*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Rawatan Untuk Anwar: UMNO Yang Bengong!

Hari semalam Mahathir dengan ketakutan/phobianya terhadap Anwar mengatakan 
Kerajaan tidak benarkan Anwar menerima rawatan di luar negara kerana takut 
Anwar ambil suaka politik di luar negara. Itu cakap Mahathir. Pada pandangan 
saya, jika kes jenayah macam Anwar itu benar dan dia memang bersalah, jika 
dia keluar jauh dari bumi Malaysia ni lagi bagus. Buat apa simpan 
warganegara semacam ini, buat malu aje! Kes rasuah Anwar pula bukannya telah 
menghilangkan berjuta-juta ringgit Malaysia. Malah bukti pun tak ada! Oleh 
itu apa yang nak di takutkan. Jika dia minta suaka di luar negara sekalipun, 
tak rugi apa benda pun. Tetapi kenapa Mahathir takutkan itu semua? Ini 
maknanya Mahathir teramatlah sedang takutkan kuasa Anwar dan reformasi 
rakyat yang sedang membara sekarng ini.

Cakap Menteri Kesihatan dan beberapa orang doktor perubatan yang pro UMNO 
pula, mereka mengatakan Dr.Thomas telah menghina doktor-doktor di Malaysia 
ini. Tak ada cerita buat ceritalah tu! Saya juga doktor perubatan, tapi 
taklah sebodoh dan sebengong doktor-doktor proUMNO tu termasuklah Menteri 
Kesihatan yang biasa dengan mulut celupar.

Perlu saya katakan, doktor manakah yang sepatutnya menjawab kreadibiliti 
atau keupayaan doktor-doktor Malaysia untuk merawat Anwar? Menteri Kesihatan 
ke? Ketua Pengarah ke? Atau sebodoh pengarah HKL ke?  Saya sendiri pun tak 
boleh jawab kerana saya bukanlah doktor pakar bedah saraf. Oleh itu samada 
orang ramai maupun doktor-doktor Malaysia sebenarnya tidak tahu apa yang 
mereka utarakan. Jika otak bengong di sebabkan UMNO maka doktor pakar 
sepandai manapun tetap jadi bengong macam orang UMNO!
Adakah kita semua telah mendengar pandangan pakar-pakar bedah saraf dalam 
negara ini? Pakar bedah saraf dalam Malaysia ini boleh di kira dengan jari, 
cubalah tanya pandangan Mr.Ahmad Khan, Mr. Johari, Mr.Abdul Muin, Mr. Jefry, 
Mr. Ho, Prof. Ben, Mr. Halili dan yang lainnya. Jemput mereka duduk sebaris 
semeja, dengar pandangan mereka, berapakah risiko untuk membedah penyakit 
Anwar itu. Saya bukannya hendak merendahkan pakar-pakar negara kita itu, 
malah mereka pernah menjadi pensyarah saya, dan jadi boss saya jadi saya 
amat menghormati mereka. Setiap pakar ada tahap keupayaan masing-masing. 
Dalam formula one pun ada tempat no.1, no.2 dan seterusnya. Jika saya naik 
kereta dengan kelajuan 200km/jam, sudah pasti saya minta M.Schumacher atau 
M.Hakinen memandu kereta itu kerana risiko kemalangan adalah rendah. Jika 
naik motosikal tak semestinya M.Schumacher di tempat no.1 juga. Oleh itu 
setiap orang ada ‘talent’ masing-masing. Maka kita perlu hormati kehebatan 
‘talent’ mereka itu untuk kehidupan manusia sejagat.
Oleh itu tuduhan oleh Menteri Kesihatan dan beberapa doktor bengong UMNO itu 
adalah karut dan sebaliknya menghina etika kedoktoran dan profesyen 
perubatan serta hak pesakit. Jika kata-kata saya ini di sangkal, saya cabar 
tunjukkan kepada saya siapakah doktor pakar bedah saraf dan pakar bius 
Malaysia yang sanggup tampil ke depan untuk membedah Anwar? Jika Dr.Thomas 
melakukan pembedahan di sini, siapakah doktor bius yang sanggup tampil ke 
depan? Kenapa selama ini semua doktor membisu. Kerajaan dan UMNO jangan main 
tarik tali, jangan bising riuh sekampung tapi habuk pun taraa! Bila suruh 
buat nanti mulalah cari alasan itu ini. Hal anwar ini adalah amat spesifik 
dan memerlukan kepakaran dan pembedahan berisiko rendah. Perkara Anwar ini 
bukan boleh di rawat macam mekanik kereta, jika rosak lagi boleh datang lagi 
dan tukar ‘spare part’ baru. Almaklum sekali sahaja rosak tisu saraf maka 
kecacatannya adalah kekal seumur hidup.

Sekian dari saya.
Dr.Yusof MD

TEKS UCAPAN JUNJUNG KASIH DI ATAS TITAH UCAPAN
DYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI PERTUAN AGONG
OLEH YB. ABD RAHMAN BIN YUSOF
AHLI PARLIMEN KEMAMAN

….

Tuan Yang di Pertua,
Hari ini negara dibebankan dengan hutang yang amat meruncing. Pada 12hb. 
Disember 2000, Yang Berhormat dari Kota Bahru menyoal Menteri Kewangan 
berapakah jumlah hutang yang dibuat oleh sektor awam, swasta dan Kerjaan 
Persekutuan didalam dan luar negara. Jawapan yang diberikan oleh Timbalan 
Menteri Kewangan ialah pada akhir September 2000 jumlah hutang yang dibuat 
oleh sektor awam dan swasta di luar negara berjumlah RM156.9 billion 
manakala di dalam negeri pula adalah sebanyak RM625.6 billion. Kerajaan 
Persekutuan pula berhutang diluar negara berjumlah RM18.9 billion manakala 
dalam negeri adalah sebanyak RM104.8 billion.
Ini bermakna jumlah hutang sektor swasta dan awam didalam dan luar negara 
ialah sebanyak RM782.5 billion manakala Kerajaan Persekutuan pula berjumlah 
RM123.7 billion. Jumlah keseluruhan hutang yang dibuat oleh sektor awam, 
swasta serta Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM906.2 billion dan ini 
tidak termasuk lagi jaminan-jaminan yang dikeluarkan dan pinjaman-pinjaman 
yang diberikan oleh bukan institusi kewangan seperti chettiar, "loan shark" 
dengan izin dan sebagainya. Saya percaya hari ini jumlah hutang 
keseluruhannya sudah mencecah atau melebihi RM1.0 trillion. Saya ulangi 
bukan MIILION, bukan BILLION tetapi satu TRILLION ringgit.  Bila kita sebut 
trillion bermakna ada dua belas angka kosong selepas nombor didepannya. 
(RM1,000,000,000,000).
Kalau sekiranya kita mengambil kira penduduk negara berjumlah 20 juta orang 
untuk memudahkan perkiraan ini bermakna setiap rakyat Malaysia berhutang 
sebanyak lima puluh ribu ringgit (RM50,000) tiap seorang termasuk Tuan Yang 
di Pertua sendiri. Jumlah ini tidak mungkin dapat dibayar oleh generasi 
sekarang tetapi akan ditanggong oleh generasi akan datang. Bagaimana 
generasi akan datang dapat mengharungi masa depan yang gemilang sedang 
mereka sudah dibebankan dengan hutang yang begitu besar akibat daripada 
penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, rasuah dalam pelaksanaan Dasar 
Pembangunan Nasional, kesilapan pelaburan serta krisis ekonomi Asia. Kualiti 
hutang amat dicurigai dan sebahagian besar dijangka tidak dapat ditebus 
kembali. Ini menyulitkan lagi usaha untuk mencapai kadar pertumbuhan ekonomi 
yang diunjurkan.

Tuan Yang di Pertua,
Akhir-akhir ini kerajaan, sektor awam dan sektor swasta cukup gemar 
membiayai keperluan kewangan mereka melalui pengeluaran bon. Terbaru ialah 
pengeluaran bon oleh Putrajaya Holdings sebanyak RM3.2 billion untuk 
membiayai pembangunan Putrajaya sedangkan Perdana Menteri cukup berbangga 
dengan pembangunan Putrajaya yang akan hanya dibiayai oleh dana tempatan. 
Dengan penerbitan bon ini apakah ia bermakna cakap Perdana Menteri tidak 
boleh dipakai lagi atau memang bon ini hanya dipasarkan dipasaran tempatan 
sahaja.  Sekiranya benar Institusi mana yang melanggani bon ini.
Tenaga Nasional, Petronas, Danaharta dan pelbagai institusi lagi juga cuba 
memasarkan bon dipasaran antarabangsa. Bagaimana sambutan pelabur-pelabur 
luar terhadap bon-bon yang diterbitkan dari Malaysia sekarang ini. Berapa 
jumlah bon yang telah diterbitkan oleh Kerajaan, sektor awam dan sektor 
swasta baik di dalam maupun luar negeri. Dengan keadaan ekonomi negara yang 
tidak menentu, prestasi syarikat yang merosot dan pertukaran wang asing yang 
makin lemah bagaimana penerbit-penerbit bon ini dapat melunaskannya apabila 
matang nanti. Apabila negara menetapkan kadar pertukaran wang asing untuk 
US$1.0 bersamaan RM3.80 kebanyakan penerbit-penerbit bon hilang keupayaan 
untuk menyelenggara dan melunaskan bon-bon mereka. Apa keupayaan mereka 
sekiranya kerajaan terpaksa menurunkan lagi kadar pertukaran asing. Ini akan 
melumpuhkan syarikat-syarikat yang membiayai keperluan kewangan mereka 
melalui penerbitan bon yang berdominasi matawang asing.

