*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
CATATAN IBNU MUSLIM
Tanding: Tokoh Umno bertelagah
  
NASIHAT Majlis Tertinggi Umno supaya jawatan Presiden
dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan dalam
Perhimpunan Agung Umno pada bulan Mei depan, nampaknya
tidak dipatuhi oleh beberapa orang pemimpin parti itu.


Sudah ada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa dua
jawatan yang paling tinggi dalam Umno akan
dipertandingkan sebagaimana jawatan-jawatan lain dalam
parti itu. 

Sebelum ini, beberapa orang pemimpin Umno dann para
memteri telah menasihatkan pemimpin-pemimpin Umno
peringkat bahagian dan cawangan supaya tidak
mencalonkan mana-mana pemimpin untuk merebut jawatan
Presiden dan Timbalan Presiden. 

Akhbar-akhbar harian utama juga, telah menyiarkan
berita dan rencana yang menarik perhatian para
pemimpin Umno supaya dua jawatan penting dalam parti
itu tidak dipertandingkan. 

Beberapa buah negeri telah membuat keputusan akan
mematuhi nasihat Majlis Tertinggi Umno supaya jawatan
Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingkan
dalam perhimpunan pada 11 Mei Depan. 

Tetapi Badan Perhubungan Umno Kelantan, tidak membuat
keputusan muktamad mengenai perkara itu, dan
bahagian-bahagian Umno di negeri itu diberi kebebasan
untuk menuntut sama ada dua jawatan penting itu perlu
dipertandingkan ataupun tidak. 

Tengku Razaliegh Hamzah sendiri, tidak menolak tentang
kemungkinan adanya bahagian-bahagian yang menghendaki
supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden akan
dipertandingkan. 

Tetapi apa yang lebih menarik, bekas Timbalan Perdana
Menteri dan bekas Timbalan Presiden Umno, Tun Abdul
Ghafar Baba secara terbuka mempertikaikan
kebijaksanaan Majlis Tertinggi Umno yang cuba
menghalang ahli-ahli Umno daripada bertanding merebut
jawatan No. 1 dan No.2 dalam parti. 

Beliau seterusnya menekankan bahawa kedua-dua jawatan
penting itu, perlu dipertanding dalam Perhimpunan
Agung Umno pada 11 Mei ini. 

Menurut laporan sebuah akhbar Mingguan, ketua Umno
bahagian Kuala Pilah, Dato' Abu Zahar Ujang dan ketua
Umno Bahagian Kuantan, Dato' Fauzi Abdul Rahman telah
menyokong pendapat yang disuarakan oleh Tun Ghafar
Baba itu. 

Dalam erti kata lain, Dato' Abu Zahar dan Dato' Fauzi
tidak akan mematuhi nasihat Majlis Tertinggi Umno
supaya jawatan No. 1 dan No.2 dalam parti tidak
dipertandingkan, demi untuk mengelakkan perpecahan
dalam pimpinan parti. 

Sementara seorang Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato'
Affifuddin Omar pula menyifatkan kenyataan Ghafar Baba
itu sebagai suatu pendapat yang perlu diberi
perhatian. 

"Saya percaya, Tun Ghafar membuat kenyataan itu
berasaskan perasaan sayangnya kepada Umno dan bangsa
Melayu kerana Umno adalah organisasi yang mesti
diperkuatkan oleh kuasa perwakilan. 

"Ia adalah satu-satunya organisasi yang kuat kerana
mendapat kuasa, dari ahli-ahli biasa dan bukan dari
pemimpin yang dipilih oleh mereka (MT) sahaja,"jelas
beliau lagi. 

Menurut beliau, sekiranya ingin membuat sebarang
perubahan kuasa, MT mestilah merujuk kepada perwakilan
dan kembali kepada ahli biasa. 

Dengan sokongan yang diberi oleh Abu Zahar, Fauzi dan
Affifuddin itu, maka bererti pendapat yang dikemukan
oleh Ghafar Baba itu telah mendapat perhatian tertentu
daripada pimpinan Umno. 

Dan adalah dijangka, banyak lagi pemimpin Umno yang
akan memberi sokongan kepada cadangan yang dikemukakan
oleh Ghafar Baba itu. 

Walaupun setakat ini, belum lagi ada bakal calon yang
bertanding untuk merebut jawatan Presiden dan Timbalan
Presiden itu, tetapi perkara ini telah menjadi pokok
perbincangan orang ramai sejak kebelakangan ini. 

Selain dari jawatan Presiden dan Timbalan Presiden,
soal pembaharuan dan reformasi dalam Umno juga telah
dibangkitkan oleh beberapa orang tokoh penting parti
itu. 

Tengku Razaleigh Hamzah sendiri, mengaku bahawa Umno,
memerlukan pembaharuan dari semua aspek. Beliau
berpendapat, generasi muda tidak akan mendekati Umno,
kalau perubahan dan pembaharuan tidak dilakukan dari
sekarang. 

Sebelum ini, Ghafar Baba dan Affifuddin Omar juga
telah menyentuh soal pembaharuan dan perubahan dalam
Umno di semua peringkat. 

Ketiga-tiga tokoh Umno ini, (Tengku Li, Ghafar dan
Affifuddin) menghendaki supaya pembaharuan dan
perubahan, perlu dilakukan dalam Umno. 

Kalau kita baca, apa yang tersirat daripada
kenyataan-kenyataan tiga orang tokoh Umno itu, maka
jelaslah bahawa mereka mengakui ada antara dasar-dasar
Umno yang perlu diubah dan digantikan dengan
dasar-dasar baru yang dapat diterima oleh generasi
muda. 

Bukan sahaja dasar dan perjuangan Umno yang perlu
diubah, malah pemimpin-pemimpin Umno yang agak sudah
lama menguasai parti, perlu diganti dengan muka-muka
baru. 

Soalnya, adakah pembaharuan itu perlu dilakukan
melalui perhimpunan 11 Mei ini atau selepas pilihan
raya umum yang akan datang? 

Dari segi logik, perubahan pucuk pimpinan Umno tidak
akan berlaku, kalau jawatan Presiden dan Timbalan
Presiden tidak dipertandingkan dalam perhimpunan kali
ini. 

Selagi, pucuk pimpinan Umno tidak berubah, maka selama
itulah tidak ada pembaharuan dalam parti itu. 

Ahli-ahli Umno dan pemimpin-pemimpinnya di peringkat
cawangan dan bahagian dapat menerima fikiran dan
pendapat Tengku Li, Ghafar Baba dan Affifuddin Omar
mengenai pembaharuan dalam Umno. 

Tetapi soalnya, siapakah yang hendak menjadi pemimpin
dan leader kepada gerakan pembaharuan dalam Umno itu? 

Sanggupkah Tengku Li, Dato' Najib Affifuddin dan Fauzi
Abdul Rahman berada di barisan depan menentang
pimpinan Mahathir-Abdullah Ahmad Badawi dalam
Perhimpunan Agung akan datang? 

Atau sekurang-kurangnya, Ghafar sanggup berkempen
untuk golongan reformasi dalam Umno itu. 

Apa yang jelas, gerakan reformasi yang
dilaung-laungkan oleh Anwar Ibrahim itu sudah mulai
meresap ke dalam Umno. 

Kita tunggu dan lihat, sama ada golongan lama dapat
mempertahankan kedudukan mereka dalam Perhimpunan
Agung pada 11 Mei depan. 


=====
COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM
__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.
http://im.yahoo.com

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: counterbalance <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke