MAU KE TAK KECIWA, 5 kerusi DUN mana boleh jadi kerajaan!!! UMNO apa tunggu lagi, mesti mau ambik itu punya kursi KETUA MINTIRI... jangan DAYUS

GERAKAN KECEWA TINDAKAN DUA WAKIL RAKYATNYA KELUAR PARTI

 

PULAU PINANG, 3 Dis (Bernama) -- Gerakan Negeri hari ini berkata tindakan dua anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu keluar daripada Gerakan semalam merupakan cubaan untuk menggugat kestabilan parti dan Barisan Nasional (BN).

Setiausahanya Dr Teng Hock Nan berkata Gerakan negeri amat kecewa dan marah dengan tindakan Lim Boo Chang (Adun Datuk Keramat) dan Lim Chien Aun (Bayan Lepas) itu kerana mereka telah menggunakan jentera pilihan raya parti untuk menang pada pilihan raya umum Isnin lepas.

Jawatankuasa Perhubungan Gerakan Negeri mengadakan mesyuarat tergempar malam tadi bagi membincangkan keputusan kedua-dua Adun itu.

Dr Teng ketika membacakan keputusan mesyuarat itu pada persidangan berita di sini, berkata jawatankuasa berkenaan terkejut dengan keputusan Chien Aun dan Boo Chang kerana sebelum ini Gerakan tidak mempertikaikan kesetiaan kedua-dua wakil rakyat itu sehingga merestui mereka dicalonkan semula pada pilihan raya lepas.

Kedua-dua mereka mengumumkan keputusan keluar parti semalam berkuatkuasa serta merta dan telah menghantar surat kepada Presiden Gerakan Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik bagi memaklumkan hasrat mereka.

Hadir sama pada persidangan berita itu ialah Naib Presiden Gerakan Datuk Dr Kang Chin Seng, Ketua Wanita Gerakan Kebangsaan Datuk Kee Phaik Cheen, Ketua Pemuda Gerakan Kebangsaan Teng Chang Yeow, anggota jawatankuasa pusat parti, Datuk Dr Toh Kin Woon, Ng Siew Lai (Adun Bukit Tengah) dan Lai Chew Hock (Adun Sungai Bakap).

Dr Teng berkata tindakan kedua-dua mereka mengkritik kepimpinan parti selepas meninggalkan Gerakan, amat mengecewakan lebih-lebih lagi selepas mereka dipilih semula sebagai wakil rakyat.

Jawatankuasa itu berpendapat alasan-alasan yang dikemukakan oleh Boo Chang dan Chien Aun tidak berasas sama sekali terutama dakwaan "Pulau Pinang telah dipimpin oleh pemimpin yang mempunyai kualiti yang buruk".

Sedangkan Gerakan negeri yang dipimpin Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon telah terbukti mendapat sokongan menggalakkan daripada rakyat Pulau Pinang pada pilihan raya beberapa hari lepas, katanya.

Jawatankuasa berkenaan turut mempersoalkan sama ada keputusan mereka keluar daripada Gerakan dan kerajaan BN di Pulau Pinang dibuat atas keputusan sendiri ataupun didalangi kumpulan tertentu.

Katanya perbuatan melompat parti selepas pilihan raya bukanlah perkara baru dalam senario politik di Malaysia dan yakin bahawa pucuk pimpinan Gerakan dan BN di Pulau Pinang mampu menyelesaikan masalah ini dengan baik.

Dr Teng berkata Gerakan berpendapat adalah lebih terhormat jika Chien Aun dan Boo Chang berundur sebelum rakyat membuat pilihan kerana parti itu percaya rakyat Pulau Pinang memberikan sokongan kepada kedua-dua mereka kerana mereka bertanding atas tiket Gerakan.

Katanya semua anggota jawatankuasa perhubungan Gerakan negeri, yang hadir pada mesyuarat malam tadi melafazkan taat setia dan keyakinan penuh kepada kepimpinan Dr Koh di Pulau Pinang dan Presiden parti Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik.

Ketika ditanya mengenai dakwaan bekas pengerusi Gerakan negeri Datuk Tan Gim Hwa bahawa kira-kira 2,000 anggota parti itu akan mengikut tindakan Chien Aun dan Boo Chang, keluar daripada Gerakan, Dr Teng berkata setakat ini ia cuma dakwaan Tan.

Tan malam tadi telah menyatakan sokongannya terhadap tindakan Chien Aun dan Boo Chang serta mendakwa beliau mengetuai 200 anggota Gerakan dalam menyatakan sokongan mereka. Beliau turut mendakwa 2,000 anggota parti akan
mengikut jejak kedua-dua Adun berkenaan keluar daripada parti.

Turut didakwa akan meletakkan jawatan ialah calon Gerakan di DUN Batu Lancang yang tewas pada pilihan raya lepas. Beliau ialah anak Tan dan merupakan anggota Majlis Perbandaran Pulau Pinnag,

Difahamkan Dr Koh yang juga pengerusi Gerakan negeri kini berada di Kuala Lumpur untuk menemui presiden parti bagi membincangkan isu itu. -- BERNAMA

Kirim email ke