*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Assalamu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Risalah ini adalah susunan Ustaz Mohd Soffean
Hj.Ismail dari Darul Ulum Alor Setar.

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha
Penyayang.
Firman ALLAH SWT dalam Surah Ali Imran ayat 123-126
yang bermaksud :
"Sesungguhnya ALLAH telah menolong kamu dalam
peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu)
orang-orang yang lemah.Kerana itu bertaqwalah kepada
ALLAH, midah-mudahan kamu bersyukur.(Ingatlah) ketika
kamu berkata kepada orang-orang yang beriman : Apakah
tidak cukup bagi kamu bahawa ALLAH membantu kamu
dengan tiga ribu malaikat yang diturunkan (dari
langit)? Ya (cukup) jika kamu bersabar dan
bertaqwa.Dan mereka datang menyerang kamu dengan
seketika itu juga, nescaya ALLAH menolong kamu dengan
lima ribu malaikat yang memakai tanda.Dan ALLAH tidak
menjadikan pemberian bantuan itu melainkan sebagai
khabar gembira bagi (kemenangan) mu, dan supaya
tenteram hatimu kerananya.Dan kemenanganmu itu
hanyalah daripada ALLAH Yang Maha Perkasa Lagi Maha
Bijaksana."

     Kedatangan Ramadhan al-Mubarak pada setiap tahun
bukan sekadar untuk menjadi kaffarah keatas dosa dan
ketelanjuran manusia serta janji keampunan dosa-dosa
yang terdahulu bagi mereka yang menunaikannya dengan
iman dan muhasabah, bahkan mengajar manusia yang
akalnya terletak di otaknya, bukan di
perutnya.Ramadhan juga mengajar kita untuk memikirkan
dengan insaf dan tawadduk tentang apa yang berlaku di
dalam peristiwa-peristiwa besar Islam yang telah
ditentukan oleh Pencipta Alam Semesta ini, ALLAHU
SUBHANAHU WA TA`ALA. 
     Justeru itu, bagi pendokong Harakah Islamiyyah,
sepatutnya menjadi manusia-manusia yang mendahului
dalam usaha memahami dan menghayati
peristiwa-peristiwa tersebut.Antara
peristiwa-peristiwa tersebut ialah Peperangan Badar
al-Kubra. 

Peperangan Badar al-Kubra
     Pada tahun kedua hijrah, semasa Rasulullah s.a.w.
di bumi al-Madinah al-Munawwarah, baginda s.a.w.
mendapat berita tentang rombongan dagangan Quraisy
yang dipimpin oleh Abu Sufyan bin Harb dalam
perjalanan pulang dari Syam membawa barangan dagangan
yang banyak.Lalu Rasulullah s.a.w. bersama-sama para
sahabat keluar dari Madinah untuk memintas rombongan
dagangan tersebut sebagai balasan terhadap harta benda
orang-orang Islam yang dirampas di Mekah.Ini akan
membawa kepada perolehan rampasan yang besar serta
mendapat kemenangan yang besar dai segi
ketenteraan,politik dan ekonomi, serta menjadi satu
tamparan hebat kepada masyarakat Quraisy.
Apabila Abu Sufyan mendapat berita kemaraan bala
tentera Islam yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w.,
beliau telah mengambil tindakan segera dengan mengubah
haluan rombongan dagangannya dan menghantar berita
kepada pembesar-pembesar Quraisy untuk mempertahankan
mereka.
Perkara tersebut akhirnya membawa kepada suatu
peperangan yang tidak dijangka-jangka oleh Rasulullah
s.a.w. dan para sahabat yang berjumlah hanya 300 lebih
orang, serta serba serbi kekurangan dari segi
kelengkapan persenjataan dan kenderaan untuk
berhadapan dengan bala tentera jahiliyyah, yang
jumlahnya hampir 1000 orang serta dengan kelengkapan
yang hebat di pagi hari Jumaat 17 Ramadhan tahun Kedua
Hijrah.
Disaat-saat yang genting itu, para sahabat
beramai-ramai menyatakan taat setia kepada Rasulullah
s.a.w. untuk berhadapan dengan bala tentera Quraisy
walaupun terpaksa bermandikan airmata dan darah demi
mempertahankan agama ALLAH.Antara ucapan pemimpin
Ansar, iaitu Saad bin Muaz,
"Demi sesungguhnya kami telah beriman kepadamu ,
percaya kepadamu, kami bersaksi bahwa apa-apa yang
kamu datangkan kepada kami itulah yang benar, dan kami
berikan atas dasar itu janji-janji dan ikatan
kesetiaan.Kami bersedia mendengar dan taat
kepadamu.Maka teruskanlah wahai Rasulullah kepada apa
sahaja yang engkau kehendaki.Maka demi Tuhan yang
membangkitkan kamu dengan kebenaran, kalau sekiranya
kamu bentangkan kepada kami laut yang luas lalu engkau
mengharunginya, nescaya kami akan mengharunginya
bersamamu, tiada seorang pun antara kami yang akan
mundur ke belakang dan tidaklah kami merasa benci
apabila engkau bertemu musuh dan kami akan bersamamu
besok.Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang sabar
di medan perang, benar mengotakan apa yang kami
katakan sekiranya bertempur dengan musuh dan
mudah-mudahan ALLAH membuktikan kepadamu daripada
kami, apa yang memuaskan hati kamu dengan melihat
sendiri apa yang kami lakukan.Marilah kita teruskan
perjalanan, mudah-mudahan ALLAH memberkati kita." 
     Ketika bala tentera ALLAH berhadapan dengan bala
tentera jahiliyyah, Rasulullah s.a.w. menadah tangan
ke langit sehingga jatuh kain selindangnya bermunajat
dan berdoa memohon pertolongan ALLAH bagi kemenangan
Islam dalam peperangan yang tidak seimbang antara
kedua belah pihak itu.Baginda berdoa :
"Ya ALLAH, Ya Tuhanku, tunaikanlah apa yang telah
engkau janjikan kepadaku. Ya ALLAH, Ya Tuhanku,
kurniakanlah apa yang dijanjikan kepadaku. Ya ALLAH,
Ya Tuhanku, jika Engkau binasakan pasukan yang kecil
ini, nescaya Engkau tidak akan lagi disembah di bumi
ini selepas ini."

