"Sedangkan majalah lucah banyak merosakkan perangai dan budaya orang Melayu diberi (permit), kenapa kepada Harakah tidak diberi," Nik Aziz

PAS SEDIA BUAT PERUBAHAN

 

KOTA BAHARU, 8 Jan (Bernama) -- PAS bersedia membuat perubahan terhadap akhbar parti itu, Harakah, sekiranya terbukti ia menyiarkan berita yang boleh merosakkan akidah umat Islam di negara ini.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kerajaan perlu membuktikan kesilapan yang dilakukan oleh akhbar dwimingguan itu.

Beliau mahukan pertemuan antara kerajaan persekutuan dan PAS untuk membincangkan dakwaan bahawa Harakah menyiarkan berita berunsur fitnah.

Nik Aziz, yang ditemui di majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri di Kampung Pulau Melaka di sini hari ini, berkata demikian ketika mengulas amaran Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini merampas keluaran Harakah sekiranya akhbar itu dijual kepada bukan ahli PAS.

Beliau berkata kerajaan persekutuan sepatutnya memaklumkan secara jujur mengenai kesilapan yang dilakukan oleh Harakah agar tindakan mengikut peraturan dapat dilakukan.

Katanya, kerajaan persekutuan juga perlu memikirkan penerbitan majalah lain dan media perdana yang jelas boleh merosakkan akidah umat Islam.

"Sedangkan majalah lucah banyak merosakkan perangai dan budaya orang Melayu diberi (permit), kenapa kepada Harakah tidak diberi," katanya. Nik Aziz berkata sebagai sebuah negara demokrasi kerajaan harus memberi

peluang kepada parti politik mengeluarkan media sendiri dan bukannya kepada media yang berpihak kepada kerajaan sahaja.
-- BERNAMA

Kirim email ke