KUALA LUMPUR 6 Dis. – Jawatankuasa Caucus Parlimen Kesamaan Gender 
menganggap langkah Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) mengenakan 
denda kepada wanita yang dianggap berpakaian menjolok mata sebagai 
mengganggu hak asasi kaum wanita.

Pengerusinya, Dr. Rozaidah Talib berkata, pakaian merupakan hak 
individu dan pihak berkuasa tempatan tidak berhak mencampuri atau 
menentukan fesyen pakaian individu.

``Banyak lagi benda lain tentang wanita yang boleh mereka bantu 
tetapi sekarang bukan mereka membantu malah menyusahkan lagi wanita.

``Tafsiran pakaian menjolok mata adalah berbeza bagi setiap orang 
jadi bagaimana MPKB hendak menentukan wanita mana yang berpakaian 
seksi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Tambahnya, langkah MPKB itu juga seperti mahu meletak semua kesalahan 
salah laku termasuk sekiranya berlakunya kes rogol, berpunca daripada 
wanita.

Akhbar tempatan semalam melaporkan Majlis Perbandaran Kota Bharu 
tidak akan bertolak ansur lagi dengan para pekerja restoran dan pasar 
raya yang berpakaian menjolok mata dan jika sabit kesalahan boleh 
didenda sehingga RM500.

Menurut Rozaidah, MPKB mempunyai hak bagi menguatkuasakan undang-
undang kecil itu tetapi mereka perlu mengambil kira hak individu.

``Kenapa perlu menguatkuasakan undang-undang yang menimbulkan 
konflik. Mereka ada kuasa, lebih baik buat yang berfaedah kepada 
semua rakyat Kelantan," katanya. //Utusan



Kirim email ke