*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* { Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net } { Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] } { Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] } *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ Ucapan YB Dato’ Ust Fadzil Mohd Noor (Ketua Pembangkang) Membahaskan Pembentangan Belanjawan 2000 Di Sidang Parlimen Pada 28 Februari 2000 Tuan Yang DiPertua, 1.Rang Undang-undang Perbekalan 2000 yang pertama kali dibentangkan pada 29 Oktober 1999 yang lalu, telah pun dibentangkan semula pada hari Jumaat yang lalu bersamaan 25 Februari 2000. Pembentangan ini telah menjadi perlu akibat Parlimen yang telah dibubarkan pada 11 November 1999 ketika Rang Undang-undang Perbekalan ini sedang dibahaskan sekaligus membuktikan tahap kepekaan dan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional terhadap pertanggungjawabannya akan salah satu tugasnya yang penting dan kritikal dalam pengurusan ekonomi dan pembangunan negara. Apa yang menyedihkan lagi bahkan menghilangkan lagi kepercayaan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional adalah pembentangan yang kedua yang diharap-harapkan rakyat akan dapat memberikan suntikan kepercayaan dan keyakinan terhadap pengurusan kewangan dan pembangunan negara adalah jauh tersasar dari pengharapan rakyat teramai dan cukup meleset dari segi mendepani cabaran dan permasalahan sebenar yang dihadapi ekonomi negara. 2.Menteri Kewangan nampaknya lebih selesa untuk mengisytiharkan bahawa ‘ekonomi telah pulih’, sementara tidak benar-benar menjelaskan erti pemulihan dari seluruh indeks pemulihan, dan lebih jauh lagi untuk mengiktiraf apakah faktor faktor kritikal yang menyebabkan ekonomi yang dibanggakan seluruh negara Asia (khususnya Malaysia sendiri) yang mendapat jolokan Keajaiban Asia atau the ‘Asia Miracle’ dengan izin, merudum dalam sekerdipan mata pada pertengahan Julai 1997 yang lalu. Pengiktirafan faktor faktor pencetusnya adalah penting supaya kita dapat mengelakkan keruntuhan yang kedua, sekaligus mengelakkan pengurusan ekonomi negara diurus seperti yang dilakukan pra-merudum dalam zaman mewah atau dengan izin ‘in the era of boom’. Beberapa pengajaran juga adalah penting untuk dirakamkan oleh kerajaan seperti bagaimana kerajaan telah kehilangan lebih dari RM 9 bilion dalam dua minggu dalam usaha kita untuk mempertahankan ringgit yang merudum ketika itu. 3.Tidak siapa pun yang boleh mengenalpasti aliran keluar-masuk modal terutama dalam orde ekonomi global (seperti yang diakui sendiri oleh pakar pakar ekonomi), khususnya pelaburan yang bersifat jangka-pendek, hedge-fund atau portfolio investment. Jangan mudah mudah berbangga bahawa oleh kerana langkah bijak kita, kawalan modal kita atau usaha kita, maka ekonomi pulih. Sepertimana mereka keluar berbondong bondong dahulu (capital flight), tidak ada sebab kenapa mereka tidak boleh ulangi perbuatan yang sama terutama kalau berlaku sekali lagi contohnya ekonomi menjadi semakin rapuh dan nilai hartanah menjadi tidak menasabah, ekonomi membelon dan meruap serta tanggungan hutang berlebihan akibat pinjaman pihak awam dan swasta dalam dan luar negara. Juga oleh akibat salah laku perbuatan sumbang kerajaan dengan beberapa tokoh korporat yang mengamalkan kapitalisme kroni (crony capitalism), rasuah dan nepotisme dalam melaksanakan program penswastaan dan konsep “Malaysia Incorporated”. Tuan Yang DiPertua, 4.Kerajaan seolah-olah tidak terdesak untuk memikirkan strategi yang lebih bersifat intergrated dan jangka-panjang untuk menjamin masa depan negara dan kesejahteraan rakyat setelah ekonomi terjerumus ke dalam kegawatan dan krisis yang paling teruk pernah dialami oleh negara. Jelasnya, Menteri Kewangan langsung tidak memberi apa apa ulasan yang bertanggungjawab dalam isu isu penting seperti: a.peningkatan hutang negara yang mencecah 60% dari KNK. b.keperluan untuk membersihkan sektor kewangan dan pengurusan korporat negara. c.meningkatkan kesesuaian polisi fiskal dan monetari d.keperluan langkah-langkah serius, berhemat dan konsisten untuk memenuhi keperluan asas seperti perumahan, kesihatan dan pendidikan serta mengatasi kesengsaraan rakyat teramai. e.penyelesaian peningkatan kos sara hidup dan peningkatan kualiti hidup rakyat teramai terutama dalam sektor pertanian dan perikanan. Tuan Yang DiPertua, 5.Belanjawan ini juga, walaupun telah diberi sedikit masa untuk ditimbang-semula, tidak menunjukkan bahawa kerajaan memiliki satu kesungguhan politik (political will, dengan izin) untuk mencari sebarang cara penjimatan perbelanjaan sebagai cara untuk mengurangkan kos hutang negara yang kian meningkat. Segala kelemahan Belanjawan bulan Oktober yang lalu, sepatutnya telah diambil kira dan peruntukan-peruntukan sewajarnya dikemukakan untuk pertimbangan Dewan yang mulia ini pada persidangan kali ini. Sebahagian besar tumpuan belanjawan adalah tertumpu kepada kepentingan golongan korporat khususnya dalam sektor perbankan, brokerage, insuran dan hartanah. 6.Alhamdulillah, dengan desakan Barisan Alternatif bahawa Kerajaan perlu memberi perhatian kepada golongan rakyat yang tertekan maka Kerajaan telah mencadangkan kenaikan pencen dan menambahkan peruntukan biasiswa dan pinjaman kepada pelajar pelajar IPTA dan IPTS. Yang ini kita boleh sokong. Namun kalau BA yang memerintah kita akan tangani bukan dengan cara untuk menaikkan pinjaman semata-mata kerana ini tidak akan menyelesaikan masalah mereka jangka-panjang kerana mereka awal-awal lagi telah disibukkan dengan hidup berhutang. Pendekatan kami pastinya adalah berbeza kerana kita menganggap pendidikan bukan satu industri untuk diperniagakan secara komersial. Ia adalah satu hak rakyat teramai yang mesti dibekalkan dan dijamin oleh kerajaan, terutama oleh sebuah kerajaan yang memang mengurus sebuah negara yang cukup kaya dan boleh menjalankan projek projek mega-mewah. Tetapi apabila sampai kepada perkara keperluan asasi rakyat seperti pendidikan, perumahan dan kesihatan menjadi tidak ada wang dan dana. Tapi peruntukan dana untuk Danaharta dan Danamodal untuk menyelamatkan korporat dan syarikat syarikat gergasi yang sakit dan nazak ada. 7.Belanjawan kali ini juga menganggap seolah-olah rakyat teramai khususnya dalam sektor pertanian dan perikanan langsung tidak wujud (like they don’ t exist) dengan izin. Mereka tidak dibela. Sebagai contohnya, harga minyak kelapa sawit pernah mencecah RM2500 setan dalam bulan Mei 1998, akan tetapi oleh sebab cuaca, tanaman berlebihan serta pasaran global bagi minyak dan lemak (oil and fats) yang telah merosot hinggakan kontrak 3 bulan bagi bulan Mei 2000 jatuh kepada hanya RM 1000 se-tan. Tambahan pula kerajaan India telah bercadang untuk menaikkan duti atas minyak kelapa sawit mentah (crude) dari 16.5% kepada 38.5%. Memandangkan India merupakan pengimpot terbesar (dalam 2 tahun kebelekangan ini) maka impaknya tidak boleh diperkecilkan dari dua aspek a.kemerosotan pendapatan pekebun-pekebun kecil b.Kemerosotan kepada pendapatan ekspot (export earnings) negara. Tuan Yang DiPertua, 8.Bukankah ia merupakan satu perkara yang terlalu ‘simplistic’ atau percakapan terlalu bermudah untuk Menteri Kewangan apabila beliau menyatakan bahawa “ clearly, the economy has recovered and the financial crisis has ended” dengan hanya menyandarkan hujahnya kepada fakta KNK yang tumbuh sebanyak 10.6% dalam suku tahun keempat tahun lepas 1999. Kami merasakan adalah terlalu awal bagi kita mengisytiharkan bahawa kegawatan telah tamat. Bahkan apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan adalah untuk meningkatkan pengurusan kewangan dan ekonomi yang lebih pruden dan bijak bagi mengawasi keadaan yang masih “fragile” atau rapuh untuk meletakkan ekonomi ke atas landasan yang lebih kukuh. Kita katakan sedemikian dengan landasan hujah seperti berikut: a.Kita perlu diingatkan bahawa kenaikan KNK sebanyak 10.6% dalam suku akhir 1999 adalah hasil terutamanya dari lebihan dagangan pada akaun semasa yang diluar jangkaan. Tidak ada bukti-bukti yang kukuh yang dapat meyakinkan kita bahawa fenomena ini akan berterusan memandangkan bahawa. b.Lebih dari 60% nilai ekspot adalah berbentuk elektrik dan elektronik teruatamnya separa-klonduktor dan kelengkapan/peralatan elektronik yang memang mengdapai permintaan yang bersifat berkitar atau bermusim denagn izin ‘cyclical’. c.Kejatuhan harga minyak kelapa sawit. d.Permintaan atau demand dari rakan rakan dagangan dari Timur-Tengah mungkin merosot disebabkan kenaikan harga minyak petroleum. Tuan Yang DiPertua, 9.Ekonomi Negara tidak boleh bergantung hanya kepada ekspot dan perbelanjaan kerajaan. Jika kita ingin mencapai perkembangan ekonomi yang beerusan kita juga perlu prlu menentukan wujudnya permintaan dalam negara yang berterusan atau “self-sustaining domestic demands” dengan izin. Setakat ini tidak ada angka-angka kukuh yang menunjukkan bahawa penggunaan swasta atau “private consumption” sudah pulih. Ini amat penting memandangkan bahawa perbelanjaan penggunaan swasta mempunyai peratus sumbangan yang agak besar dalam KNK. Malahan Laporan Ekonomi 1999/2000 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan menegaskan bahawa ‘permintaan dalam Negeri’ atau ‘domestic demand’ adalah penentuan perkembangan (growth driver dengan izin) bagi tahun 2000. Domestic demand ini juga dijangka mendapat galakan dari penggunaan swasta yang makin kukuh serta pemulihan kepada pelaburan sektor swasta. Perkara ini perlu difahami sebelu kita dapat menyaksikan pemulihan yang berterusan dan kukuh. Tuan Yang DiPertua, 10.Bagaimanakah pelaburan sektor swasta boleh pulih dan dipertingkatkan semula apabila: a.Masih terdapat unutilised capacity b.Sentimen pengguna yang belum lagi meyakinkan c.Bank yang maseh enggan mengeluarkan pinjaman baru Di sini kita perlu mengambil perhatian baahwa perangkaan dari MIDA menunjukkan bahawa jumlah permohonan untuk pelaburan baru dari kedua-dua sumber yakni asing dan tempatan tealh jatuh sebanyak 26% kepada RM 14 bilion ( berbanding dengan tahun 1997 yang mencatatkan lebih dari RM 30 bilion. 11.Berdasarkan susut nilai ringgit yang berlaku sejak tahun 1998 dan juga berbanding dengan Thailand yang jauh lebih teruk dilanda kegawatan maka pencapaian kita adalah membimbangkan sekaligus membayangkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara kita. Thailand mencatatkan perlaburan melebihi 11% daripada tahap yang terdapat pada tahun 1998. Mereka tidak mengenakan kawalan modal tetapi menggunkan beberapa “serious reform” yang nampaknya berkesan untuk mengundang pelaburan baru. Persoalan yang timbul ialah : Darimanakah punca atau sumber Perkembangan Ekonomi pada masa hadapan?? Apakah keyakinan Perdana Menteri yang menyebabkan beliau yakin kepada pertubuhan seperti era pra-gawat pada kadar 8% secara berterusan ?? Tuan Yang DiPertua, 12.Perlu juga fahami bahawa lebihan perdangan (trade surplus) YANG SEDANG KITA NIKMATI ADALAH KERANA BERPUCA DARI NILAI RINGGIT YANG RENDAH ATAU LEMAH. Dan perbelanjaan dalam negeri (domestic demand) yang diwujudkan melalui perbelanjaan defisit yang besar. KITA PERLU TAHU BAHAWA STRATEGI INI HANYA BOLEH DILAKUKAN DALAM SATU JANGKA WAKTU YANG SINGKAT ATAU UNTUK JANGKA-PENDEK SAHAJA dan juga terhad !! 13.Strategi ini kalau hendak diteruskan lama-kelamaan akan pastinya menimbulkan masalah seperti: a.tekanan inflasi b.pemulihan dalam negeri akan meningkatkan dan menggalakkan impot c.kenaikan akan menguncupkan lebihan dagangan (reduce trade surplus) d.kemasukan dana asing yang akan berkurangan e.perkembangan ekonomi yang lebih susah utuk diteruskan Jelasnya bahawa kalau benar benar ekonomi sudah bertambah baik ,pastinya kerajaan tidak perlu untuk memperuntukkan perbelanjaan defisit yang begitu besar bagi tujuan menggalakkan pertumbuhan ekonomi. Belanjawan defisit adalah berbelanja kalaupn tidak berupaya. Tak bolehlah lama lama..runtuh juga akhirnya !! 14.Menteri Kewangan jug ada menarik perhatian Dewan kepada Bursa Saham KL dan mmenyatakan bahawa prestasi yang ditunjukkan oleh Bursa Saham itu menggambarkan keyakinan pelabur asing. Perlu dijelaskan di sini bahawa menurut laporan ekonomi, prestasi BSKL pada akhir September 1998 menunjukkan peningkatan 80.8% dari 373.52 mata kepada 675.45 mata. Ini tidak ada kena mengena dengan awalan modal oleh kerana negara negara jiran yang tidak menggunakan kawalan modal juga mencatat prestasi yang sama atau lebih baik dari BSKL seperti Jakarta 98.4%, Singapura 92.8%, Filipina 66/4% Thailand 53.5 % dan Korea Selatan 169.5%. 15.Pelabur asing hanya mula kembali ke BSKL pada awal Disember 1999 pada peringkat kecil-kecilan selepas Standard & Poors menaikkan Malaysian Sovereign Ratings dalam bulan Novemver 1999. Tambahan pula kelonggaran pada kawalan modal atas pelaburan portfolio telah membuka jalan bagi Malaysia dimasukkan kembali kealam Indeks MSCI. Inilah fakta utama bagi komposit BSKL turut melonjak ke 768.74 mata pada 13-12-1999. 815.80 mata pada 05-01-2000 (naik 6%) 949.62 mata pada 18-01-2000 (naik 16%) 1009.53 mata pada 24-02-2000 (naik 6.3%) 16.Pelabur asing juga memeasukki BSKl dengan kepercayaan bahawa nilai ringgit yang terlalu rendaj akan dinilai semula oleh kerajaan. Sekaligus ini akan membawa keuntungan yang besar bagi mereka atas sebab keuntungan pertukaran asing. Kita juga memerhatikan bahawa dalam minggu kedua bukan ini sahaja sebanyak RM 1.5 bilion portfolio funds telah masuk. Dalam tahun ini sahaja sejumlah RM5.3 bilion telah masuk. Perkara tersebut sapatutnya membingkan kita kerana ianya boleh membawa kepada satu lagi “market crash” – keruntuhan pasaran seperti yang dinyatakan oleh pihak MIER Malaysian Institute of Ecnomic Research seprti tersiar oleh Dow Jones Newswire pada 8 Februari 2000. 17.MIER membuat teguran ini supaya perkara ini diawasi oleh kerajaan. Kalau tidak kawalan Modal kerajaan tidak bermakna. Apa yang menjadikan kami di pihak Barisan Alternatif cukup hairan ialah Menteri Kewangan seolah-olah tidak mengambil pusing langsung mengenai perkara ini dan tidak menyinggung langsung perkata tersebut. Kita tidak boleh lagi menafi rakyat dn jug Dewan yang mulia akan perkara perkara seumpama ini. Kita hidup dalam Era Maklumat yang membudayakan ketelusan fakta dan maklumat. 18.MIER menegaskan lagi seolah-olah kita belajar dari pengalaman kita yang lalu..” It appears we have not learned our lesson”.. seolah olah kita belajar dari pelajran yang lalu. Saya maseh teringat satu ungkapan : Manusia bijak belajar dari kesilapan orang lain..manusia lemah akal bealjar dari kesilapan sendiri”..Genius learned from the mistakes of others..Fools learned from the mistakes of themselves”..dengan izin. Tapi kita ini Ynag Dipertua tak belajar hatta dari kelemahan kita sendiri..teruk sangat dari manusia manusia dungu ke kita ini….Hadis RasulAlla ada menyebutkan ….la yal daghul mukmin fi juhri maratain… terjemahan…. 19.Satu lagi perkara Tun Yang DiPertua, pasaan saham yang naik mendadak akan mambawa kepada kecelaruan dengan izin ‘distortion” kepada nilai nilai syarikat-syarikat tersenarai hinggakan syarikat yang terletak dibawah perlindungan mahkamah iaitu S175 pun menikmati kenaikan harga saham. MIER turut mencadangkan supaya menggantikan cukai keluar dengan izin ‘exit taxs” dengan capital gain tax atas semua penjualan saham (lokal dan luar) sebagai suatu langkah-langkah berjaga-jaga dan enghindar kegiatan spekulatif. Tun Yang Di Pertua, 20.Aneh dalam Belanjawan Ulangan kali ini tiba tiba Menteri Kewangan cukup ghairah dengan K-ekonomi. Dengan izin memetik akta-katanya, “ kini, sudah sampai masanya kita bertindak berani mengubah paradigma daripada ekonoi berteraskan pengeluaran (P-ekonomi) kepada ekonomi berteraskan pengetahuan (K-ekonomi) selaras dengan usaha usaha negara untuk memesatkan pembangunan industri berteknologi tinggi” (muka surat 30) Kata beliau lagi: “Satu kumpulan pemikir atau atau dengan izin Think-Tank telah ditubuhkan untuk menyediakan pelan tindakan startegik bagi membolehkan kita merancang dalam menghadapi cabaran ini.. (muka surat 30) . 21.Di muka 31 juga ada disebutkan bahawa sebuah Jawatankuasa pemandu telah ditubuhkan di Kementerian Kewangan dan tindakan-tindakan sedang diambil bagi menyediakan Pelan Induk K-ekonomi. Pelan ini kata belaiu dijangka siap dalam tempoh enam bulan. Tuan Yang Di Pertua, 22.Saya dan rakan rakan Alternatif dengan in merakamkan kekecewan dan kehilangan kepercayaan kami akan keupayaan kerajaan BN yang terang-terangan mahu memperbodohkan rakyat. Rakyat tidak mudah didodoikan dengan bahasa dan istilah yang tinggi dan bombastik kerana ini dunia maklumat dimama pengetahuan dan ilmu dihujung jari. Kita sedar apa erti peralihan dasar dan fasa era industri yang telah beralih kepada era maklumat. Dulunya memang industri tahap awal adalah berdasarkan “labour dan resource intensive”. K-ekonomi adalah era fasa perdangan dalam dunia IT yang menjadikan Maklumat sebagai barang komoditi perniagaan yang lebih penting dari bahan mentah, tenaga, atau sumber yang lain. Kita juga sedar betapa infrastruktur teknologi tinggi ini juga memerlukan tulang belakang yang hebat sehebat apa yang dibekalkan sebanyak 10 gegabit kelajuan dan kepantasan yang dipasang di MSC utk kegiatan K-ekonomi atau e-commerce. Itu semua tidak jadi masalah. Tapi yang menjadi pertikaian Tuan Yang di Pertua ialah : a.Dalam haru biru riuh dan rendah tentang seluruh kampung dan dunia menjaja MSC ini anehnya kenapa kah asas dan perancangan yang paling fundamental dalam menjalankan e-commerce ini baru difikirkan dan mungkin siap dalam 6 bulan lagi. Selama ini kita anggap buat MSC ini untuk apa?. b.Dengan ini seolah-olah kerajaan BN MENGESAHKAN tuduhan pihak BA bahawa MSC telah beralih dari sepatutnya menjadi industri yang membekalkan sektor perkhidmatan yang tercanggih kepada hanya agenda memperkayakan golongan tertentu dengan kontraks berbilion ringgit sekaligus menjadi ia industri hartanah dan construction yang paling mega secara penswastaan. Saya juga difahamkan bahawa sewaan nya juga adalah maha tinggi. Kalau dulu syarikat menyewa RM 1 sekaki persegi tapi di MSC menjadi RM 3-4 kai persegi. Kalau di KLCC menjad RM 6-8 kaki persegi. c.Saya ingin menarik program GEMESIS di United Kingdom seumpama MSC, tetapi menekan aspek aspek pembangunan komuniti, pendidikan, kesihatan dan yag penting keamslahan masyarakat teramai atau public good atau maslahah ‘ammah. Perbelanjaannya pun tidak terlalu mewah dan bermulanya GEMESIS seperti di Silikon Valley dari pusat universiti. Tapi MSC jauh berbeza. Ia satu industri hartanah atau construction. Dan hingga kini kita belum nampak bagaimana rakyat umumnya akan dapat mengambl menafaatkan dari kecanggihan teknologi tinggi ini d.K-ekonomi bukan perkara baru bahkan telah disebutkan oleh Fritz Machlup pada tahun 1962 lagi dan Drucker menulis tentang dalam bikunya the Age of Discontinuity pada tahun 1969 dan Managing the future 1992. Hairannya kerajaan BN apabila telah betahun bercakap mengenai konwledge-based economy, knowledge workers an knowledge-based business baru nak tubuh Jawatankuasa dan akan siap pelan 6 bulan lagi e.Terbesar dari semua ini adalah falsafah disebalik k-ekonomi. Tersirat dalam segala ini, adalah andaian bahawa mereka atau negara yang hendak bersama dalam liga dunia ini perlu faham bahawa mereka mestinya mendukung Ketelusan dan pertanggungjawaban. Mereka juga sekaligus golongan yang memartabatkan Ilmu dan Maklumat sebagai satu yang menjadi milik ramai dan bersedia untuk berkongsi. Mereka juag perlu mengangkat kekangan dalam bentuk legislation seperti yang kita lihat pergolakan dalam perniagaan antarabangsa dalam erti akta GATT dan WTO dan segala yang lain. Di rumah kita sendiri yang perlu kita budayakan dahulu mengangkat kekangan dan sekatan yang tidak demokratik dan menafikan hak asasi rakyat seperti akta akta drakonian seperti OSA, ISA, AUKU, Akta Hasutan dan seumpamanya. Kesemua ini adalah mustahak untuk kita fahami dahulu seperti mana juga kita perlu tahu tuntutan melahirkan software infrastruktur di segi pemikiran, budaya dan nilai, iaitu Human Resource Developemntya itu sendiri. Bukan hanya Hardwarenya sahaja yang jelas telah memperkaya rayakan golongan tertentu. ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB) ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB) ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan ) ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net ) ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] ) ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ Pengirim: "Aimi Diyana" <[EMAIL PROTECTED]>