RAUB, 27 Sept (Bernama) -- Mahkamah
Koroner di sini hari ini diberitahu bahawa enjin helikoper Agusta
A109E Power yang membawa Ketua Kumpulan dan Pengerusi DRB-Hicom, Tan
Sri Yahaya Ahmad tidak berfungsi secara normal sebelum terhempas.
Timbalan Pengarah Bahagian Airworthiness, Jabatan
Penerbangan Awam (DCA), Suhaimi Abdul Ghani berkata enjin yang tidak
berfungsi secara normal itu tidak dapat memberikan kuasa kepada
putaran kipas helikopter berkenaan.
Katanya putaran kipas
akan membolehkan helikopter terbang tetapi apabila putaran itu
terlalu perlahan atau dalam keadaan luar biasa, kipas itu akan
terjungkit dan tidak seimbang.
"Apabila sampai ke tahap
melebihi kekuatan struktur, kipas itu akan patah," katanya kepada
Majistret Kamal Azira Hassan yang bertindak selaku Koroner pada
siasatan inkues yang masuk hari keempat hari ini.
Suhaimi
ialah saksi kelapan siasatan inkues terhadap kemalangan helikopter
yang mengorbankan Yahaya, isterinya Puan Sri Rohana Othman dan
juruterbang Mej (B) Azlizan Abdul Manas.
Inkues itu untuk
menentukan punca tragedi berkenaan, sebab dan cara kematian semua
mangsa dan sama ada kematian serta tragedi itu berlaku kerana
apa-apa perbuatan atau pengabaian yang menyalahi undang-undang.
Helikopter Agusta A109E Power itu, milik Gadek Aviation
Services Sdn Bhd, anak syarikat DRB-Hicom, terhempas pada 3 Mac
1997, di Kampung Atong, Jerangsang di Kuala Lipis, mengorbankan
Yahaya, 51, Rohana, 49, dan Azlizan, 32.
Mubashir Mansor dan
Trevor J.M Pandasian merupakan peguam pemerhati bagi pengeluar
helikopter itu, Moses Susayan dan Datuk A. Ramiah bagi pihak estet
dan keluarga Yahaya serta Rohana manakala Shakuntala Sharma pula
ialah untuk DRB-Hicom.
Semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa
Raya Mohamed Shariff Abu Samah, Abdul Ghani, 48, berkata beliau
pergi ke tempat kejadian pada 4 Mac 1997 dengan menaiki sebuah
helikopter dan ternampak bangkai pesawat itu dalam keadaan
pecah-pecah dan terbakar.
Katanya satu daripada empat bilah
kipas helikopter yang terhempas itu berada antara 200 hingga 300
meter dari tempat helikopternya mendarat dan mempunyai kesan patah.
Tiga lagi bilah kipas helikopter yang ditemui di tempat
kejadian turut mempunyai kesan patah. Bagaimanapun, tiada kesan yang
menunjukkan kesemua bilah kipas itu telah tercabut, katanya lagi.
Berdasarkan penyiasatan yang dijalankan, beliau mendapati
bilah-bilah kipas itu patah semasa helikopter berkenaan sedang
berada di udara.
Suhaimi yang berpengalaman 19 tahun bersama
DCA, turut terbabit dalam penyiasatan beberapa kes kemalangan udara
termasuk kemalangan Skyvan di Sarawak, pesawat Cessna yang membawa
bekas menteri luar Tan Sri Ghazali Shafie yang terhempas di Pahang,
pesawat Jumbo Jet Syarikat Flying Tiger di Puchong dan pesawat
Airbus MAS di Kampung Subang.
Antara bidang tugasnya di
Bahagian Airworthiness DCA ialah urusan pendaftaran pesawat,
pengeluaran kad akuan layak terbang pesawat dan pengeluaran lesen
jurutera penyenggara pesawat.
Mengenai pesawat Agusta A109E
Power itu, beliau berkata berdasarkan dokumentasi, helikopter itu
layak membuat penerbangan pada hari ia terhempas.
Suhaimi
menjelaskan perakuan layak terbang akan dikeluarkan setelah semua
proses yang membabitkan kira-kira 30 keperluan dijalankan mengikut
perundangan.
Antara syarat untuk pengeluaran perakuan layak
terbang itu termasuk ujian layak terbang dan ujian radio penerbangan
yang meliputi alat-alat navigasi serta perhubungan pada pesawat
terbabit.
Beliau berkata perakuan layak terbang bagi pesawat
Agusta A109E Power itu dikeluarkan pada 28 Dis 1996 setelah semua
keperluan teknikal dipenuhi manakala tempoh akhir bagi perakuan
layak terbang itu ialah pada 27 Dis 1997.
Siasatan inkues
itu disambung esok. -- BERNAMA
|