Ganjaran di sebalik hijab

HIKMAH di sebalik pensyariatan batas-batas hijab yang dinyatakan dalam tulisan di atas ialah:

  • Memelihara kehormatan wanita dari pencerobohan.

  • Memelihara wanita dari segala bentuk eksploitasi.

  • Membolehkan wanita dinilai dari sudut intelek, ilmu, kemahiran dan keperibadian -- bukan dari sudut kecantikan dan tubuh badan.

  • Memelihara lelaki dari terjerumus ke dalam dorongan nafsunya.

  • Memelihara manusia dari terjebak dalam maksiat seperti tingkah laku lucah, pornografi, rogol, cabul, perzinaan dan seks bebas.

    Zina adalah maksiat yang besar yang dicegah oleh Islam. Allah taala berfirman yang bermaksud:

    Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya ia adalah satu kejahatan dan seburuk-buruk jalan. (Surah Al-Israq: 32)

    Keburukan zina diakui oleh semua bangsa dan agama. Sebab itulah, Islam memberatkan hukuman bagi penzina dan mengetatkan batas-batas hijab bagi menutup pintu zina.

    Matlamat tertinggi dari segala batas ini ialah mewujudkan satu kehidupan sosial yang stabil dan sejahtera. Kehidupan yang membezakan antara manusia dengan haiwan.

    Dengan mengamalkan hijab seperti yang dianjurkan, tidak menjamin kesejahteraan masyarakat 100 peratus dari maksiat yang hendak dicegahnya. Ini adalah satu perkara yang mustahil. Hatta di zaman Rasulullah saw sendiri zina dan maksiat lain tetap berlaku.

    Apa yang Islam hendak pastikan ialah meminimumkan maksiat sehingga ia tidak berleluasa seperti hari ini dan kewujudannya tidak mempengaruhi kesejahteraan sosial masyarakat. Berbanding dengan kehidupan hari ini, maksiat yang ada begitu berleluasa sehingga anak kecil tidak terselamat dari terdedah kepadanya melalui media massa dan kehidupan seharian.

    Hijab seorang wanita ialah dengan menjaga penampilan zahirnya dari sudut pakaian dan perhiasan serta tingkah laku dan gaya tubuh badan bagi mengelakkan tarikan lelaki terhadapnya dan dorongan nafsunya terhadap lelaki.

    Ada di antara perkara ini yang telah tetap, tidak berubah. Ada yang pelaksanaannya merujuk pada persekitaran dan adat dan ada pula yang wujud khilaf ulama di dalamnya.

    Dalam rangka seseorang mempunyai pilihan antara pelbagai pandangan ulama, ia mempunyai pilihan untuk memilih di antara pandangan-pandangan itu selama ia memahami dalil dan hujah di sebaliknya.

    Memang penting untuk diingatkan, agar kita tidak memilih di antara pandangan-pandangan ulama semata-mata kerana mencari kemudahan, meringan-ringan dalam beramal, kerana malu atau segan, kerana ikut-ikutan atau apa jua sebab keduniaan.

    Wanita hanya tidak berkewajipan untuk berhijab 100 peratus hanya kepada seorang lelaki yang merupakan suaminya.

  • Nota: Penulis adalah Pengurus Sekretariat Perdaus.

     

    Kirim email ke