BEKAS HAKIM WAN SULAIMAN MENINGGAL DUNIA

 

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Bekas Hakim Mahkamah Agung Tan Sri Wan Sulaiman Pawan Teh, yang terlibat dalam kontroversi membabitkan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas pada tahun 80an, meninggal dunia di Medan, Indonesia hari ini. Allahyarham berusia 73 tahun.

Adiknya, Datuk Wan Mahmood Pawanteh berkata Allahyarham Wan Sulaiman dipercayai diserang sakit jatung dan meninggal dunia pukul 5 petang.

Beliau berada di Medan untuk menyambut hari raya bersama keluarga isterinya Norhayati, kata Wan Mahmood kepada Bernama, malam ini.

Jenazah Wan Sulaiman akan diterbangkan ke Kuala Lumpur tengahari esok sebelum dibawa ke rumahnya di Jalan Ara, Bangsar dan dikebumikan pada hari yang sama.

Beliau dilantik sebagai hakim Mahkamah Agung pada 1 Jan 1985.

Wan Sulaiman digantung bersama empat lagi hakim Mahkamah Agung pada 6 Julai 1988 berikutan persidangan khas mahkamah yang menghalang sebuah tribunal daripada mengemukakan cadangan mengenai kedudukan Tun Salleh, yang ketika itu dalam penggantungan, kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pada 7 Okt 1988, Allahyarham telah dilucutkan jawatannya.

Wan Sulaiman, dilahirkan di Teluk Intan pada Mac 1926, menerima pendidikan awal di Raffles College, Singapura sebelum meneruskan pengajian undang-undang di Lincoln Inn dan dipanggil ke English Bar pada 8 Feb 1955.

Beliau menyertai Perkhidmatan Perundangan sebaik pulang dan dilantik sebagai magistret pada 22 April 1955.

Selepas itu, beliau telah berkhidmat dalam berbagai jawatan termasuk Presiden Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya, Pemangku Pegawai Undang-undang Pahang, Johor dan Selangor, Peguam Kanan Persekutan, dan pemangku Penggubal Undang-undang Parlimen.

Beliau juga pernah menjadi Peguamcara Negara pada tahun 1965 sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada Mei 1966.

Wan Sulaiman dua kali terlepas jawatan Ketua Hakim Negara -- kali pertama pada tahun 1983 apabila Tun Salleh dilantik ke jawatan itu dan sekali lagi pada tahun 1984 berikutan pelantikan Tun Abdul Hamid Omar. -- BERNAMA

Kirim email ke