Tuan Yang di Pertua,
Baru-baru ini Kumpulan Renong menjadualkan semula skim pelunasan bon yang 
sudah matang. Tindakan ini menyebabkan pelabur asing tidak lagi yakin dan 
berminat untuk melanggani bon-bon baru yang diterbitkan dari Malaysia. 
Sebenarnya inilah perbuatan memburukkan negara diluar negeri bukannya 
pimpinan Barisan Alternatif sepertimana yang selalu dituduh oleh pemerintah. 
Apakah penerbit- penerbit bon yang lain akan mengalami nasib yang sama. 
Berapa banyak lagi bon yang terpaksa dijadualkan semula pelunasannya dan 
syarikat mana yang terlibat. Saya difahamkan bon yang diterbitkan oleh PLUS 
akan matang pada Mei atau Jun ini. Apakah PLUS berupaya melunaskan bon ini. 
Sekiranya tidak apakah kerajaan bercadang melaksanakan skim "Bail-out" 
sekali lagi untuk menyelamatkan PLUS.
Salah satu cara kerajaan mengabui mata rakyat akan kedudukan sebenar hutang 
luar negeri ialah dengan mengklasifikasikan hutang dan bon dalam dominasi 
matawang asing tetapi bayarannya dibuat dalam ringgit.  Kerajaan biasanya 
mengklasifikasikan hutang sebegini sebagai hutang dalam negeri sedangkan ia 
adalah sebahagian dari hutang luar negeri. Berapa jumlah hutang dan bon 
dalam dominasi sebegini supaya rakyat dapat diperjelaskan kedudukan sebenar 
hutang luar negara sekarang.

Tuan Yang di Pertua,
Baru-baru ini negara dikejutkan dengan satu berita bahawa Badan Pencegah 
Rasuah berjaya memintas satu usaha oleh sekumpulan pegawai kanan Permodalan 
Usahawan Nasional Berhad untuk memasarkan bon bernilai US$5.0 billion 
bersamaan dengan RM19.0 billion dipasaran kewangan London.

Tuan Yang di Pertua,
"This amount is too big for PUNB executives to stomach" dengan izin. Jumlah 
ini terlalu besar untuk memberanikan pegawai-pegawai kanan PUNB 
menerbitkannya tanpa arahan dari pihak atasan. Apa kelulusan yang sudah 
diperolehi sehingga dapat dipasarkan dalam pasaran kewangan antarabangsa. 
Apa status kes ini sekarang. Kenapa belum ada lagi penangkapan atau 
pendakwaan terhadap mana-mana pihak. Apakah mereka mendapat perlindungan 
dari pihak-pihak tertentu. Kenapa Menteri Pembangunan Usahawan, Menteri 
Kewangan atau Perdana Menteri sendiri membisu mengenai kes ini sedangkan ia 
melibatkan jumlah yang teramat besar dan sebuah institusi Bumiputera untuk 
membantu mereka memperolehi modal supaya dapat mengembangkan lagi perniagaan 
dan perusahaan mereka.
Pelbagai tanggapan telah dibuat oleh masyarakat mengenai penerbitan bon ini 
Ada menyatakan bahawa bon ini
sudah berjaya dipasarkan dalam lingkungan US$1.0 billion bersamaan dengan 
RM3.8 billion. Apakah ini benar
atau tidak. Jumlah RM19.0 billion ini mempunyai persamaan dengan keperluan 
Kumpulan Renong untuk membuat
"debt-restructuring exercise" dengan izin sebanyak RM20.0 billion. Ia juga 
mempunyai persamaan dengan susutan
nilai aset Permodalan Nasional Berhad sebanyak hampir RM24.0 billion yang 
terpaksa ditanggong oleh lebih 4 juta
pelabur bumiputera. Apakah bon ini akan digunakan untuk keperluan oleh salah 
satu institusi ini atau apa tujuan
sebenarnya bon tersebut diterbitkan
Jadi saya mintalah diberi penjelasan yang benar dan ikhlas dan bukannya 
jawapan politik sepertimana YB Menteri Kewangan menjawab isu MAS seolah-olah 
beliau menjawab bagi pihak Tan Sri Tajuddin Ramli. Tindakan tegas perlu 
diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mengkhianati institusi PUNB untuk 
kepentingan peribadi termasuk mana-mana pepimpin atau menteri sekiranya 
mereka terlibat sekali.

