KOTA BAHARU, 26 Dis - Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menerima peruntukan 
tambahan RM68 juta di bawah Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) bagi 
menaik taraf sistem sedia ada.

Pengerusi Kerja Raya Infrastruktur dan Alam Sekitar, Mejar (B) Anizan 
Rahman berkata jumlah terbabit merupakan tambahan daripada RM292 juta 
dari Kerajaan Pusat untuk projek AKSB.

"Antara projek terbaru yang akan dijalankan melalui peruntukan 
tambahan itu ialah penggantian paip-paip baru dalam bandar Kota 
Baharu sepanjang 35 kilometer membabitkan kos RM20 juta," katanya 
kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek pampasan kematian 
kepada dua orang balu kakitangan AKSB.

Anizam berkata projek berkenaan yang dijangka siap pada penghujung 
Februari 2007 akan meningkatkan lagi kualiti air yang dibekalkan.

"Dari segi kualiti air, kita percaya ianya semakin baik berikutan 
sudah banyak projek menggantikan paip-paip lama di samping penurunan 
aduan pengguna berkaitan masalah berkenaan," katanya.

Beliau berkata sepanjang 2005, AKSB menerima 1,500 pelbagai aduan 
berkaitan berbanding 680 sepanjang tahun ini.

"Penurunan sebanyak 55 peratus aduan ini menunjukkan perkembangan 
positif terhadap AKSB yang kini mampu membekalkan 300 juta liter air 
sehari kepada lebih 160 ribu pengguna di seluruh Kelantan," katanya.

Mengulas aduan berkaitan bekalan air yang berwarna kemerahan, beliau 
berkata masalah itu banyak berpunca dari sambungan paip komunikasi 
dengan paip utama.

"Air menjadi kotor kerana paip tersebut (komunikasi) kebanyakannya 
sudah lama dan berkarat ataupun tangki pengguna tidak dibersihkan dan 
ia adalah tanggungjawab pengguna untuk menggantikannya bukan AKSB," 
katanya.

Sementara itu, beliau juga meminta agar pengguna menjelaskan bayaran 
bekalan air berikutan tunggakan bil air sepanjang tahun 2006 kini 
berjumlah RM9 juta.//Bernama




Kirim email ke