*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
6:50pm
Petugas bilik mayat yang merasakan bahawa bilik mayat sudah sesak menyarankan 
agar kesemua yang hadir beredar ke bilik menunggu. Bilik menunggu yang hanya 
10 meter sahaja dari bilik mayat dilengkapi dengan 20 kerusi sofa,sebuah katil 
dan bilik air.

7:00pm
Seorang pegawai polis sampai dengan pembantunya untuk mengambil repot. S 
menulis didalam repot berkenaan sambil dibantu oleh A dan seorang doktor. S 
mahukan autopsi dijalankan.

7:10pm
Pegawai bertugas di bilik mayat menghubungi doktor autopsi yang berkenaan 
ditelefon. Pegawai berkenaan memberitahu bahawa autopsi akan diadakan tepat 
jam 8 malam dan akan berakhir jam 11malam. Beliau memohon agar kesemua yang 
hadir agar pulang berehat dan datang kembali jam 11 malam. Jenazah X disorong 
masuk ke bilik autopsi mayat Islam. A meminta kepada pegawai bertugas agar 
jenazah X dimandi dan dikapankan sekali.

7:15pm
A membuat pengurusan dengan drebar van mayat ( swasta) untuk menghantar 
jenazah X pulang ke kampung pada malam itu juga. Setelah tawar menawar dengan 
harga yang dikenakan maka A dan drebar van mayat bersetuju untuk berjumpa 
semula jam 11 malam. Drebar van mayat mengingatkan agar keluarga membawa 
sehelai kain batik lepas.


7:30pm
Oleh kerana masa menunggu yang panjang, C dan B serta kawan B,  membawa S 
pulang ke rumah di kota P. S perlu bersiap siap untuk pulang ke kampung. A dan 
keluarga membawa kedua dua anak anak saudara pulang ke rumah beliau. C dan A 
berjanji untuk bertemu semula jam 11 malam.

Dalam perjalanan pulang S tidak habis habis menceritakan bahawa X seorang yang 
sihat walafiat dan sambil berselang seli menjawab panggilan telefon. C hanya 
mampu mendengar. S mahu singgah di pejabatnya untuk mendapatkan ubat dan 
beberapa dokumen bank, perumahan dan insuran yang sengaja disimpan di pejabat 
beliau.

8:15pm
Rumah S dipenuhi oleh jiran tetangga dan sanak saudara. G masih lagi belum 
habis menangis kerana amat sayangkan majikannya. Adik beradik yang hadir sudah 
bersiap sedia untuk pulang ke kampung dikala itu juga.

9:00pm
Mesyuarat tidak rasmi sekali lagi berlaku. K dan seorang kakak yang lain akan 
membawa G dan anak anak pulang ke kampung malam itu juga. Seorang kakak sudah 
pun bertolak pulang. C dan A berserta keluarga akan bersama S dan jenazah X 
dan mengiringnya untuk pulang ke kampung.

10:30pm
C dan B berserta S dan anak sulong beliau tiba semula di bilik mayat. Petugas 
memberitahu bahawa autopsi belum lagi selesai. S terus ke bilik menunggu. C 
dan B terus ke kantin hospital untuk mendapatkan sandwich untuk kesemua mereka 
yang belum makan malam.

11:00pm
A tiba bersama keluarganya ke bilik mayat dan bertemu S di bilik menunggu. 
Drebar van mayat mengalihkan kenderaan beliau agar mudah untuk memasukkan 
jenazah kedalam van.

11:10pm
Rakan rakan sepejabat S seramai 5 orang tiba di bilik mayat. Mereka tidak 
banyak berkata kata mungkin kerana suasana yang tidak sesuai.

11:15pm
Pegawai polis bertugas keluar dari bilik autopsi dan bertemu dengan S, C dan A 
di bilik menunggu. Pegawai berkenaan bertanyakan butir butir peribadi S dan X. 
A menanyakan bahawa jika ada yang tidak kena dengan cara kematian X. Pegawai 
berkenaan melapurkan bahawa repot autopsi akan siap dalam masa dua minggu dan 
lapuran dari Jabatan Kimia akan siap dalam masa beberapa bulan lagi. Pegawai 
berkenaan melapurkan bahawa di peringkat awal ini tidak ada sebarang kegiatan 
jenayah yang boleh disabitkan tentang kematian X. Pegawai berkenaan 
mengeluarkan Sijil Pengkebumian dan mengarahkan agar S singgah di balai polis 
bila kesemua urusan pengkebumian selesai dalam tempoh seminggu.

11:30pm
Pegawai bilik mayat memberitahu bahawa jenazah X sedang dicuci dan akan dibawa 
keluar. Drebar van mayat memberitahu bahawa jenazah X tidak dimandikan dan 
tidak dikapankan. Mengikut kata beliau ada dua sebab mengapa jenazah ini tidak 
disempurnakan. Pertama kata beliau, berlaku penangguhan dalam menguruskan 
jenazah ini. Kata beliau lagi jenazah mesti dimandikan, dikapankan, disolatkan 
dan dikebumikan secara berturutan tanpa berlaku jarak masa yang terlampau 
lama. Hujah beliau berdasarkan bahawa jenazah X hanya akan dikebumikan pada 
keesokkan pagi harinya dan berlaku jarak masa yang amat panjang. Kedua, beliau 
merasakan bahawa jenazah X akan terus berdarah akibat perjalanan yang panjang 
ke kampung. Ada baiknya jika di mandikan bila tiba di kampung sahaja.

Pegawai polis yang bertugas menyatakan ada baiknya jika jenazah X dimandikan 
dan dikapankan kerana beliau menyatakan bahawa keluarga akan berasa bertambah 
sedih dan pilu bila melihat kesan jahitan diseluruh tubuh badan X akibat 
autopsi.

11:45pm
A menelefon seorang Ustaz yang juga kenalannya dan meminta pendapat. Sedang 
mereka berbual bual jenazah X sudah pun disorong keluar ke van mayat. X akan 
dimandikan di kampung dan Ustaz tersebut tidak sempat memberikan sebarang 
pendapat.

11:50pm
Drebar van mayat memberitahu bahawa mereka hanya dapat  memandu selaju 80 km 
sejam di sepanjang perjalanan agar jenazah tidak begitu bergoncang dan lagi 
pula van mayat tidak dicipta untuk bergerak laju dan pantas. A memberitahu 
bahawa mereka akan berhenti di sebuah plaza tol untuk bertemu anak beliau yang 
sulong yang mengambil adik adik beliau yang lain dan seorang sepupu. Drebar 
van mayat hanya akur.

11:55am
Anak S yang sulong duduk di kerusi depan sebelah drebar van mayat dan S duduk 
di belakang bersama sama isterinya.

D Day Plus 1 12:00am
Van mayat berserta dua kereta yang dipandu oleh A dan C bertolak perlahan 
lahan keluar dari perkarangan hospital. B menghubungi K yang sudah sampai di 
kampung bahawa mereka sudah bertolak keluar dari hospital dan dijangka sampai 
jam 3 pagi.



12:10am
Konvoi ini berhenti di ruang rehat plaza tol. Kelihatan anak A yang sulong 
melambai lambai bersama sama adik adiknya dan sepupunya. Sepupunya meloncat 
masuk ke dalam van mayat untuk bersama sama S untuk menemani  jenazah X.


12:30am 
C mengarahkan B untuk menelefon kampung dan memberitahu agar masa ketibaan 
patut diubah ke 330 pagi kerana konvoi 3 kereta dan sebuah van mayat ini 
bergerak hanya selaju 70 kmj sahaja di lebuhraya.

1:30am
A masuk ke kawasan Rehat dan Rawat untuk mengisi minyak dan membelikan minuman 
kepada drebar van mayat dan juga S.

3:45am
Van mayat tiba di pintu depan rumah di kampung. Rumah itu dipenuhi oleh jiran 
tetangga dan sanak saudara. Jenazah X diusung masuk oleh S serta adik beradik 
X ke dalam bilik yang sudah disediakan khas. Kelihatan Ibu dan Bapa X menunggu 
didalam bilik tersebut. Jenazah X dipeluk dan dicium oleh mereka berdua. 
Kedengaran suara wanita membaca ayat suci Al Quraan sayup sayup dibelakang. A 
kelihatan begitu sebak melihat adiknya dan air matanya mengalir. C hanya mampu 
berdiri di pintu melihat jenazah X dikerumuni oleh adik beradik dan ibu ibu 
saudara beliau.

4:00am
Drebar van mayat menberikan isyarat bahawa beliau patut beredar. C memanggil S 
untuk menjelaskan upah drebar berkenaan. Drebar berkenaan beredar selepas 
mengucapkan takziah, salam dan terima kasih.

