Isteri Mahfar punyai banyak wang tunai

KUALA LUMPUR, Isnin - Adik ipar kepada Datuk Mahfar Sairan, Zakaria Abdul Rahman memberitu mahkamah, beliau tidak tahu abang iparnya ada memasukkan wang tunai RM2 juta ke dalam akaun kakaknya, Datin Faridah Abdul Rahman.

Zakaria berkata, kakaknya Faridah juga tidak pernah memberitahunya bahawa Mahfar ada memasukkan wang tunai RM1 juta dalam akaun Tabung Haji kakaknya, Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau mengakui kakaknya mempunyai banyak wang tunai dan pada satu ketika beliau ada meminjam RM50,000 untuk membeli kereta jenis Mercedes Benz.

Katanya, adik beradik perempuannya juga ada meminjam antara RM20,000 hingga RM30,000 untuk tujuan perniagaan.

Menjawab soalan peguam bela Mahfar, Muhammad Shafee Abdullah, adakah tertuduh seorang yang pemurah, Zakaria berkata: Mungkin.

Shafee: Sebagai contoh, beliau (Mahfar) membiayai ibu dan kakak awak untuk menunaikan ibadat haji?

Zakaria: Saya tidak tahu sama ada Mahfar yang bayar atau arwah kakak saya.

Shafee: Setuju atau tidak, Datuk Mahfar ada memberi kereta jenis Volvo kepada kakak awak yang bernama Enson untuk tujuan perniagaan penyediaan makanan?

Zakaria: Setuju.

Shafee: Awak juga bersetuju bahawa tertuduh ada membeli set golf; bermain golf dan membayar permainan awak?

Zakaria: Setuju.

Kepada soalan Shafee mengenai perangai arwah kakaknya, Zakaria berkata beliau beranggapan kakaknya bukan seorang yang suka bergaduh.

Katanya, beliau tidak tahu kakak mengalami masalah tekanan perasaan sebelum kematiannya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwaraya, Mohamed Hanafiah Zakaria, Zakaria berkata Mahfar pernah membawanya ke kelab malam di sebuah hotel di Desaru Johor dan pada malam itu beliau nampak tertuduh menari dengan beberapa wanita.

Sementara itu, Suhaila Abdul Rahman, adik kepada Faridah berkata Mahfar ada memberitahu bahawa beliau memohon maaf di atas kejadian berlaku pada pagi kematian kakaknya pada 24 Jun tahun lalu.

"Pada j'am lebih 7 pagi, saya nampak Mahfar masuk ke rumah melalui dapur. Selepas itu dia terus datang kepada saya dan bersalam. Dia berkata "Sorrylah Su (Suhaila), perkara ini dah terjadi". Lepas itu dia terus naik ke biliknya.

"Kira-kira 15 minit kemudian, dia panggil saya masuk ke biliknya dan berkata lagi "Sorrylah things happened, tahulah Kak Anim (Faridah)...IC (kad pengenalan), handphone (telefon bimbit) dia ambil. I am coming back to take my car, she trying to stop me (Saya kembali untuk mengambil kereta saya, tetapi dia menghalang saya).

"Mahfar beritahu saya lagi bahawa dia keluar rumah dengan memakai baju singlet saja. Lepas itu, dia kata dia akan cerita lagi pada saya apa yang berlaku," katanya.

Kepada soalan Shafee, Suhaila berkata beliau bersetuju bahawa beliau tidak boleh mengingat setiap patah perkataan yang disebut oleh Mahfar pada pagi itu.

Bagaimanapun, Suhaila tidak setuju dengan saranan Shafee bahawa beliau takut dengan kakaknya dan menafikan beliau bersama suami dan anaknya pernah diusir daripada rumah kakaknya.

Katanya, beliau ada berselisih faham dengan kakaknya tetapi memohon maaf seminggu selepas kejadian itu.

Apabila Shafee membacakan petikan dairi Faridah yang menyebut Suhaila pernah menulis surat yang agak kasar terhadap kakaknya, saksi menjawab beliau ada menulis surat itu tetapi tidak pasti tarikhnya.

Kepada satu soalan, Suhaila berkata beliau menghormati Mahfar sebagai abang iparnya tetapi tidak tahu sama ada tertuduh seorang yang baik atau tidak.

Beliau berkata demikian dalam perbicaraan terhadap Pengerusi Starhill Golf & Country Club, Mahfar, 56, yang didakwa membunuh dengan niat Faridah, 55, di Jalan Geliga, Taman Setia, Gombak, kira-kira jam 6.30 petang, 23 Jun tahun lalu.

Tertuduh yang direman di Penjara Sungai Buloh sejak 24 Ogos lalu, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok.

Kirim email ke