Dia pernah tanding Presiden, mana layak suruh tanding Naib Presiden pulak. Tak standard lah konon... Angan-angan besar pulak tu.

"Kita tengoklah dulu, saya tak tahulah apa jawatan itu. Saya dok rasa saya ni gurkha sahajalah," katanya.

KU LI BELUM CADANG UNTUK BERTANDING

 

KOTA BAHARU, 6 Jan (Bernama) -- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Tengku Razaleigh Hamzah hari ini berkata beliau belum bercadang untuk bertanding mana-mana jawatan pada pemilihan parti itu Mei ini.

"Bahkan saya belum memikirkan perkara ini," kata beliau kepada pemberita di sini semasa ditanya sama ada beliau akan bertanding bagi mana-mana jawatan pada pemilihan itu.

Tengku Razaleigh berkata beliau mungkin tidak cukup kritiria untuk bertanding kalau diambil kira sesetengah pendapat bahawa jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO patut dipenuhi oleh mereka yang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri.

"Kalau itupun saya tidak dapat penuhi, barangkali jawatan-jawatan lain pun tidak dapatlah saya penuhi," katanya.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO dalam mesyuaratnya Isnin lepas sebulat suara mencadangkan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi pada pemilihan UMNO akan datang.

Pada mesyuarat itu juga MT membuat pendirian supaya Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dicalonkan semula sebagai presiden, dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dicalonkan sebagai Timbalan Presiden.

Semalam Dr Mahathir berkata terserahlah kepada semua bahagian UMNO untuk mematuhi cadangan MT itu. Bahagian mempunyai hak untuk mencalonkan sesiapa sahaja untuk jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan itu memandangkan UMNO mengamalkan demokrasi.

Tengku Razaleigh berkata beliau menyerahkan kepada keadaan semasa untuk membuat keputusan sekiranya ada bahagian yang mencalonkannya untuk bertanding.

"Kita tengoklah dulu, saya tak tahulah apa jawatan itu. Saya dok rasa saya ni gurkha sahajalah," katanya.

Beliau berkata tugasnya sekarang ialah menjalankan amanah parti termasuk menyampaikan nasihat MT supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi, kapada bahagian-bahagian.

"Saya fikir dengan nasihat daripada pihak atasan (MT) kebiasaannya pandangan dan pendirian pihak atasan itu diikuti oleh orang bawah, mungkin tidak ada orang yang berani untuk membuat pencalonan," katanya.

Tengku Razaleigh juga berkata adalah tidak baik menggunakan apa juga kemudahan termasuk wang, jentera kerajaan, kakitangan kerajaan dan agensi kerajaan untuk berkempen bagi memenangi jawatan oleh mereka yang bertanding.

"Kalau begitu, bagi orang yang ada kuasa dia dapat menggunakan segala kemudahan untuk kepentingan dia manakala orang yang tiada kedudukkan sampai bila pun tak dapat menandingi pengaruh orang yang berkedudukan dan berkuasa itu,"katanya.

-- BERNAMA

Kirim email ke