4:05am
Majlis Tahlil dimulakan diikuti dengan pembacaan Yaseen secara beramai ramai 
yang dipimpin oleh Bilal Masjid.

5:00am 
Majlis Tahlil berakhir dan ramai sanak sanak saudara dan jiran tetangga sudah 
beredar pulang. B terus masih terus membaca Al Quraan bersama sama kakak kakak 
beliau dan anak anak saudara beliau. C sudah pun terlelap didalam kereta 
kerana keletihan yang amat sangat. Saudara mara yang lain terlelap di anjung 
rumah dan dimana sahaja ceruk rumah yang ada ruang.

8:00am
Pasukan penggali kubur sudah memulakan kerja kerja mereka.

8:15am
Sebuah van datang membawa keranda yang kelihatan masih baru.


8:30am
Upacara mandi mayat akan bermula. Kesemua adik beradik dan kaum keluarga 
terdekat diminta masuk untuk memandikan mayat kakak atau adik atau anak mereka 
buat kali terakhir.

Apa yang dicakapkan oleh pegawai polis berkenaan adalah benar dan betul 
belaka. Kehibaan yang tidak terhingga melihat kepada jenazah X yang mempunyai 
kesan jahitan akibat dari autopsi. Ada kesan jahitan dari bawah leher sehingga 
lah ke bawah perut dan ada kesan jahitan dari  kiri ke kanan dada. Kesan 
jahitan seperti huruf Y diatas badan jenazah. Ada jugak kesan jahitan di 
sekeliling dahi dan ditengkuk jenazah.  Terdapat warna kuning dibawah jahitan 
didada dan diperut. Mungkin kerana ada kapas yang diletakkan di bawah jahitan 
untuk menghalang darah dari keluar. C melihat isterinya B, keluar dari bilik 
mandi kerana tidak tahan melihat jenazah X sebegitu rupa.

855am
A berdiri di beranda rumah dan mula menyampaikan  ucapan. Suara beliau amat 
jelas kedengaran. Beliau menceritakan serba sedikit latar belakang adiknya, X 
dan menyatakan bahawa adiknya ini gemar kepada anak anak yatim. Memang tidak 
dapat dinafikan bahawa X sangat suka kepada anak anak yatim. Semasa hari 
terbuka Hari Raya yang diadakan di rumah beliau,  beliau menjemput dua buah 
bas yang dipenuhi dengan anak anak yatim. Malah beliau ada membela seorang 
anak yatim berusia 3 tahun sebelum anak tersebut ditempatkan dengan keluarga 
angkat yang lain yang lebih berhak menerima anak angkat. Beliau ada meraikan 
anak anak yatim 3 beradik selama seminggu dan membawa mereka pulang 
berhariraya ke rumah ibu bapa beliau dan S di kampung. A menghabiskan ucapan 
dengan memohon agar semua yang hadir menghalalkan segala makan minum dan 
memaafkan X zahir dan batin.

9:00am
Imam masjid tiba dan memulakan majlis tahleel dan membaca Yaseen.

9:15am
Upacara mengapankan bermula.

10:00 am
Solat jenazah dimulakan di ruang anjung rumah. Hadirin yang tiba berasak asak 
untuk memberi ruang kepada semua yang hadir untuk bersolat bersama. Kesemua 
yang bersolat hanyalah hadirin lelaki dan adik beradik lelaki dan hanya 
seorang adik perempuan X yang bersolat di beranda seorang diri.

10:15 am
Solat jenazah tamat dan kesemua hadirin lelaki yang bukan mahram turun dari 
ruang anjung. Keranda dinaikkan ke atas rumah. Muka X masih lagi belum 
tertutup. A dengan suara tersedu sedu memberitahu adik beradik dan anak anak 
saudara bahawa X akan dimasukkan kedalam keranda dan wajahnya akan ditutup 
sekarang ini buat selama lamanya. Kesemua mereka beratur untuk mengambil 
giliran mencium X buat kali terakhir. Ibu X memulakan ciuman diikuti oleh A 
dan kaum keluarga yang lain. Bapa X hanya berdiri dihujung kaki X sambil 
dipapah oleh C. Seorang demi seorang adik beradik seramai 9 orang, anak anak 
beliau 3 orang dan anak anak saudara seramai 24 orang mencium X dan diikuti 
oleh ibu ibu saudara dan Atuk X dan diakhiri oleh G, orang gaji beliau yang 
setia. Inilah kali terakhir semua orang dapat menatap wajah X. Almarhumah X 
kelihatan tenang seperti sedang tidur yang amat panjang.

Akhirnya wajah X di tutup dengan kain putih dan diikat dikepala.

10:30 am
S berserta adik beradik X mengangkat jenazah X ke dalam keranda secara beramai 
ramai. Saudara lelaki dan ipar lelaki ramai ramai mengangkat keranda X dan 
dimasukkan kedalam van yang sedang sedia menunggu.

10:35am
Van sudah sampai ke kawasan tanah perkuburan. C memandu bersama B, K dan dua 
orang anak saudara perempuan. Bapa X dan S dan anak anak lelakinya  menaiki 
kereta dengan A. Sanak saudara yang lain hanya berjalan kaki. C mengingatkan 
isterinya, B dan kakaknya K agar tidak menangis atau meraung dikubur kerana 
ianya adalah ditegah dalam Islam. K menjawab bahawa mereka tidak akan meraung 
dan menangis kerana sudah tidak ada air mata lagi yang akan keluar.

Tok Siak tidak membenarkan K dan sanak saudara yang perempuan menghampiri 
liang lahad. Tok Siak mengarahkan mereka agar berdiri di penjuru kawasan 
perkuburan dan datang apabila talkin selesai dibacakan. K berkeras untuk 
melihat adik beliau dikebumikan  dan tidak menghiraukan arahan Tok Siak.  K, B 
dan sanak saudara yang lain terus mara ke liang lahad. Tok Siak tidak dapat 
berbuat apa apa dan hanya menggeleng gelengkan kepala.

10:40am
Keranda dibawa keliang lahad. Dua utas tali dimasukkan dibawah keranda dan 
keranda dilaraskan ke liang lahad. Keranda kemudiannya diturunkan perlahan 
lahan kedalam bumi. . Tok Imam menyebutkan Alfatihah berulang ulang kali 
apabila keranda diturunkan. Anak X yang kecil ingin melihat ibunya dimasukkan 
kedalam liang lahad. Beliau meronta ronta minta dilepaskan dari dakapan G. G 
melepaskan dia dan anak kecil itu berdiri disisi liang lahad diatas lumpur 
melihat keranda ibunya.

10:45am
Keranda selamat diturunkan dan para penggali kubur menimbus liang lahad dengan 
tanah. Dua kayu  nesan dipacakkan pada kubur berkenaan dengan kain putih 
dililit pada penghujung kayu nesan tersebut. Tok Imam masih menyebut Alfatihah 
berulang ulang kali sewaktu penggali kubur menghabiskan tugas mereka. Suara 
Tok Imam diselang seli dengan suara anak X yang bongsu memanggil manggil 
ibunya.

10:55am
Tok Imam memulakan bacaan Talkin sambil berdiri. Suara Tok Imam terhenti henti 
dan ada kalanya tersedan sedu kerana merasa sangat sedih dan insaf diatas 
kematian X.

11:05am
Talkin selamat dibacakan. S serta A dan K dan B dan ahli keluarga yang lain 
selamat menjirus air bunga bungaan di pusara X. Bapa X yang berusia 76  tahun 
berdiri kaku kerana tidak sangka akan mengkebumikan anaknya sendiri.

Semuanya berakhir disini jua. Setiap yang hidup pasti akan merasai kematian. 
Ada banyak soalan yang tidak berjawab akan pemergian X secara tiba tiba kealam 
barzah. Soalan ini hanya bisa dijawab oleh pakar pakar perubatan dan pegawai 
pegawai penyiasat. Atau mungkin ianya tidak dapat dijawab sama sekali. 
Penulisan diatas hanyalah sebagai peringatan kepada diri penulis dan semua 
sahabat dan sahabiah bahawa kematian berada di mana mana.  Ianya tidak 
mengenal sebarang rasional dan logik. Tulisan ini juga merupakan satu cara 
penulis untuk melepaskan rasa sedih yang bukan kepalang diatas kehilangan 
seorang saudara seIslam yang disayangi dan disenangi.

Al Fatihah

Salam hormat.

------------------------------------------------------------
 Get your FREE web-based e-mail and newsgroup access at:
                http://MailAndNews.com

 Create a new mailbox, or access your existing IMAP4 or
 POP3 mailbox from anywhere with just a web browser.
------------------------------------------------------------


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: chief <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke