Para ilmiah negara menentang keputusan kerajaan
Monday, May 13 @ 16:47:15 MYT


Roy Rasul
KUALA LUMPUR, 13 Mei (Hrkh) -
Satu Majlis Wacana Ilmu yang dihadiri para ilmiah tertinggi negara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka menentang sekeras-kerasnya tindakan kerajaan melaksanakan pengajaran Matematik dan Sains di dalam Bahasa Inggeris.

Tiga anggota panel yang hadir dalam Majlis Wacana Ilmu bertemakan 'Manusia Melayu dalam Menghadapi Cabaran Dunia Baharu tersebut terdiri daripada Prof Dato' Dr Zainal Kling, Dato' Prof Dato' Dr Firdaus Abdullah dan Dato' Dr Sidek Fadzil.

Wacana merumuskan bahawa 'Tamadun bahasa tidak dapat membina tamadun orang lain'.

Justeru itu, wacana itu yang memfokus perbincangan mengenai buku 'Imbasan' karya Dato' Dr Hassan Ahmad anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meminta masyarakat Melayu mempertahankan identiti bahasanya.

Malah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Dato' Abdul Rahim Abu Bakar berkata walaupun DBP berasa bangga kerana dapat mengadakan Syarahan Perdana pada 8 Mei tetapi ia tidak bertahan lama dan ia ditukar dengan kemurungan.

Ini katanya akibat isu aliran Bahasa Inggeris yang hebat diperkatakan dan sekaligus meletakkan Bahasa Melayu di persimpangan.

Baru-baru ini kerajaan memutuskan untuk melaksanakan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris selain memperkenalkan Kesusasteraan Inggeris Semasa di sekolah mulai tahun depan.

Perlaksanaan mata pelajaran tersebut akan mula diajar kepada semua murid tahun satu bermula tahun hadapan.

Menyedari hal ini itu Zainal mempersoalkan perlukah bangsa Melayu merakam bahasa Inggeris dalam ilmu lalu mengganggu bahasa Melayu.

Katanya, meskipun sistem politik negara ini memberi mandat kepada pemimpin untuk berkuasa tetapi rakyat mesti bangun bercakap bagi menyatakan pemikiran yang benar.

Sehubungan itu katanya, pemimpin yang diberi kuasa tidak boleh terbalikkan mandat yang diberikan rakyat

"Kita tidak boleh lagi menjadi manusia dalam dikir barat kerana kita sekarang sudah moden," katanya sambil mengatakan bahasa keislaman yang mengiktiraf manusia.

Beliau yang mempertahan pendiriannya berkata, beliau tidak setuju kedua mata pelajaran itu mengenepikan bahasa Melayu.

"Kita akan tentang sekeras-kerasnya bagi menyatakan kaedah ilmiah dalam tamadun," katanya bersemangat.

Dalam pada itu, Firdaus ketika membincang buku tersebut berkata masalah budaya masyarakat Melayu yang sering terbuai dengan media khususnya media arus perdana yang membuatkan mereka menjadi pak turut semata-mata.

Beliau berkata, masalah perpecahan orang Melayu akibat daripada fahaman politik juga perlu dibincangkan dengan lebih mendalam.

Ini katanya banyak pencapaian yang diperoleh bangsa Melayu sedikit demi sedikit sudah terhakis.

"Contohnya, dalam bidang ekonomi bangsa kita sudah mula merosot di mana beberapa jutawan Melayu sudah tersungkur.

"Ini semua katanya di sebabkan orang Melayu sudah mula hilang sifat 'kecemburuan budaya," kata Firdaus

Firdaus juga berkata buku tersebut "wajib" dibaca oleh semua pemuda parti-parti Barisan Nasional dan Barisan Alternatif.

Sementara itu, Sidek pula berkata krisis jati diri adalah punca hilang kepercayaan kepada bahasa Melayu.

Katanya, apakah Bahasa Melayu hanya untuk bahasa bermain "batu seremban" dan ia tidak layak menjadi bahasa saintifik.

Lebih-lebih lagi katanya, selepas berlaku 'Tragedi 11 September' dunia menyaksikan kesewenangan kuasa Amerika tanpa ada sekatan dunia lain.

"Kita sedang hadapi satu kuasa di mana Amerika memaksa kemahuannya, dalam erti kata lain baik perhubungan, tetapi tidak mahu mendengar suara orang lain," katanya sambil meminta orang Melayu komited dengan bangsanya.

Selain itu beliau juga percaya Melayu boleh maju dengan bahasanya di samping menyatukan budaya dan tamadunnya.

Kirim email ke