KOTA BHARU, 19 Dis - Kelantan sekali lagi bakal mencipta sejarah 
dalam bidang seni apabila berhasrat menganjurkan Festival Filem Islam 
Antarabangsa tahun hadapan sempena program Tahun Melawat Malaysia 
2007. 

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, 
diharap festival berkenaan dihadiri penerbit-penerbit filem Islam di 
peringkat antarabangsa yang sudah lama mencipta nama. 

Menurutnya, tokoh-tokoh perfileman dunia terutamanya dari Iran akan 
dijemput menghadiri program berkenaan. 

"Dengan adanya pesta filem ini membuktikan kerajaan Kelantan tidak 
menolak peranan seni lakon dalam usaha mendidik masyarakat, selagi ia 
tidak bercanggah dengan Islam," katanya selepas merasmikan pusat 
animasi terulung di negara ini di KB Mall di sini, hari ini. 

Pusat itu dikenali sebagai Pusat Animasi Darul Digital menyediakan 
kursus jangka pendek bagi melahirkan lebih ramai karyawan dalam 
bidang berkenaan di negara ini. 

Penggerak utama projek tersebut iaitu pengarah filem terkenal Dato' 
Jamil Sulong dan isterinya Datin Rosnani Jamil. Darul Digital adalah 
anak syarikat kerajaan negeri di bawah Perbadanan Menteri Besar 
Kelantan. 

Tuan Guru Nik Abdul Aziz ketika berucap merasmikan penubuhan Darul 
Digital berharap filem-filem animasi yang bakal dilahirkan lebih 
bercorak Islam sehingga ia dapat dipasarkan ke luar negara khususnya 
negara-negara Islam. 

Menurutnya, pahlawan Melayu yang menentang penjajah seperti Mat 
Kilau, Tok Janggut dan ulama terkenal antaranya, Tok Kenali hendaklah 
digarap semula sejarah hidupnya melalui filem animasi. 

"Begitu juga sejarah pejuang-pejuang Islam Salahuddin Alayubi, 
Iskandar Zulkarnain termasuk saintis Islam juga hendaklah 
diketengahkan supaya dapat dihayati generasi sekarang," ujarnya. 

Menurutnya bakal karyawan Kelantan tidak mustahil akan menjadi 
terkenal menerusi filem animasi sekiranya mereka tekun mengikuti 
kursus yang diadakan. 

"Namun apa yang lebih penting setiap karya yang dihasilkan hendaklah 
berlandaskan Islam agar ia mampu mendidik masyarakat supaya berpegang 
teguh kepada ajaran Islam. 

"Kita berharap Darul Digital dapat membentuk syaksiah remaja di 
negeri ini sehingga dapat menonjolkan imej yang baik," katanya. 

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, 
Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato' Husam Musa berkata, 
seramai 300 pelajar bakal diambil bagi mengikuti kursus animasi. 

Katanya, setiap pelajar dikenakan bayaran RM2,500 bagi satu sesi 
kursus yang mengambil tempoh enam minggu. 

Beliau berkata, hasrat Kelantan untuk melahirkan para karyawan 
menerusi filem animasi akan berjaya sekiranya mereka tekun mendalami 
kursus yang dipelajari. 

"Ada juga yang meminta kursus berkenaan diadakan pada hujung minggu 
dan Insya-Allah kita akan cuba pertimbangkannya bagi membolehkan 
lebih ramai peserta mengikuti kursus tersebut. 

"Apa yang penting kepada kita rakyat Kelantan mampu menghasilkan 
filem animasi berimej Islam yang hebat sehingga mampu dieskport ke 
negara lain," ujarnya.//Hrkh 
 


Kirim email ke