Beberapa kurun negara-negara ketiga telah dijajah oleh negara maju yang
sebahagian besarnya adalah negara barat yang penghuninya bangsa berkulit
putih dan selama itu jugalah mereka telah mengaut hasil bumi
negara-negara ketiga ini untuk memperkayakan negara mereka sendiri. Yang
amat dikesalkan sebagai balasan dari itu, apa yang diperolehi oleh
negara-negara ketiga ini setelah mereka merdeka, mereka terus dibiarkan
dengan kemiskinan dan kemunduran.

Layanan daripada negara maju terhadap negara-negara membangun atau
negara ketiga sehingga kini amat tidak memuaskan hati dan menyedihkan
sekali. Mereka negara maju yang selalu melaungkan keadilan dan hak asasi
manusia tidak pernah melayan negara-negara ketiga ini dengan cara yang
adil. Malah rakyat negara ketiga ini terus menjadi hamba kepada mereka.

Walaupun rakyat negara ketiga adalah penghuni terbesar dunia tetapi
mereka terus dibelenggu oleh peraturan berat sebelah yang dicipta dan
dipaksakan oleh negara-negara maju ini. Apalah ertinya demokrasi yang
mereka laungkan sedangkan suara majoriti rakyat dunia ketiga di
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tidak pernah diambil kira. Malah
dasar-dasar dan keputusan yang diambil oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu ditentukan oleh beberapa kerat negara maju ini.

Negara-negara ketiga disekat dari memusnahkan hutan mereka bagi tujuan
pembangunan industri, perladangan dan pertanian, dan bagi mendapatkan
hasil balaknya. Kononnya kawasan hutan perlu dikekalkan bagi membekalkan
oksigen untuk kesinambungan kehidupan seluruh manusia di dunia ini.
Tetapi negara-negara maju ini hanya tahu mengarah tetapi tidak pernah
menyumbang atau membayar apa-apa imbuhan kepada negara-negara ketiga ini
sebagai pampasan kerana tidak meneroka hutan mereka. Yang kesalnya
undang-undang melarang memusnahkan hutan ini mereka buat dan paksakan
kepada kita setelah mereka sendiri memusnahkan hutan di negara mereka
bagi tujuan pembangunan. Tentulah tidak adil selepas itu mereka pula
memaksa kita mengekalkan hutan kita bagi tujuan membekalkan oksigen
kepada mereka tanpa kita menerima apa-apa balasan atau bayaran dari
mereka.

Kalaulah oksigen yang dihasilkan oleh hutan ini boleh kita kawal dan
jual tentulah negara-negara ketiga ini telah menjadi kaya raya seperti
negara-negara asia tengah yang menjadi kaya raya hasil dari jualan
minyak yang terdapat di perut buminya.

 Setiap tahun negara-negara ketiga menghantar beribu-ribu pelajar mereka
untuk belajar di institusi pengajian tinggi di negara-negara maju.
Negara maju ini bukan saja meraih keuntungan dari yuran dan perbelanjaan
pelajar-pelajar ini malah mereka juga dapat manafaat dari hasil
penyelidikan yang dilakukan oleh penuntut-penuntut dari negara ketiga
ini. Mereka terus mengekploitasi pelajar-pelajar dari luar ini untuk
memajukan bidang penyelidikan dan pembangunan di negara tersebut tanpa
diberi apa-apa imbuhan selain dari ijazah yang mereka terima.

Undang-undang hakcipta yang mereka paksakan untuk semua negara di dunia
hanyalah undang-undang yang berat sebelah yang memihak kepada mereka.
Memang patut undang-undang hakcipta perlu wujud tetapi ia perlulah
mengambil kira berbagai aspek supaya ia lebih adil untuk semua.
Sepatutnya undang-undang hakcipta perlu juga mengambil kira tempoh masa,
kepentingan kepada pengguna, tahap persaingan, jenis barangan dan
sumbangan atau belanja yang telah dikeluarkan untuk menghasilkannya.
Bayangkan bagaimana kaya rayanya Edison pada hari ini jika dia mendapat
satu sen dari setiap mentol tungsten yang orang ramai gunakan sehingga
kini. Begitu juga dengan pengetip kuku yang telah memudahkan kita
memotong kuku, tentulah juga penciptanya juga akan menjadi kaya raya
kalau dia hidup pada masa undang-undang hakcipta ini digubal.

