'Sheqal pernah tumbuk muka saya'

DIRINYA dikasari.

Hutang ansuran pembelian kereta terpaksa ditanggung sendiri.

Tidak cukup dengan itu, penyanyi dan pelakon Raja Ema mendakwa suaminya, Sheqal, gagal memberikannya nafkah yang mencukupi secara tetap.

Dalam sambungan perbicaraan kes tuntutan cerai taklik pasangan itu kelmarin, Raja Ema, 30 tahun, memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di Petaling Jaya, bahawa dirinya pernah ditumbuk.

"Sheqal pernah memukul saya. Sheqal tumbuk muka saya," dakwa Raja Ema atau nama sebenarnya, Raja Ema Raja Ibrahim merujuk kejadian yang seingatnya berlaku hanya sekali saja itu.

Menurut Raja Ema, yang bernikah dengan Sheqal pada 2 Mei 1993, penyanyi lagu-lagu nusantara itu bertindak demikian ketika anak sulungnya, Putera Ammar baru berusia enam bulan.

Menjawab soalan peguamnya, Ainon A. Rahman, mengenai kejadian berkenaan, Raja Ema berkata: "Memang ada kecederaan sedikit. Bagaimanapun tidaklah terlalu teruk."

Raja Ema sendiri tidak mendapatkan rawatan doktor.

Walaupun ia tidak menyebabkan lebam di muka, tindakan Sheqal atau nama sebenarnya, Shaharim Salehuddin, 34 tahun, itu meninggalkan rasa sengal-sengal, dakwa Raja Ema.

Ditanya mengenai kejadian yang mungkin berpunca daripadanya, Raja Ema menafikan pernah memaki hamun atau memukul Sheqal. Sebaliknya Sheqal hanya dimarahinya, lapor akhbar Harian Metro.

Menyentuh soal tunggakan hutang, Raja Ema berkata beliau juga terpaksa menjelaskan hutang kepada bank Kewangan Bersatu Berhad (KBB) bagi ansuran kereta jenis Proton Aeroback.

Ibu kepada dua orang anak itu mengakui menyedari tunggakan berkenaan selepas menerima saman KBB mengenai kereta berjumlah hampir RM37,400 ($16,600) bertarikh 17 Disember 1997.

"Waktu itu, saya sudah berpisah (tinggal berasingan) dengan Sheqal. Saya mohon dia memulangkan kereta kerana kami berdua tidak mampu bayar, tetapi dia tidak mahu pulangkan kereta.

"Kereta itu kemudian ditemui apabila Jabatan Pengangkutan Jalan menahan Sheqal ya ng sedang memandu di Jalan Semarak (di Petaling Jaya).

Kereta itu kemudian dijual oleh pihak bank (KBB) tapi Raja Ema mendakwa dirinya terpaksa menanggung hutang bank RM20,000 berikutan kegagalan suaminya membayar ansuran bulanan kereta itu.

Menerusi perintah mahkamah bertarikh 22 Mei 1998, Sheqal juga diarah membayar nafkah isteri dan dua anak mereka sebanyak RM2,000 sebulan.

Tetapi didakwa hanya membayar RM500 sejak ia dikuatkuasakan.

Pasangan itu dikurniakan dua orang anak, Putera Ammar, lima tahun, dan Putera Ihsan, dua tahun setengah, yang berada di bawah jagaannya sejak berpisah dengan Sheqal.

Sheqal yang tidak hadir di mahkamah kelmarin hanya diwakili peguam Fakhrul Syarie Mohd Naim Mokhtar. Menerusinya, Sheqal mendakwa keluarga Raja Ema mahukan beliau mengahwini orang kaya.

Menjawab pertanyaan itu, Raja Ema, berkata: "Saya rasa jika keluarga saya mahu, sudah lama saya berkahwin dengan orang kaya dan tidaklah saya kahwin dengan defendan."

Raja Ema juga memberitahu mahkamah beliau enggan mengikut suaminya berpindah semasa diajak berbuat demikian kerana beliau sudah tiada hati terhadapnya walaupun mereka kahwin suka sama suka.

Menurut Raja Ema, Sheqal mengajaknya berpindah dari rumah ibu saudaranya, Sukarni Jaafar, di Subang Jaya, tahun lalu.

Pelawaan itu, katanya, ditolak kerana pada masa yang sama, Raja Ema bimbang memikirkan keadaan anaknya yang menerima rawatan di Pusat Perubatan Subang Jaya ketika itu.

Sheqal, tambah Raja Ema lagi, tidak pernah memberitahunya mengenai rumah lain yang disediakan untuknya.

Sementara itu, Hakim Syarie Mohd Naim Mokhtar, turut mengeluarkan perintah notis amaran untuk Sheqal hadir pada 2 November ini bila perbicaraan disambung semula.

Jika tidak, saksi bagi pihak Raja Ema akan dipanggil memberi keterangan.

Beberapa hari lalu, perbicaraan juga tertangguh berikutan kegagalan kedua-dua pihak hadir di mahkamah.

Kirim email ke