Assalamualaikum,

Sunday, August 7, 2011 Bulan Ramadhan ini genaplah ulangtahun Perang
Ramadhan 1393H (10 Ramadhan) ke
41<http://lambaian-islah.blogspot.com/2011/08/bulan-ramadhan-ini-genaplah-ulangtahun.html>

<http://3.bp.blogspot.com/-sMy4XxvcHkU/Tj60G5_LrqI/AAAAAAAACIc/v_ZT6IxuSao/s1600/gambar%2Bperang%2Bramadhan%2B1393H.JPG>
<http://1.bp.blogspot.com/_l3G59cptMmM/TG4jl7i9ZYI/AAAAAAAABuk/-DKewAphmFg/s1600/gambar+perang+ramadhan+1393H.JPG>


Tentera Mesir menggempur kubu Israel di Sinai

*Aqsa Syarif: Ulang Tahun Operasi Badar - Perang Ramadhan 1393H (Perang
Oktober 1973) - beberapa pengajaran*

 BULAN ini genaplah ulang tahun Perang Ramadhan 1393H (Perang Oktober 1973)
yang ke 41. Peperangan yang bermula pada 6 hingga 24 Oktober ini mempunyai
implikasi yang sangat besar. Perang yang juga dikenali sebagai perang
Ramadhan kerana bermula pada 10 Ramadhan dan Perang Yom Kippur kerana jatuh
pada hari kebesaran orang Yahudi ini telah merubah lanskap politik timur
tengah seperti hari ini.

 Peperangan ini adalah sebahagian dari usaha Mesir dan Syria untuk merebut
kembali wilayah mereka yang dijajah oleh Israel dalam Perang enam hari pada
tahun 1967 iaitu Semenanjung Sinai dan Tanah Tinggi Golan. Perang 6 hari
juga menyebabkan Jalur Gaza, Baitul Maqdis timur dan Tebing Barat di kuasai
oleh Israel sepenuhnya. Mengambil peluang dari Hari kebesaran orang Yahudi
iaitu Yom Kippur, di mana sebahagian besar tentera Israel sedang bercuti,
Mesir telah mengatur serangan mengejut. Keupayaan tentera Mesir untuk
menembusi garisan Barlev yang dianggap kebal oleh pertahanan Israel
benar-benar menjadi kejutan. Di masa yang sama tentera Syria megambil semula
sebahagian dari Tanah tinggi Golan yang dikuasai Israel. Kejayaan tentera
Mesir dan Syria tidak kekal lama kerana mereka terpaksa berundur ekoran
serangan balas oleh Israel. Bahkan ketumbukan tentera ke tiga Mesir
terkepung sepenuhnya dan bakal menghadapi kemusnahan. Israel juga mengalami
kemusnahan yang besar dengan hampir 3,000 tenteranya terbunuh dan 9,000
mengalami kecederaan. Buat pertama kalinya di dalam sejarah Israel menerima
hakikat bahawa ia sedang menghadapi satu peperangan yang sebenar, sedangkan
konflik yang berlaku dengan negara-negara Arab sebelumnya hanyalah sebuah
pertempuran. Di samping itu hampir 500 kereta kebal dan 200 pesawat udara
tentera Israel berjaya dimusnahkan oleh tentera Mesir dan Syria. Mesir dan
Syria menerima kemusnahan yang jauh lebih besar, namun kejayaan pada
peringkat awal peperangan memberi satu suntikan kepada seluruh dunia Arab
dan negara Islam terhadap kemampuan berhadapan dengan regim Zionis di medan
peperangan.

 Amerika Syarikat telah bersetuju sepenuhnya di dalam Majlis Keselamatan
Bangsa-Bangsa Bersatu supaya resolusi 338 dilaksanakan iaitu gencatan
senjata di antara kedua pihak. Ini adalah suatu yang jarang berlaku kerana
Amerika telah terbukti sepanjang konflik timur tengah tidak akan memihak
kepada keputusan Majlis Keselamatan atau Persidangan Agung PBB jika ia
dilihat merugikan Israel. Bahkan acapkali AS akan menggunakan kuasa vetonya
untuk membatalkan mana-mana resolusi yang diputuskan jika dianggap tidak
memenuhi kepentingan strategik Israel. Dalam Perang Oktober 1973, AS
mengambil pendirian yang sebaliknya. Ini ada berdasarkan kepada congakan
bahawa Israel mungkin mengalami kekalahan dan terpaksa membuat beberapa
konsesi yang menjejas kelangsungan negara zionis tersebut. Gencatan senjata
ini bagaimanapun dicabuli oleh Israel yang terus mara sehingga ke Terusan
Suez. Ini memaksa Majlis Keselamatan bersidang sehari selepas Resolusi 338
diluluskan. Resolusi 339 diluluskan untuk menguatkuasakan Resolusi 338.
Motif sebenar Amerika terbongkar apabila pada 18 Oktober Presiden Nixon
meluluskan peruntukan senjata tambahan kepada Israel disamping bantuan
kewangan sebanyak USD 2.2 bilion. Keadaan ini telah menyebabkan Arab Saudi
melakukan reaksi balas dengan mengurangkan pengeluaran petroluem sebanyak 5%
sebulan kepada AS. Embargo ini kemudiannya di lanjutkan ke atas Netherland
dan negara-negara lain mencetuskan krisis tenaga pada tahun 1973 yang
menyaksikan ekonomi Amerika terjejas teruk. Ini adalah satu contoh bahawa
negara-negara Arab mampu untuk menggunakan kuasa petrodollar untuk mencabar
hegemoni politik AS di timur tengah.

 Di masa yang sama AS telah menggunakan sitiasi perang Oktober untuk
menghapuskan ancaman Mesir ke atas Israel. Oleh kerana objektif Mesir ialah
untuk mendapatkan semula Semenanjung Sinai yang dikuasai oleh Israel, AS
telah menjadikan ia sebagai umpan supaya Mesir bersetuju untuk berdamai
dengan Israel. Presiden Sadat telah menyatakan persetujuannya untuk datang
ke Baitul Maqdis dan mencari jalan perdamaian. Kehadiran Presiden Sadat ke
Baitul Maqdis yang dikuasai Israel adalah satu isyarat pengiktirafan ke atas
negara haram Israel. Perdana Menteri Israel, Menachem Begin telah mengambil
peluang ini untuk memalukan Sadat dengan menyebut di dalam ucapannya
Mengalu-alukan kedatangan Sadat ke Baitul Makdis, ibu negara Israel ’yang
abadi’. Ucapan ini adalah merupakan satu tamparan kepada perjuangan
pembebasan Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin. Ia adalah sesuatu yang mencalar
maruah dunia Islam seluruhnya. Hasil dari rundingan diplomatik di antara
Mesir dan Israel yang di’broker’ oleh AS akhirnya membuahkan Perjanjian Camp
David pada tahun 1978. Perjanjian ini telah mengeluarkan Mesir dari
persamaan (equation) yang menentukan hala tuju konflik di Timur Tengah
khususnya yang berkaitan dengan pembebasan Bumi Palestin. Sehingga hari ini
Mesir adalah terikat dengan perjanjian untuk tidak menjejaskan keselamatan
Israel. Tindakan Mesir pada hari ini yang menutup sempadan di Rafah dan
tidak membenarkan bantuan menyeberang ke Gaza yang dikepung Israel, bahkan
menghalang rakyat Gaza masuk ke Mesir untuk mendapat rawatan adalah
sebahagian dari memenuhi syarat Perjanjian Camp David tersebut.

 6 Oktober adalah satu tarikh penting sehingga Mesir dan Syria memilihnya
sebagai tarikh untuk menyambut hari kebangsaan kedua negara. Mesir turut
memilih 6 Oktober sebagai hari angkatan Tentera Mesir. Pada 6 Oktober 1981,
dalam perbarisan tentera sempena ulang tahun perang Oktober, Presiden Sadat
mati ditembak kerana tindakannya berdamai dengan Israel dan mengiktiraf
entiti haram tersebut dianggap suatu pengkhianatan kepada umat Islam dan
agamanya.

 Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor

Pengerusi
Aqsa Syarif

Kirim email ke