SHIKIN... menerima banyak teguran dan maklum balas daripada jejaka berbulu dada.

Lelaki berbulu dada pilihan Shikin

ASYIK Asyik... Hanya Kamu menjadi judul album solonya kali ini. Kalau kita sebut tentang irama dangdut, Shikin antara penyanyi yang tersenarai dalam barisan itu.

Pada akhir September lalu, merupakan hari bersejarah buat Shikin bila album keduanya dilancarkan di Restoran Warisan, Stesen Keretapi Tanah Melayu, Kuala Lumpur. Biarpun album Asyik Asyik... Hanya Kamu telah berada di pasaran sejak 13 September lalu.

"Shikin gembira sekali bila album solo kedua Shikin telah sempurna. Shikin puas hati dengan album ini, dan syukur alhamdulillah. Shikin pun rasa bangga bila album Shikin ini berjaya dipasarkan. Penerbit album Shikin kali ini ialah Abang Iwan.

"Abang Iwan selaku penerbit keseluruhannya. Maksudnya segala susunan muzik yang dibuat di Bandung, Sumatera itu dan di Kuala Lumpur hanya untuk memasukkan vokal sahaja, semuanya dibuat dan di bawah kuasa dan jagaan Abang Iwan.

"Proses rakaman pun tak ada masalah. Bekerja dengan Abang Iwan pun tak ada masalah. Melalui album kedua ini, konsep telah diubah. Kalau dalam album pertama dulu, konsepnya tekno dangdut, tetapi pada kali ini beralih kepada pop dangdut.

Kalau dulu rentak muziknya berat sikit, tetapi kali ini pulak menjadi lebih lembut dan banyak bunga-bunga dangdut dan bunga-bunga suara.

Konsep yang macam ini lebih komersial dan Abang Iwan juga Shikin lebih suka yang macam ini,'' demikian beritahu anak kelahiran Jelebu, Negeri Sembilan.

Shikin yang mendapat pendidikan di Sekolah Tinggi Datuk Undang Musa Al-Haj, Jelebu, Negeri Sembilan pernah memberitahu suatu ketika dulu, bahawa dia tidak berminat langsung kepada jejaka yang berbulu dada untuk dijadikan bakal suami.

Ekoran daripada kenyataannya itu, Shikin telah menerima banyak teguran dan maklum balas daripada jejaka-jejaka yang dada berbulu.

"Banyak surat yang Shikin terima. Dia orang marah sebab Shikin tak suka lelaki macam tu. Macam-macam dia kata termasuklah dia kata Shikin telah menghina orang-orang yang dada berbulu. Lepas tu, ada yang kata, dengan bulu dada tulah yang lebih menaikkan ghairah...''

Begitulah cerita gadis yang berusia 20 tahun ini sambil malu tersipu-sipu. Sambung Shikin sambil tergelak pula:

"Tapi kalau dah jodoh Shikin dengan jejaka yang dada berbulu tu juga... Shikin terima aje. Itu cuma masalah taste aje, tapi kalau dah jodoh Shikin macam tu... apa salahnya kan!

"Tapi buat masa ini, Shikin belum ada lagi kawan yang boleh dianggap sebagai special boyfriend atau kekasih. Kawan-kawan tu memang ramailah dan yang ajak Shikin bercinta pun ramai juga. Tapi dalam memilih untuk dijadikan kekasih ni, Shikin kenalah berhati-hati.

"Shikin pun ada terima lamaran melalui surat, yang mengaku dia ni seorang ahli perniagaan. Dia ada bagi gambar dan nombor telefon. Dia ajak Shikin keluar dan nak belanja Shikin makan. Tapi Shikin tak berani nak telefon dia. Maklumlah kita tak kenal dia...!''

Namun begitu, dalam pada Shikin sedang gembira dengan kelahiran album keduanya, tapi Shikin berasa terkilan. Terkilan sewaktu hari yang sepatutnya merupakan hari yang paling bahagia buat penyanyi dangdut ini sebaliknya dia berasakan hari pelancaran album keduanya tempoh hari, merupakan hari yang paling pahit sepanjang bergelar artis. Kenapa?

"Memang Shikin cukup sedih. Rasa-rasanya inilah hari yang paling pahit buat Shikin bila semua yang dirancang tak berjalan seperti yang dirancangkan. Segala perancangan dan acara yang telah disusun sejak sebulan lalu, tidak berjalan seperti yang dirancang.

"Kalau ikut perancangan memang sepatutnya acara pelancaran hari itu berjalan dengan begitu grand sekali. Tetapi apa yang berlaku adalah di sebaliknya. Shikin cukup sedih dengan kejadian ini... pihak penaja tidak menepati janji. Shikin berasa amat sedih hingga hari ini.''

Begitulah ujar Shikin sambil terlihat ada air yang tergenang di ruangan kelopak matanya

hib.gif

et2_big.jpg

Kirim email ke