Apakah patut semua keuntungan akhir hasil perisian komputer dilonggokkan
kepada Bill Gates seorang padahal sebelum itu beribu ahli sains yang
lain yang sama-sama telah memerah otak untuk memajukan bidang komputer
dan perisiannya tidak mendapat bayaran yang setimpal seperti mana yang
diterima oleh Bill Gates. Sebenarnya sumbangan Bill Gates kepada
kemajuan bidang komputer keseluruhan hanyalah begitu kecil sahaja tetapi
ia telah mengambil kesempatan menggunakan kelemahan undang-undang
hakcipta ini untuk memperkayakan dirinya sehingga ke tahap yang tidak
munasabah.

Mungkin kita boleh terima untuk mengimport barangan teknologi canggih
yang kita tidak ada  kemampuan untuk membuatnya bagi kegunaan dalam
negara kita. Tetapi adalah agak keterlaluan kalau syarikat-syarikat
seperti Mc Donald, Kentucky Fried Chicken, Coca-cola membawa balik
keuntungan berjuta ringgit ke negara mereka semata-mata hasil dari
menggorengkan ayam dan menyediakan minuman untuk rakyat di negara
ketiga. Inilah dia hasil dari undang-undang hakcipta yang telah
dipaksakan kepada kita yang kita nampak begitu berat sebelah yang
tujuannya hanya menjaga kepentingan diri mereka untuk terus
memperkayakan negara mereka.

Pada satu masa dulu di Malaysia pihak yang menyediakan tempat untuk
penyanyi Michael Jackson membuat persembahan berasa bangga kerana telah
mendapat keuntungan besar dan sudah tentu Michael Jackson sendiri telah
berjaya membawa balik keuntungan yang entah berapa juta ringgit pula
hasil dari persembahannya itu. Tetapi persoalan yang harus kita fikirkan
bersama, dari poket siapakah datangnya wang itu?  Patutkah kita mendabik
dada mengatakan kita telah mendapat untung sedangkan wang rakyat kita
telah dibawa balik ke negara mereka.

Memang suatu amalan yang baik jika mengasihi binatang seperti anjing dan
kucing. Malah negara-negara maju juga telah menyumbang belanja yang
besar dalam usaha untuk memastikan hidupan liar seperti panda, gajah,
harimau, badak sumbu, gorila dan orang utan tidak pupus di dunia ini.
Tetapi bolehkah kita menghargai kasih sayang dan prihatin mereka kepada
binatang-binatang ini sedangkan mereka menutup hati dari merasa belas
kepada manusia-manusia yang sedang bertarung dengan maut akibat
kebuluran di merata-rata tempat di negara ketiga.  Pernah dikatakan
kalau dikumpulkan lebihan sarapan pagi yang dibuang oleh seluruh rakyat
Amerika Syarikat, ia boleh menampung semua mangsa kebuluran di benua
Afrika. Bukanlah kita rasa iri dengan kekayaan negara-negara maju ini,
tetapi apa yang kita minta dari mereka ialah layanan dan sikap mereka
kepada negara-negara ketiga perlulah lebih adil. Janganlah menjadikan
kemiskinan dan kemunduran negara-negara ketiga ini untuk mereka terus
menindas dan memeras. Dunia ini Tuhan jadikan untuk semua manusia bukan
untuk satu-satu bangsa sahaja. Setiap dari kita mempunyai hak untuk
mendapatkan kehidupan yang lebih baik dan juga perlu mempunyai rasa
tanggungjawab untuk membantu orang lain mendapatkan kehidupan yang lebih
baik di dunia ini. Wallahualam.

begin:vcard 
n:;Alias Mohd Yusof
x-mozilla-html:FALSE
adr:;;;;;;
version:2.1
email;internet:[EMAIL PROTECTED]
x-mozilla-cpt:;0
fn:Alias Mohd Yusof
end:vcard

Kirim email ke