    Maka bertembunglah di pagi Jumaat 17 Ramadhan
antara bala tentera ALLAH di bawah kepimpinan
Rasulullah s.a.w. dengan bala tentera jahiliyyah di
bawah kepimpinan Abu Jahal, yang membawa kepada
kemenangan di pihak bala tentera ALLAH dengan berjaya
menawan beberapa orang tawanan daripada pihak musuh
dan mendapat ghanimah yang besar. 

Al-Mustafad dan Pengajaran
1. Kepentingan agama mestilah didahului dan diutamakan
daripada segala-galanya. 
ALLAH SWT mengajar umat Islam amnya dan para pendokong
Harakah Islamiyyah melalui Badar al-Kubra, bahwa
kepentingan agama mestilah didahulukan daripada
segala-galanya samada nyawa,akal fikiran,maruah diri
mahupun harta benda, sebagaimana yang diterbit dalam
al-Maqasid as-Syar`iyah.
Badar al-Kubra ditakdirkan berlaku dalam bulan
Ramadhan, bulan umat Islam diperintah menjalani ibadah
puasa.Ini menjadi suatu isyarat yang jelas dan tegas
betapa kewajipan mempertahankan Islam mestilah
diutamakan daripada kepentingan untuk mengisi perut
masing-masing.
Benarlah firman ALLAH SWT dalam Surah at-Taubah ayat
24 yang bermaksud,
"Katakanlah : Jika sekiranya bapa-bapa kamu, anak-anak
kamu, saudara-saudara kamu, kaum keluarga kamu, harta
kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu
bimbangkan kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal
yang kamu sukai adalah lebih kamu kasihi daripada
ALLAH dan rasulNya dan berjihad pada jalanNya, maka
tunggulah sehingga ALLAH mendatangkan keputusanNya dan
ALLAH tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang
fasik."   

2. Al-Qaumiyyah atau fahaman kebangsaan (nasionalisme)
tidak boleh menjadi dasar perjuangan kepada Islam.
Dalam Badar al-Kubra, dipaparkan betapa persoalan
bangsa tidak menjadi neraca pertimbangan kepada Islam
apabila bangsa menunjukkan sikap permusuhan dan
penentangan terhadap ALLAH dan rasulNya.
Ini jelas dibuktikan oleh Rasulullah s.a.w. apabila
baginda dan para sahabat terpaksa berhadapan dengan
bangsa mereka sendiri, iaitu bangsa Quraisy yang
sebahagiannya adalah daripada kalangan kaum kerabat
masing-masing.
Firman ALLAH TA`ALA dalam Surah al-Mujaadalah ayat 22
yang bermaksud,
"Kamu tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman
kepada ALLAH dan hari Akhirat itu memberi kasih sayang
kepada orang-orang yang menentang ALLAH dan rasulNya,
sekalipun orang-orang itu bapa-bapa mereka atau
anak-anak mereka atau saudara mara mereka atau
keluarga mereka; maka mereka itulah orang-orang yang
ALLAH telah tanamkan keimanan dalam hati mereka dan
menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang
daripadaNya dan dimasukkan mereka ke dalam syurga yang
mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di
dalamnya.ALLAH redha kepada mereka dan mereka pula
redha terhadapNya, mereka itulah golongan ALLAH, demi
sesungguhnya golongan ALLAH itulah yang beruntung."

Mempertahankan bangsa ataupun kaum semata-mata secara
melulu tanpa mengambil peduli bangsa dan kaum itu
bercanggah dan menyeleweng dari Islam serta bertindak
mempertahankannya adalah dianggap asabiyyah sesat,
sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud,
"Bukan dari kalangan kita orang yang menyeru kearah
asabiyyah, bukan dari kalangan kita orang yang
berjuang di atas dasar asabiyyah, bukan dari kalangan
kita orang yang mati di atas dasar asabiyyah.Para
sahabat bertanya : Apakah dia itu asabiyyah wahai
Rasulullah? Sabda Rasulullah : Asabiyyah ialah engkau
menolong kaum engkau di atas dasar kezaliman."

….bersambung…..  

   


__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Yahoo! Shopping - Thousands of Stores. Millions of Products.
http://shopping.yahoo.com/

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: Omar AlKhatab <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke