi parlimen Nibong Tebal.
 
Sekiranya diambil hanya pengundi-pengundi Melayu saja, maka bolehlah dikatakan bahawa Anwar telah berjaya mengalahkan Mahathir. Sebahagian besar orang
Melayu sekarang ini tidak percaya kepada UMNO dan lebih tidak percaya kepada Mahathir. Kedudukan Mahathir sebagai pemimpin orang Melayu sudah terjejas.
Kemungkinannya ini akan menimbulkan pergolakan baru dalam UMNO. Tentu sekali perhimpunan UMNO akan datang akan lebih menarik lagi.
 
2. Mahathir menganggap keputusan ini, bagi BN, lebih baik berbanding 1995.
 
Saya tidak faham apa logik beliau. Dari segi undi, yang menyokong BN merosot daripada 65 peratus kepada 57 peratus. Dari segi kerusi parlimen pula, bilangan
yang dimenangi oleh BN menurun daripada 166 kepada 148. Kerusi parlimen yang dimenangi UMNO sendiri telah menurun daripada 94 kepada 72 saja. Empat
orang menteri dan lima orang timbalan menteri tewas. BN kalah teruk di Kelantan dan Terengganu, yang jatuh ke tangan PAS. Jadi, Mahathir cuma hendak menipu
diri sendiri saja.
 
3. Walaupun undi untuk BA meningkat tetapi ia tetap gagal dalam usaha menafikan majoriti 2/3 BN di Parlimen.
 
Ini memang benar. Itul sebab saya katakan tadi kegagalan ini mengecewakan.
 
4. Banyak pihak berpendapat, yang paling untung dalam pilihan raya ini ialah PAS, manakala komponen BA yang lain, tidak banyak menunjukkan
peningkatan. Apakah ia akan menyebabkan gabungan yang ada itu makin longgar ataupun mungkin berpecah seperti nasib Gagasan Rakyat selepas
1990.
 
PAS memang sudah muncul sebagai parti yang terkuat dalam BA. Jikalau berterusan sikap hormat-menghormati serta kesediaan untuk bermusyawarah selalu, dan
tidak ada sikap bongkak serta "tamak dan kedekut" di kalangan parti-parti alternatif, Insya Allah masa depannya akan baik.
 
Sebelum pilihanraya, Majlis yang mengandungi pemimpin-pemimpin BA telah bertemu dan berbincang hampir 20 kali dan mereka telah berjaya mencapai
bermacam-macam persetujuan, misalnya, tentang manifesto bersama, belanjawan alternatif dan pertandingan satu lawan satu. Sekaligus mereka telah dapat
meletakkan asas yang agak kuat untuk bekerjasama.
 
Selepas pilihanraya, Majlis ini bertemu lagi; mereka bersetuju memilih Ketua Pembangkang dalam Parlimen yang baru dan bersetuju juga untuk bertemu lagi selepas
hari raya nanti dan seterusnya. Perbezaan pendapat memang ada, akan tetapi kesan yang saya perolehi ialah kesemua pemimpin adalah komited kepada meneruskan
konsep BA itu dan menjadikannya lebih mantap lagi supaya bertambah berkesan untuk menentang BN dalam piliharaya yang akan datang.
 
5. DAP, melalui laporan akhbar, menyalahkan pakatannya dengan PAS, yang menyebabkan parti itu kalah teruk. Soalnya, benarkah DAP kalah
teruk dan apakah benar isu Negara Islam menjadi punca kekalahannya.
 
Pertama sekali, perlu ditegaskan bahawa kita tidak perlu mempercayai segala yang digembar-gemburkan oleh media perdana yang dikuasai atau dipengaruhi BN itu.
Tengok sajalah segala pembohongan dan fitnah yang mereka sebarkan dalam tempoh kempen pilihanraya. Tidak ada moral atau etika kewartawanan yang mereka
hormati atau buktikan.
 
Namun begitu, memang benar bahawa ada golongan dalam DAP yang tidak menyetujui kerjasama dengan PAS, walaupun perkara ini telah diputuskan oleh kongres
DAP, dan golongan ini telah mengenakan tekanan ke atas pimpinan DAP kerana prestasi DAP dalam pilihanraya ini tidak sebaik yang mereka duga.
 
Tidak benar jikalau dikatakan DAP kalah teruk. Kali ini mereka memenangi 10 kerusi, berbanding dengan lapan pada tahun 1995 (atau sembilan jikalau dicampur
kerusi Telok Intan yang dimenangi dalam pilihanraya kecil). Kekalahan besar yang dirasakan ialah kekalahan Lim Kit Siang dan Karpal Singh.
 
Mungkin ada benarnya kekalahan kedua-dua tokoh ini dan prestasi DAP yang tidak sebaik diduga berkaitan dengan isu Negara Islam. Kita ketahui bahawa isu ini
beserta isu keganasan telah digunakan sepenuhnya oleh pucuk pimpinan BN, melalui media perdana, untuk menakut-nakutkan orang Tionghua. Namun begitu,
walaupun kalah di PJ Utara, DAP telah menang di beberapa kawasan majoriti Tionghua, seperti Cheras dan Bukit Bintang, walaupun majoritinya berkurangan; tetapi
di Seputeh, majoriti yang hampir sama dapat dipertahankan.
 
Boleh jadi, seperti ditegaskan oleh para pemimpin DAP, isu negara Islam ini paling serius. Tetapi, ramai orang mengakui mungkin ada juga faktor-faktor lain. Ada
pendapat mengatakan setengah-setengah wakil rakyat DAP jarang melawat kawasan, dan ada diantara mereka sering bertukar kawasan pula setiap kali pilihanraya.
Ramai petugas-petugas pilihanraya BA mendapati bahawa organisasi DAP terlalu lemah, dan tidak cukup baginya terlalu bergantung kepada sentimen orang
Tionghua yang menyokong pembangkang saja. Ada pula orang yang mengatakan bahawa undi yang diperolehi DAP tidak begitu baik di negeri-negeri di mana ia
mempunyai masalah perpecahan kepimpinan, seperti di Pulau Pinang dan Sarawak.
 
Banyak faktor yang menjejaskan DAP ini menjejaskan juga keADILan dan PRM.
 
6. Apakah pilihan raya kali ini benar-benar berjalan secara adil dan saksama?
 
Sama sekali tidak. Awal-awal lagi 680,000 orang pengundi baru telah dinafikan hak mereka untuk mengundi. Alasan yang diberi oleh SPR tidak memuaskan. Saya
percaya, sekiranya pengundi baru ini dianggap memihak kepada BN, Mahathir akan mengarahkan supaya mereka didaftarkan dalam tempoh tiga bulan, dan SPR
akan melaksanakannya. Pilihanraya boleh diselenggara dalam masa singkat sembilan hari, mengapa tidak pendaftaran pengundi baru?
 
Proses serta peranan undian pos masih diragukan. Benar sebilangan besar anggota tentera di tempat-tempat tertentu memberikan undi yang banyak kepada
calon-calon BA. Tetapi apa yang berlaku sebenarnya waktu pengundian pos, terutama di kalangan anggota-anggota polis, tidak diketahui sepenuhnya. Ada dakwaan
bahawa pemerhati-pemerhati dari SPR tidak menjalankan tugas mereka secara berkesan. Itu sebabnya BA telah menuntut supaya wakil-wakil parti yang bertanding
dibenarkan menyaksi proses undian pos ini. Tuntutan ini telah dinafikan. Satu hal yang aneh ialah di beberapa tempat undi pos dikeluarkan pada saat akhir,
seolah-olah untuk memenangkan calon-calon BN yang kelihatan hampir tewas. Bagaimana ini boleh berlaku, pada hal undi pos telah dikira lebih awal?
 
Ramai pengundi mendapati nama mereka tidak terdapat dalam senarai pengundi di kawasan mereka pernah mengundi dulu. Nama mereka terus hilang ataupun telah
dipindahkan ke kawasan-kawasan lain tanpa kebenaran atau pengetahuan mereka. Bagaimana ini boleh berlaku? Ramai juga yang melaporkan bahawa nombor kad
pengenalan mereka (biasanya yang lama) telah dipindahkan kepada nama orang lain di tempat lain.
 
Di beberapa kawasan alamat rumah yang tidak wujud diberikan untuk pengundi-pengundi (barangkali pengundi hantu). Ada juga tuan rumah yang mendakwa
bahawa alamat rumah mereka telah digunakan oleh pengundi-pengundi yang tidak mereka kenali. Ada pula berpuluh-puluh pengundi didaftarkan pada alamat yang
sama. Untuk memastikan pilihanraya yang bersih dan adil semua perkara ini mesti diselidik dan diatasi secepat mungkin.
 
Sepanjang masa kempen, pucuk pimpinan BN telah menggunakan sepenuh-penuhnya media yang dimiliki atau dipengaruhinya untuk menyebarkan dakyah,
pembohongan serta fitnah dan menimbulkan rasa takut serta terancam terutama sekali di kalangan orang bukan-Melayu. Selain itu secara haram (tanpa menyebut
nama pencetak dan penerbit) mereka telah menaburkan kaset serta risalah yang kotor dan tidak bertanggungjawab tentang Anwar Ibrahim. Sekiranya mereka
mempunyai segala bukti ini, mengapa tidak dikemukakan dalam mahkamah, sunguhpun saya setuju sistem perundangan di negeri ini sudah tidak ada kewibawaan
lagi?
 
Yang menggelikan hati ialah mereka telah menerbitkan poster tentang apa yang didakwa sebagai senarai "kabinet bayangan" BA. Diletakkan di situ Lim Kit Siang
sebagai calon Timbalan Perdana Menteri. Poster palsu dan haram inilah yang digunakan di kalangan wanita-wanita untuk menunjukkan kononnya ketuanan Melayu
terancam.
 
Akhirnya, ada satu perkara lagi yang perlu ditegaskan. Di seluruh dunia, termasuk negara-negara tetangga (melainkan Singapura barangkali), televisyen memberi
ruang kepada parti-parti lawan untuk menerangkan dasar serta manifesto mereika. Akan tetapi, di Malaysia, negeri serba boleh ini, televisyen dimonopoli
sepenuh-penuhnya oleh pemimpin-pemimpin BN. Tidak satu saat pun diberi kepada pemimpin BA untuk menerangkan dasar atau manifestonya. Muka mereka
disiarkan hanya apabila hendak dikecam, dipersenda atau difitnah.
 
Mahathir mendakwa kononnya pilihanraya yang beliau adakan bebas dan adil. Adakah semua contoh di atas membuktikan dakwaannya benar? Yang melucukan
ialah selepas pilihanraya, beliau mendakwa kononnya borang penamaan calon beliau nyaris-nyaris dibatalkan kerana ada orang yang telah disogok untuk
mengubahnya. Jikalau ini benar, dan sudah tentu Mahathir mempunyai bukti, mengapakah beliau tidak mengambil tindakan sewajarnya melngikut undang-undang?
Adakah beliau sendiri tidak menghormati sistem perundangan negeri ini? Malulah sedikit!
 
7. Tumpuan selepas pilihan raya ini difokuskan kepada masa depan Parti Keadilan. Pada pandangan Dr sendiri, mungkinkah ia perlahan-lahan
berkubur seperti nasib S46 ataupun sebaliknya, yakni dapat bertahan dan mengumpul kekuatan baru.
 
Keadaan antara PMS46 dengan keADILan berlainan. Satu perkara yang penting ialah keADILan tumbuh dan disokong kuat dari bawah, terutama sekali oleh
pemuda-pemudi. Mungkin ada di antara pemimpin dan anggota keADILan yang tidak mempunyai banyak kepentingan ekonomi dan politik, seperti hampir semua
pemimpin PMS46 dulu, akan beransur-ansur pulang kepada UMNO. Tetapi sebahagian besar yang muda yang mempunyai apa-apa kepentingan itu akan tetap
meneruskan perjuangan keADILan.
 
Jikalau BA terus mantap, keADILan akan menjadi bertambah kuat. Sekiranya ini tidak berlaku, mungkin keADILan boleh menambahkan kekuatannya dengan
kerjasama lebih rapat dengan parti-parti tertentu dalam BA itu. Sejak dari sebelum pilihanraya lagi kedua-dua keADILan dan PRM telah bersetuju untuk merapatkan
lagi kerjasama di antara mereka, mungkin dalam rangka sebuah gabungan yang lebih padu dalam BA.
 
8. Ramai berpendapat pengundi Cina kali ini mengulangi kecenderungan 1995, iaitu terus memberikan sokongan mutlak kepada BN. Benarkah
begitu dan mengapa boleh terjadi sedemikian rupa? Dan apakah pendekatan terbaik BA untuk menarik sokongan pengundi Cina dalam pilihan raya
akan datang?
 
Saya tidak percaya pengundi Cina "memberikan sokongan mutlak kepada BN". Mengikut anggaran yang telah dibuat oleh beberapa orang, secara keseluruhan di
sekitar 40-45 peratus orang Tionghua telah menyokong BA. Ertinya, lebih ramai yang menyokong BN dan faktor ini telah membantu MCA mendapat kemenangan
agak besar. Dalam pada itu di beberapa kawasan parlimen, terutama sekali di Wilayah, DAP telah berjaya mendapat sokongan lebih daripada separuh pengundi
Tionghua. Oleh kerana ini mereka berjaya mempertahankan kerusi-kerusi lama mereka.
 
Tentang pendekatan terbaik BA untuk menarik pengundi Tionghua itu, ini perlu dibincang dan dirangka secara teliti oleh BA. Sama juga dengan pendekatan untuk
memastikan angin perubahan pengundi Melayu tidak beralih semula pula. Buat sementara waktu, pemimpin-pemimpin PAS, terutama sekali dalam kerajaan Kelantan
dan Terengganu, harus berhati-hati sebelum mengumumkan langkah atau dasar yang baru. Halusilah dulu segala implikasinya dari semua segi, dan sebaik-baiknya
amalkanlah syura bersama semua pihak yang bersangkutan, di luar atau di dalam BA.
 
Selain itu, saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan Terengganu menggunakan sebahagian kecil daripada wang petroleum dan Yayasan Terengganu yang banyak
itu untuk memberi biasiswa atau bantuan lain untuk melanjutkan pelajaran kepada pelajar-pelajar bukan Islam, terutama sekali dari keluarga kurang berkemampuan.
 
9. Selepas 30 tahun, jawatan ketua pembangkang kembali kepada pemimpin Melayu. Apa harapan Dr terhadap senario baru ini?
 
Ini satu perkembangan baik, kerana pihak pemimpin BN tidak boleh terus menuduh bahawa pembangkang itu semestinya orang bukan Melayu saja. Selama beliau
menjadi Ketua Pembangkang, boleh dikatakan Lim Kit Siang telah bekerja kuat; beliau telah "membuat homework" yang teliti. Banyak skandal kerajaan yang telah
dibongkarnya dan tidak kurang pula cadangan-cadangan bernas yang telah dikemukakannya. Beliau sering menghidupkan suasana parlimen yang selalu
membosankan itu. Tidak dapat dinafikan Kit Siang seorang Ketua Pembangkang yang baik, sama tarafnya dengan Dr Tan Chee Khoon sebelumnya. Saya berharap
Ketua Pembangkang yang baru akan sekurang-kurangnya dapat menyaingi, jikalau tidak mengatasinya.
 
10. Umno tentunya akan berusaha mengambil hati pengundi Melayu dalam tempoh lima tahun ini. Berdasarkan kemampuannya sebagai parti
pemerintah, usaha itu mungkin sedikit sebanyak berjaya. Ini bermakna keupayaan BA dalam pilihan raya akan datang bergantung sejauhmana ia
dapat mengambil hati pengundi bukan Melayu. Dan nampaknya yang berperanan besar dalam hal ini ialah pendekatan pemimpin PAS di Kelantan
dan Terengganu. Apa harapan Dr kepada pemerintahan PAS di kedua-dua negeri itu.
 
Sekarang ini kita pada peringkat menegakkan keadilan, dan saya harap kerajaan Kelantan dan Terengganu akan dapat melaksanakannya dalam semua bidang -
politik, ekonomi, sosial, budaya dan agama - kepada semua rakyat, tidak kira agama, bangsa dan keturunan mereka. Pemimpin-pemimpin di negeri itu tentu sekali
sudah maklum bahawa setiap apa yang mereka lakukan akan dinilai oleh dan mempunyai kesan ke atas rakyat di seluruh Malaysia. Saya harap mereka akan
membuktikan kerajaan Kelantan dan Terengganu diperintah dengan lebih adil, lebih bersih, lebih telus, lebih bertanggugjawab kepada rakyat, dan lebih prihatin
terutama sekali kepada golongan yang daif (mustadafin).
 
11. Benarkah Anwar Ibrahim akan dilupakan selepas BA gagal mencapai kemenangan?
 
Anwar masih lagi merupakan salah seorang pemimpin BA. Pada dasarnya, para pemimpin dan anggota BA menganggap beliau telah dizalimi dan tidak diberikan
keadilan sewajarnya. Insya Allah Anwar tidak akan dilupakan, selagi semua pemimpin dan anggota BA sentiasa mengingatinya dalam fikiran, percakapan dan
tindakan mereka. Anwar hanya akan dilupakan sekiranya kita semua sengaja hendak melupakannya.
 
 
 
Back to PEMANTAU - http://pemantau.tripod.com
 
 

Kirim email ke