Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib 
Tun Razak memberi angka mengelirukan berhubung jumlah keseluruhan pinjaman 
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional yang telah dikeluarkan kerajaan 
kepada pelajar.
 
Husam berkata angka RM43 bilion yang disebut Najib itu juga mungkin sengaja 
disebut perdana menteri untuk menakut-nakutkan rakyat.
 
"Dengan jumlah peminjam seramai 1.9 juta orang, jumlah keseluruhan pinjaman 
yang dikeluarkan sejak ia mula dikeluarkan sehingga akhir 2012 hanya berjumlah 
RM28 bilion sahaja. Bukan RM43 bilion seperti disebut.
 
"Mengapa PM sanggup memberikan angka yang silap? Adakah sengaja untuk mengeliru 
dan menakutkan rakyat jelata?," kata Husam yang juga exco kanan kerajaan 
Kelantan.  
 
Katanya lagi, kenyataan Perdana Menteri bahawa negara tidak mampu menjelaskan 
hutang RM43 bilion itu juga menunjukkan bahawa Najib tidak memahami mekanisme 
kewangan yang lazim diamalkan – termasuk dalam soal memberi perjanjian dan 
menjadual semula pinjaman.
 
Husam mengulas kenyataan Najib sebelum ini bahawa kerajaan perlu membelanjakan 
RM43 bilion jika ingin memansuhkan pinjaman melalui PTPTN.
 
Dalam kenyataannya, Husam – yang berkelulusan bidang ekonomi dari Universiti 
Malaya – turut menjelaskan kaedah yang boleh diambil Pakatan Rakyat untuk 
melunaskan jumlah hutang RM28 bilion itu, sekiranya membentuk kerajaan.
 
Katanya, jumlah berkenaan tidak semestinya dilunaskan secara keseluruhan, serta 
merta.
 
Tambahnya, Pakatan juga boleh mengambil alih pinjaman tersebut atau memberikan 
jaminan pembiayaan tahunan kepada institusi kewangan yang memberi pembiayaan 
kepada PTPTN.
 
"Antara tindakan yang boleh diambil ialah mengambil alih pinjaman PTPTN atau 
memberikan jaminan pembiayaan tahunan sama jumlah dengan tanggungan PTPTN 
kepada institusi kewangan yang memberikan pembiayaan kepada PTPTN.
 
"Dengan itu kos tahunan kepada kerajaan adalah masih dalam tahap kemampuan 
kerajaan pusat sebagaimana PTPTN mempunyai jadual pembayaran tahunan yang 
tertentu," katanya.
 
http://malaysiakini.com/news/194576 

Kirim email ke