RAFIDAH TIDAK BERTANDING JAWATAN NAIB PRESIDEN UMNO

 

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz hari ini mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding jawatan naib presiden UMNO pada pemilihan parti Mei ini tetapi membayangkan kemungkinan bertanding untuk jawatan Ketua Pergerakan Wanita.

"Saya tidak beria-ria untuk membuat sesuatu yang lebih...bertanding jawatan naib presiden. Lupakan itu. Jika saya mahu bertanding jawatan naib presiden, saya pasti telah melakukannya lama dulu."

"Biarlah lelaki sahaja yang berlawan untuk naib presiden. Saya tidak perlu menyertainya," kata beliau ketika diminta menyatakan pendiriannya mengenai permintaan agar beliau bertanding jawatan itu.

Rafidah, yang memimpin Pergerakan Wanita selama 12 tahun sebelum tewas kepada Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman pada 1996, berkata, beliau akan melihat maklum balas ahli-ahli dan "kemungkinan membuat keputusan akhirnya jawatan mana yang hendak ditandinginya".

Rafidah berkata demikian kepada pemberita selepas menemui delegasi daripada Dewan Perniagaan dan Industri Jepun, Bangkok di sini.

Menurut beliau, kebanyakan anggota Wanita yang ditemuinya turut melahirkan perasaan yang sama agar beliau tidak bertanding jawatan naib presiden.

Ditanya mengenai cadangan agar beliau bertanding jawatan naib presiden dan bukannya Ketua Pergerakan Wanita, Rafidah berkata beliau percaya orang yang sama tidak mahu beliau bertanding jawatan Wanita itu bagi "melindungi kedudukan mereka."

"Mungkin sesetengah orang tidak mahu saya bertanding Ketua Pergerakan Wanita bagi menyelamatkan kedudukan mereka sendiri...saya tidak tahulah," katanya.

Anggota Exco Wanita, Datuk Maznah Abdul Hamid baru-baru ini menyeru Rafidah tidak bertanding bagi kepimpinan pergerakan itu dan sebaliknya perlu bersaing bagi jawatan naib presiden.

Maznah dilaporkan sebagai berkata bahawa Rafidah "terlebih layak" bagi jawan Ketua Pergerakan Wanita.

Menjawab satu soalan, Rafidah menyelar sesetengah pihak yang menyatakan perlunya menjaga perpaduan dalam Wanita UMNO terutamanya menjelang pemilihan UMNO ini.

"Apabila ada orang mahu melawan saya dulu, tidak ada orang bercakap tentang perpaduan, apabila ada yang membuat keputusan melawan saya, mereka berhenti bercakap tentang perpaduan, mereka kata ini demokratik.

"Orang mempunyai alasan mereka sendiri untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan pemikiran mereka ketika itu. Kenapa mereka tidak memikirkan tentang ini apabila mereka membuat keputusan bertanding jawatan Wanita tiga tahun lepas," katanya.

"Perpaduan perlu dikekalkan setiap masa tetapi mereka mempunyai anggapan berbeza dulu, untuk menyesuaikan dengan kepentingan sendiri, matlamat sendiri. Itulah yang saya dapat lihat," katanya.

Pada masa yang sama, Rafidah mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang memuji beliau dan mencadangkan agar beliau bertanding jawatan lebih tinggi dalam parti.

Beliau juga mengingatkan pemimpin parti agar tidak melebihi batas dalam kempen mereka atau mengubah pemilihan parti menjadi medan perang yang mungkin memecahkan parti itu.

"Apa gunanya menjadi pemimpin jika parti itu tinggal untuk menjadi lemah. Apa gunanya menjadi pemimpin jika parti kita kalah dalam pilihanraya di tempat yang tidak sepatutnya kita kalah? Tidak ada gunanya menjadi pemimpin pada nama sahaja.

"Kita hanya gembira jika kita menjadi pemimpin sebuah parti yang kuat yang mendapat keyakinan semua pihak. Jika kita berlawan sesama sendiri, pemimpin hanya ada untuk memegang jawatan," katanya. -- BERNAMA

blue.gif

Kirim email ke