Tuan yang di Pertua,
Baru-baru ini Pengerusi Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja memberi 
alasan bahawa KWSP membeli saham TimeDotCom sebagai kaedah untuk melunaskan 
hutang sebanyak RM500 juta yang dipinjamkan kepada Time Enginering Berhad 
tetapi tidak berupaya membayar balik hutang mereka. Sekiranya itulah alasan 
yang diberikan kenapa pula Bank Pembangunan memberi pinjaman sebanyak RM800 
juta kepada Time Engineering Berhad tanpa dikenakan faedah sebelum 
TimeDotCom disenaraikan. Bagaimana Bank Pembangunan menilai 
"credit-worthiness" dengan izin Time Engineering Berhad sehingga boleh 
memberi pinjaman sebanyak RM800 juta sedang ia tidak berupaya membayar balik 
hutangnya sebanyak RM500 juta kepada KWSP.
Dengan kejatuhan harga saham TimeDotCom di BSKL apakah KWSP dapat balik 
semua hutang yang dipinjamkan kepada Time Engineering Bhd. Bagaimana KWSP 
boleh memberi pinjaman kepada syarikat swasta . Apakah ia mempunyai lesen 
untuk memberi pinjaman. Apakah syarikat-syarikat lain boleh juga meminjam 
dengan KWSP.  Berapa jumlah pinjaman yang telah dikeluarkan oleh KWSP kepada 
syarikat swasta.
Selain Time Engineering Bank Pembangunan juga memberi pinjaman kepada 
Cyberjaya Holdings sebanyak RM300 juta, Putrajaya Holdings RM300 juta dan 
banyak lagi tanpa dikenakan faedah. Saya nak tahu bagaimana Bank Pembangunan 
membiayai pinjaman- pinjaman tersebut. Berapa banyak pinjaman yang telah 
dikeluarkan oleh Bank Pembangunan tanpa dikenakan faedah. Siapa yang 
menanggong kos pembiayaian sumber pinjaman tersebut.

Tuan Yang di Pertua,
Apa status muktakhir hutang syarikat Hottick Investment Incorporation 
(sebuah syarikat yang didaftarkan di Hong Kong) yang dibeli oleh Danaharta 
untuk menyelamatkannya dari diambil tindakan oleh 4 buah Bank tempatan iaitu 
Mayban, RHB Bank, Bank Bumiputera dan Bank of Commerce yang terpaksa 
menanggong kerugian sebanyak RM3.2 billion akibat dari pinjaman yang 
diberikan kepadanya untuk melabur dalam syarikat Philippine National Steel 
Inc.
Saya difahamkan bahawa Danaharta sudah menjual Philippine National Steel 
Inc. dengan harga RM100 juta sahaja. Siapa yang membelinya. Adakah pembeli 
ini tidak mempunyai kaitan dengan pemilik lama atau mereka merupakan proksi 
kepada pemilik lama. Sekiranya mereka merupakan proksi ini bermakna satu 
lagi skim "BAIL-OUT" dilaksanakan untuk mengabui mata rakyat dengan 
menggunakan wang sebanyak RM3.1 billion ringgit daripada 4 buah bank yang 
tersebut diatas.
Perlu diingatkan bahawa bank-bank tersebut sebahagiannya dimiliki oleh 
kerajaan. Ini bermakna rakyat menanggong beban kerugian akibat dari pinjaman 
yang diberikan kepada Hottick Investment Inc. Apa tindakan yang boleh 
diambil samaada oleh Danaharta, bank-bank yang tersebut diatas, kerajaan 
atau rakyat untuk mendapat kembali wang-wang tersebut daripada Hottick 
Investment Incorporation, pemiliknya atau penjaminnya.  Apakah bank-bank 
tersebut dibenarkan mengambil tindakan atau mereka mendapat imuniti dari 
Danaharta.
Saya cadangkan sebuah Badan Siasatan Bebas ditubuhkan untuk menyiasat kes 
ini demi kepentingan negara dan rakyat.

Tuan Yang di Pertua,
Akibat daripada pinjaman yang sebeginilah maka Petronas dipaksa 
menyelamatkan Bank Bumiputera sebanyak lebih dari RM5.0 billion satu ketika 
dahulu. Apa status equiti Petronas dalam pergabongan antara Bank Bumiputera 
dengan Bank Of Commerce. Berapa peratus lagi equiti Petronas yang tinggal 
dalam bank yang digabungkan iaitu Bumiputera Commerce Bank serta nilainya. 
Apakah Petronas berupaya mendapat kembali wang yang dikeluarkan untuk 
menyelamat Bank Bumiputera atau equiti Petronas sudah hangus sekarang .
Selain dari Bank Bumiputera, Petronas juga digunakan untuk menyelamatkan 
Konsortium Perkapalan syarikat milik anak Perdana Menteri sebanyak RM1.7 
billion, Proton sebanyak RM2.0 billion. Berapa jumlah hutang yang terpaksa 
ditanggong oleh Petronas dari kedua buah syarikat yang dibeli ini . Kita 
tahu hutang yang ditanggong oleh MAS sebanyak RM10.0 billion dan Indah Water 
Konsortium sebanyak RM650 juta apabila di "bail-out" oleh kerajaan tetapi 
tidak dari kedua buah syarikat yang di "bail-out" oleh Petronas ini. 
Bagaimana prestasi kedua syarikat ini sekarang.

Tuan Yang di Pertua
Penubuhan Danaharta dan Danamodal bukti wujudnya permasaalahan hutang di 
Institusi kewangan negara yang jumlah terbesarnya dipinjamkan kepada 
syarikat-syarikat kroni kepimpinan negara seperti Hottick Investment Inc., 
Time Engineering, Kumpulan Renong dan sebagainya berjumlah 
berbillion-billion ringgit . Hasilnya Bank Bumiputera dan beberapa buah bank 
lagi lumpuh dan lingkup yang kebanyakannya dimiliki oleh kepentingan 
kerajaan dan Bumiputera. Bank-bank kepunyaan bukan Bumiputera hari ini 
mempunyai kedudukan kewangan yang begitu kukuh.
Setakat ini Danaharta sudah membeli hampir atau melebihi RM50.0 billion 
"non- performing loan" dengan izin dari Institusi kewangan negara. Berapa 
jumlah sebenar yang sudah dibeli. Apakah Danaharta akan terus membeli atau 
menghadkan pembeliannya. Sekiranya ada had berapa jumlahnya. Berapa jumlah 
"non-performing loan" yang masih ditanggong oleh Institusi kewangan negara. 
Apakah Institusi ini berupaya menanggong peningkatan "non-performing loan" 
yang begitu ketara sekarang.

Tuan Yang di Pertua,
Pada sesi parlimen yang lepas saya ungkitkan isu pembelian MBf Finance 
Berhad oleh Danamodal dengan harga RM1.6 billion dan kemudiannya menawarkan 
60 peratus daripadanya bernilai RM960 juta kepada Multi Purpose Bank anak 
syarikat Malaysian Plantation Berhad dengan harga RM480 juta iaitu diskaun 
50 peratus. Malaysia Plantation Berhad sekarang ini sudah dikuasai oleh 
syarikat milik keluarga Menteri Kewangan selepas "restructuring exercise" 
yang dibuat baru-baru ini.
Semasa mesyuarat agong luar biasa Malaysian Plantation Berhad mereka menolak 
tawaran Danamodal dengan alasan harganya terlalu mahal. Selang beberapa hari 
kemudian Danamodal mengeluarkan kenyataan bahawa mereka membeli MBf Finance 
Bhd kerana ada perjanjian dan jaminan yang dibuat oleh Multi Purpose Bank 
untuk membelinya.
Bagaimana Danamodal boleh membeli MBf Finance Bhd dengan jaminan akan dibeli 
oleh Multi Purpose Bank dengan diskaun 50 peratus . Kemudian dengan diskaun 
50 peratus ini pun mereka menolak dengan alasan harganya terlalu mahal. 
Apakah ini bermakna Danamodal membeli MBf Finance Berhad dengan harga 
terlampau mahal. Bagaimana Danamodal menilai harga yang dibeli atau apakah 
mereka diarah membeli dengan harga tersebut. Bagaimana Danamodal boleh 
menawar diskaun 50 % kepada syarikat yang melibatkan kepentingan keluarga 
Menteri Kewangan. Saya harap penyiasatan dibuat terhadap penyelewengan ini.
Apa status MBf Finance Berhad sekarang. Apakah Danamodal mendapat pembeli 
lain atau masih gagal. Berapa hutang tertunggak MBf Finance Bhd yang 
terpaksa ditanggong oleh Danamodal apabila membelinya.

Tuan Yang di Pertua,
Kerajaan bercadang mengambilalih sistem pengangkutan massa atau "mass 
transit system" termasuk sistem LRT dan STAR yang mungkin melibatkan 
penggunaan wang kerajaan sebanyak RM7.0 billion. Syarikat pengendalian 
sistem pengangkutan ini terpaksa di "BAIL-OUT" kerana menghadapi masaalah 
kewangan dan ketidakupayaan untuk menyelenggara hutang-hutang yang 
ditanggong mereka. Berapa jumlah hutang-hutang yang tertunggak oleh 
syarikat-syarikat ini.

Tuan Yang di Pertua,
Saya ungkitkan isu hutang dan bon ini untuk memperingatkan kerajaan bagi 
pihak generasi yang akan menanggong akibatnya dimasa hadapan. Sekiranya 
hutang dan penerbitan bon tidak dikawal dari sekarang maka negara akan 
mengalami nasib yang sama seperti Russia. Apabila Russia menjadi ekonomi 
terbuka maka berlumba-lumbalah kerajaan, syarikat- syarikat awam dan swasta 
berhutang untuk membiayai projek-projek yang kebanyakannya menjadi "gajah 
putih" sepertimana yang berlaku di Malaysia sekarang ini. Bank-bank tempatan 
digunakan untuk membiayai projek-projek yang mana golongan elit pemerintah 
mempunyai kepentingan sama seperti yang berlaku di Malaysia. Bank-bank ini 
semuanya sudah lingkup akibat kegawatan ekonomi yang berterusan sama seperti 
bank Bumiputera dan beberapa buah bank lagi di Malaysia.
Apabila bank-bank tidak dapat lagi menampong permintaan pinjaman yang 
terlalu banyak dan besar maka diterbitlah bon-bon yang pada mulanya 
dipasarkan di pasaran kewangan antarabangsa. Apabila pelabur antarabangsa 
tidak lagi berminat dengan bon terbitan dari Russia yang menuntut pulangan 
begitu tinggi kerana berisko tinggi maka rakyat tempatan digalakkan melabur 
dalam pasaran bon melalui penerbitan bon yang dikhaskan hanya untuk rakyat 
mereka seperti bon jangka pendek GKO dan jangka panjang OFZ. Di Malaysia 
rakyat membeli bon melalui dana-dana kepunyaan mereka seperti KWSP, Tabong 
Amanah Pencen, Tabong Haji, LTAT, PNB, Amanah-amanah saham Negeri seperti 
ASDI, ASJ dan sebagainya tanpa disedari oleh mereka.
Apabila bon-bon ini tidak dapat dilunaskan maka bon baru diterbitkan untuk 
melunaskan bon yang lama dengan kadar pulangan yang makin meningkat dari 
masa ke semasa untuk terus menarik minat pelabur sehingga ke satu tahap 
bon-bon ini ditawarkan dengan pulangan sehingga 200 peratus. Pada satu 
ketika Russia terpaksa menerbitkan bon berjumlah hampir RM5.0 billion setiap 
minggu untuk membiayai pelunasan bon-bon GKO dan OFZ yang matang setiap 
minggu.
Hari ini bon-bon tersebut tidak bernilai lagi dan rakyat menjadi bankrap 
kerana ekonomi Russia tidak pulih hingga sekarang kerana menanggong terlalu 
banyak hutang. Apabila mendapat tekanan dari rakyat yang tidak berpuas hati 
dengan pemerintahan negara Presiden Yeltsin akan menukar Perdana Menteri 
baru dan menyalahkan Perdana Menteri sebelumnya atas permasaalahan yang 
timbul. Di Malaysia tidak ada Presiden, tetapi Timbalan Perdana Menteri 
selalu kena tukar dengan pelbagai tuduhan dan alasan. Jadi Timbalan Perdana 
Menteri sekarang jangan fikir kedudukan beliau selesa sangat. Perangai 
pemimpin yang sudah lanjut usia ini kronik sedikit.
Saya bimbang sekiranya bon-bon yang sudah diterbitkan tidak dapat dilunaskan 
apabila matang kerajaan akan "bail-out" melalui penerbitan bon-bon baru dan 
memaksa dana-dana tempatan kepunyaan rakyat seperti KWSP, Petronas, PNB, 
Tabong Amanah Pencen dan sebagainya melangganinya. Di waktu itu rakyat mesti 
bersedia menghadapi masa depan yang cukup gelap sepertimana yang berlaku di 
Russia hari ini sedang mereka yang bertanggongjawab mungkin tidak berkuasa 
lagi.
Saya harap saranan saya mendapat perhatian yang sangat serius oleh 
pemerintah sebelum kejadian terburuk berlaku kepada negara.

Tuan Yang di Pertua,
Apa status ucapan, perbahasan, perdebatan dan persoalan yang diungkitkan 
didalam parlimen bagi Badan Pencegah Rasuah. Pelbagai pembongkaran 
penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, dan rasuah dilakukan oleh para Yang 
Berhormat tetapi tidak adapun tindakan susulan yang dibuat oleh mereka. 
Apakah para Yang Berhormat perlu membuat laporan polis lagi sekiranya mereka 
sudah membongkar didalam parlimen ini. Tidak cukupkah dengan kenyataan rasmi 
dan hansard parlimen yang dikeluarkan setiap kali parlimen selesai bersidang 
diambil sebagai rujukan.

Tuan Yang di Pertua,
Ada seorang hamba Allah yang pada satu ketika dahulu suara dan kedudukan 
beliau amat dihormati dan disegani didalam Dewan yang mulia ini. Perjuangan 
dan keperihatinan beliau terhadap rakyat bawahan disanjungi sejak di kampus 
universiti lagi. Beliau menjadi idola pimpinan generasi muda. Suara dan 
semangat perjuangan beliau terus berkumandang dan bergentanyangan bebas 
walaupun jasad beliau terpenjara. Jasa beliau dikenangi rakyat di seluruh 
pelusuk dan ceruk negara dan di hormati di seluruh dunia. Beliau 
disingkirkan dari Dewan yang mulia ini dan dipenjarakan kerana tidak lagi 
sehaluan dengan kepimpinan tertinggi negara. Tindakan terhadap beliau 
dikesali oleh setiap insan yang prihatin erti keadilan.
Hari ini beliau terlantar dihospital dan memerlukan pembedahan pakar. 
Kesakitan beliau hidapi disyaki akibat pukulan tidak berperi kemanusiaan 
oleh bekas Ketua Polis Negara. Saya merayu kerajaan memberi segala kemudahan 
dan bantuan yang diperlukan untuk memastikan kesakitan beliau dapat diubati. 
Sekiranya kemudahan di Hospital Besar Kuala Lumpur tidak mencukupi berilah 
peluang dibedah di hospital pilihan pakar. Sekatan menggunakan hospital 
selain HBKL perlu dilonggarkan. Sekiranya pembedahan perlu dilakukan diluar 
negara izinkanlah. Jika diperlukan jaminan saya rela menggantikan tempat 
beliau di penjara Sungai Buloh. Apa yang dipinta tidak melampaui hak seorang 
rakyat yang terjamin dalam perlembagaan negara. Jasa beliau kepada rakyat 
dan negara amat besar dan perlu diambil perkiraan. Kesakitan jangan di ambil 
kesempatan untuk menderakan lagi seorang insan yang teraniaya.

