Pecat pekerja: Tindakan kejam

KUALA TERENGGANU, Isnin - Kakitangan Unit Perpaduan Ummah (UPU) menyifatkan tindakan kerajaan Pas Terengganu menamatkan perkhidmatan mereka, berkuat kuasa semalam, sebagai tidak berperikemanusiaan kerana ia dilakukan menjelang Aidilfitri.

Mereka menyifatkan tindakan itu bermotifkan politik dan satu penganiayaan, manakala kerajaan Pas sendiri memungkiri janjinya sebelum ini bahawa ia tidak akan menyingkirkan kakitangan kerajaan yang dianggap bukan penyokong parti itu.

Bekas Pengerusi Penyelaras UPU Hulu Terengganu, Tuan Razilah Muhamad, 41, berkata, walaupun kecewa dipecat, dia sudah menjangka perkara itu berlaku kerana Pas, dalam setiap kempen pilihan rayanya, berjanji akan membubarkan UPU jika berkuasa.

"Saya hanya terkilan dengan tindakan kerajaan Pas yang tidak mahu menilai sumbangan kakitangan UPU kepada masyarakat sebelum memutuskan untuk menyingkirkan kami. Ini satu penganiayaan," katanya.

Berita Harian hari ini melaporkan kerajaan Pas Terengganu menamatkan perkhidmatan 420 pegawai dan kakitangan UPU berkuat kuasa semalam.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Abdul Hadi Awang hari ini menjelaskan, kerajaan negeri tidak memecat 420 pegawai dan kakitangan UPU itu, sebaliknya kontrak perkhidmatan mereka tamat pada 31 Disember lalu.

"Persoalan 420 pekerja UPU dipecat tidak timbul kerana kontrak mereka tamat pada 31 Disember lalu dan kita membubarkan unit berkenaan sebaik saja kontrak mereka tamat," katanya.

Ditanya kemungkinan 420 kakitangan itu akan diserapkan semula sebagai pekerja di Unit Bina Insan (UBI) yang ditubuhkan kerajaan Pas bagi menggantikan UPU, Abdul Hadi berkata, pihaknya akan mengkaji perkara itu secara terperinci.

Sementara itu, bekas pembantu tadbir UPU Kuala Terengganu, Wan Yuzi Wan Jusoh, 30, berkata kerajaan Pas tidak sepatutnya bertindak melulu begitu hanya kerana UPU diwujudkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Saya amat sedih dengan tindakan itu kerana saya bergantung hidup kepada pekerjaan ini dengan pendapatan RM700 sebulan," katanya yang kini dalam proses berpisah dengan suaminya.

"Sebagai kerajaan yang mementingkan ajaran Islam, saya merayu kerajaan Pas mencari alternatif lain bagi membolehkan semua mereka yang dipecat dapat pekerjaan lain," katanya.

Rakannya, kerani UPU di Kuala Terengganu, Norizan Abdullah, 28, berkata, kemarahan Pas kepada kerajaan BN sepatutnya menimpa pihak atasan dan bukan sehingga menganiaya kakitangan bawahan.

"Kami hanya menurut perintah dan tidak wajar dipecat. Saya kesal kerana kerajaan Pas sebelum ini sudah berjanji tidak akan memecat kakitangan. Sekarang ini, selepas mendapat kuasa, lain pula amalan mereka," katanya.

Bekas Timbalan Pengarah UPU, Muhamad Che Su berkata, tindakan seperti itu tidak berlaku di bawah pentadbiran kerajaan BN lalu walaupun ada kakitangannya secara terang-terangan menyokong Pas.

"Saya akan cuba mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Abdul Hadi Awang supaya beliau dapat membantu mereka kehilangan pekerjaan ditempatkan ke jabatan lain," katanya.

Bekas pegawai tadbir di UPU Kuala Terengganu, Raja Ismail Raja Husin berkata, beliau memang menjangka tindakan sedemikian selepas Pas mengambil alih kuasa.

"Saya buntu apabila secara tiba-tiba kehilangan pendapatan RM1,400 sebulan dan kini menganggur," katanya.

Bekas pengerusi penyelaras UPU Kemaman, Ismail Alfalah, 65, pula menyifatkan nasib yang menimpanya itu sebagai takdir.

Bekas pekerja unit latihan UPU Kuala Terengganu, Rozilan Salleh, berkata, tindakan itu menyerlahkan agenda politik sebenar Pas.

"Saya kesal kerana sebagai kakitangan yang tidak terbabit dengan politik, tidak diberi peluang untuk meneruskan perkhidmatan di bawah kerajaan baru," katanya.

Bekas pemandu UPU Kuala Terengganu berkata, tindakan itu lebih kepada penganiayaan semata-mata kerana terlalu mengikutkan perasaan dan kehendak politik kepartian.

Kirim email ke