BERITA MALAYSIA


November 01 , 1999 19:51PM

 

UMMI HAFILDA DIBERI IMBUHAN, KATA ANWAR

 

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Ummi Hafilda Ali mendapat suatu projek di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sebagai imbuhan untuk peranan yang dimainkannya sehingga menyebabkan Azizan Abu Bakar mereka-reka keterangan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meliwatnya, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Anwar berkata beliau tahu Ummi Hafilda mendapat projek berkenaan selepas pengurus Malaysia Airports Berhad, Tan Sri Basir Ismail memberitahunya mengenai perkara itu.

Ummi Hafilda ialah penulis surat "Perihal Salah Laku Timbalan Perdana Menteri" bertarikh 5 Ogos 1997, yang dihantar kepada Perdana Menteri bersama-sama pengakuan bersumpah Azizan bahawa dia diliwat Anwar.

Anwar berkata, Basir memberitahunya bahawa ketika Ummi Hafilda bertemu dengannya untuk membincangkan perkara itu, bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik hadir sama dan pertemuan itu diatur oleh Tun Daim Zainuddin.

Beliau berkata, Basir memang selalu melaporkan perkembangan KLIA kepadanya tetapi dalam kes itu, perkara berkenaan dibawa kepada perhatiannya memandangkan Ummi Hafilda adalah adik kepada bekas setiausaha sulit Anwar, Mohd Azmin Ali.

Anwar berkata, ketika itu Basir tahu mengenai pengedaran surat layang yang mengandungi dakwaan salah laku seksual beliau (Anwar).

Beliau berkata demikian ketika disoal peguam utamanya Christopher Fernando pada hari ketujuh pembelaan diri terhadap pertuduhan meliwat bekas pemandu peribadi isterinya, Azizan Abu Bakar, 39.

Anwar, 52, dituduh melakukan perbuatan itu bersama-sama adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, 38, di apartmen Sukma di Tivoli Villa, Bangsar di sini, pada suatu malam, pukul 7.45, antara Januari dan Mac 1993.

Sukma, seorang ahli perniagaan, juga didakwa bersubahat dengan Anwar untuk meliwat Azizan di tempat dan pada masa yang sama.

Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan pada 2 Sept 1998 atas sebab-sebab moral.

Anwar berkata, beliau juga tahu bahawa Ummi Hafilda telah menerima satu kontrak bernilai RM2 juta dari Pemadam yang diterajui Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob.

Pada peringkat ini, Timbalan Kanan Pendakwa raya Datuk Abdul Gani Patail membantah soalan itu tetapi ditolak oleh Hakim Datuk Arifin Jaka dengan alasan bahawa perkara itu relevan bagi menunjukkan pembelaan konspirasi.

Anwar berkata Azizan juga mengaku mendapat faedah atau keuntungan yang menyebabkan beliau terlanjur membuat dakwaan atas desakan Ummi Hafilda.

Kepada soalan lain, Anwar berkata Megat Junid meminta beliau menelefon isterinya, Ziela Jalil yang dikatakan terlibat dengan Ummi Hafilda dalam konspirasi itu.

"Yang Arif, Datuk Megat meminta saya membantunya menjelaskan kepada Ziela kerana beliau telah menghadapi masalah kerana penglibatan Ziela dalam komplot bersama-sama Ummi Hafilda," kata Anwar.

Anwar berkata beliau memberitahu Ziela bahawa Megat Junid juga menyifatkan Ummi Hafilda sebagai "perosak semua" dan Ziela tidak patut terlibat dalam komplot itu.

Anwar berkata, Ziela kedengaran terkejut dengan panggilan beliau dan meletakkan semua kesalahan kepada Ummi Hafilda serta memintanya tidak menyalahkannya dalam perkara itu.

Katanya, setelah disoal apakah masalah beliau, Ziela menyatakan bahawa beliau telah mendapat tahu bahawa Anwar mencercanya dan jika Anwar menjadi perdana menteri, beliau percaya suaminya, Megat Junid akan digugurkan dari kabinet.

Ketika ditanya mengenai surat yang dihantar oleh Megat Junid kepadanya, Anwar berkata surat berkenaan menunjukkan kemarahan menteri itu kerana dikritik sebagai kaki judi dan rasuah. -- BERNAMA

blue.gif

Kirim email ke