Tuan Yang di Pertua,
Saya tertarik dengan luahan yang dibuat oleh Ketua Pengarang Berita Harian 
semasa perjumpaan para wartawan dengan Menteri Perpaduan Negara dan 
Kebajikan Masyarakat baru-baru ini. Menurut beliau pergaduhan kaum dapat 
dibendung dengan lebih berkesan sekiranya media dibenarkan menyalurkan 
maklumat yang tepat dan cepat.  Didalam peristiwa di Kampong Medan media 
terpaksa menunggu beberapa hari sebelum kenyataan dan cerita rasmi dapat 
disiarkan.
Begitu juga dengan pandangan Ketua Pengarang Utusan Malaysia yang merasa 
kesal dengan cara pihak berkuasa menangani penyaluran maklumat untuk 
disiarkan. Beliau menyarankan sesuatu perlu dilakukan untuk meyakinkan 
kredibiliti berita yang disiarkan.
Ketua Pengarang New Straits Time pula menyatakan "media tidak dapat 
menyiarkan Kebenaran disebabkan beberapa sekatan dan halangan yang 
dikenakan. Media dijadikan alat untuk membuat "window-dressing" dengan izin. 
Oleh kerana media terlampau banyak "downplay issues" dengan izin untuk 
mematuhi arahan maka media kehilangan kredibilti. Kredibilti media 
dipersoalkan sama seperti institusi kehakiman, polis, ahli politik dan juga 
ulamak. Ini menyebabkan rakyat Malaysia lebih beminat untuk mendapat berita 
dari Internet sebagai media alternatif. Permasaalahan perkauman tidak 
sepatutnya disorok dan media patut dibenarkan melapor kebenaran.
Ini adalah diantara luahan perasaan kekecewaan diatas pengongkongan media 
oleh kerajaan yang dibuat oleh wartawan-wartawan kanan media pro-kerajaan 
sendiri. Saya tak nak sebutlah luahan perasaan dari wartawan pro-pembangkang 
sebab mereka tak ada suratkhabar harian dan juga kerajaan akan beranggapan 
memang begitulah pandangan wartawan pro-pembangkang.
Dalam masa wartawan-wartawan ini meluahkan kekecewaan terhadap pengongkongan 
terhadap media Pemuda UMNO pula membuat laporan polis terhadap media asing 
yang menyiarkan berita mengenai peristiwa berdarah di Kampong Medan. Menteri 
Dalam Negeri pula menyekat penjualan majalah Far Eastern Economic Review. 
Dimana letaknya kebebasan media di Negara ini.
Bagaimana negara dapat menjadi sebuah negara berteknologi maklumat sedangkan 
keperluan asasnya dibendong.  Saya harap kerajaan melakukan sesuatu yang 
bermakna terhadap luahan wartawan-wartawan ini. Walaupun kita kena bantai 
setiap hari oleh akhbar mereka, ini tidak bermakna kita tidak simpati dengan 
keperluan negara untuk penyiaran maklumat yang berlandaskan kebenaran.
Saya harap juga para wartawan tidak membuat "self-censorship". Saya 
difahamkan mereka membuat "self-censorship" kerana kecewa banyak laporan 
mereka dieditkan atau tidak akan disiarkan. Untuk tidak membazir masa mereka 
melakukan "self-censorship" terutamanya isu yang diungkitkan oleh ahli-ahli 
parlimen Barisan Alternatif seperti saya.
Saya harap akhbar-akhbar lebih bertanggongjawab dalam laporan mereka. Jangan 
melakukan penganiayaan sepertimana yang berlaku terhadap Sdr. Ezam Mohd Nor, 
Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional. Beliau ditahan didalam lokap polis 
selama 8 hari diambang Hari Raya Adha kerana laporan polis yang tidak 
bertanggongjawab yang dibuat oleh Pemuda UMNO dan polis keatas berita yang 
di laporkan oleh Mingguan Malaysia. Apabila dibawa ke mahkamah beliau 
didakwa diatas pertuduhan yang tidak ada kena mengena pun dengan berita yang 
dilaporkan. Inilah tahap kebebasan media dan keadilan yang dilaksanakan 
dalam negara kita. Saya minta Menteri Dalam Negeri memberitahu apa tindakan 
yang sudah dibuat terhadap pelbagai laporan polis yang di buat oleh 
pemimpin-pemimpin Barisan Alternatif dan NGO. Setakat ini tidak ada berita 
samaada penyiasatan atau penangkapan dibuat sedangkan tindakan kilat dibuat 
apabila laporan polis diterima dari pemimpin-pemimpin Barisan Nasional.

Tuan Yang di Pertua,
Akhir-akhir ini senario peristiwa 13 Mei 1969 mula dicanang semula. Pemimpin 
negara sengaja memainkannya untuk menekan "Budaya Takut" dan melaksanakan 
"pseudo unity" atau perpaduan pura-pura. Akibatnya berlakulah peristiwa 
berdarah yang menyayat hati dan memalukan negara di Kampong Medan, Kelang 
sebuah kampong yang penuh dengan kemiskinan dan kealpaan dikelilingi oleh 
bandar-bandar mewah Petaling Jaya, Bandar Sunway, Kelana Jaya dan Subang 
Jaya.
Tidak jauh dari kampong ini pemimpin kita sibuk dengan pembangunan Kota 
Putrajaya, sebuah kota yang diberi nama jolokan "Kota Pintar Dibawah Sinaran 
Cahaya" dengan segala kemewahan dan kemegahan yang menelan belanja 
berbillion ringgit siap dengan mahligai-mahligai yang dikelilingi tasek 
indah sedang rakyat yang berjiranan dengan mereka menanggung keperitan 
kemiskinan. Inilah keprihatinan pemimpin negara terhadap kebajikan dan 
permasaalahan yang dihadapi oleh rakyat. Tak usah menuding jari kepada 
sesiapa untuk lari dari tanggongjawab mereka terhadap tragedi ini. Saya 
syorkan supaya sebuah Badan Siasatan Bebas ditubuhkan untuk mengenal pasti 
punya sebenar berlakunya peristiwa berdarah ini.
Dengan itu saya sekali lagi menjunjung kasih di atas titah ucapan ke bawah 
DYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong.
Sekian,

YB Abd Rahman Bin Yusof
Ahli Parlimen Kemaman


_________________________________________________________________________
Get Your Private, Free E-mail from MSN Hotmail at http://www.hotmail.com.


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Hoot Hoot" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke