KOTA BAHARU, 1 Dis - Emas Dinar Kelantan yang dilancarkan sejak 20 
Sept lepas sehingga kini telah mencatatkan penjualan hampir RM1 juta, 
yang menurut kerajaan negeri merupakan satu keadaan yang sangat 
memberangsangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, 
Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Negeri, Datuk Husam Musa berkata 
dengan jualan sebanyak itu, sekali gus menolak tanggapan serong 
terhadap dinar yang diperkenalkan itu.

"Kita berasa gembira kerana sudah menjual lebih sembilan kilogram 
emas yang bernilai lebih RM900,000, dan ini satu perkembangan yang 
sangat baik," katanya kepada pemberita selepas majlis akad nikah 
pasangan pengantin yang menggunakan emas dinar itu sebagai mas 
kahwin, di Kampung Belukar, Pendek di sini, hari ini.

Pasangan Nurul Jalal Abdul Wahaib Mujahid dan Shuhaida Hanim Mohamed 
Sunahe yang diijabkabulkan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik 
Abdul Aziz Nik Mat, ialah pasangan pengantin pertama di Kelantan yang 
menggunakan dinar emas sebagai mas kahwin.

Nurul Jalal, 26, seorang guru agama menyerahkan 15 keping emas dinar 
yang berharga lebih RM5,000 kepada pasangannya yang juga berusia 26, 
seorang pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Pasangan pengantin itu turut dihadiahkan suku dinar yang bernilai 
kira-kira RM80, oleh kerajaan negeri yang sebelum ini mengumumkan 
akan memberikan hadiah itu kepada 10 pasangan pengantin pertama yang 
menggunakan dinar berkenaan.

Husam juga berkata kerajaan negeri akan mengadakan seminar kebangsaan 
di Kuala Lumpur tahun depan, khusus untuk membincangkan isu emas 
dinar itu.

"Tahun depan juga sempena sambutan Keputeraan Sultan Kelantan, 
kerajaan negeri akan mengeluarkan emas dinar khas iaitu dua dinar," 
katanya.

Dinar emas yang dijual kepada umum kini dalam tiga timbangan iaitu 
seberat 1.06 gram (suku dinar), 2.12 gram (setengah dinar) dan 4.25 
gram (satu dinar) dengan ketulenan emas sebanyak 91.7 peratus yang 
dijual mengikut harga emas semasa.

Sementara itu, Nurul Jalal ketika ditemui gembira kerana hasratnya 
mahu menggunakan dinar itu untuk perkahwinannya tertunai.

"Ini untuk mengembalikan kegemilangan Islam dan merealisasikan hasrat 
kerajaan negeri dan saya rasa sangat gembira hari ini," katanya.

Dinar emas itu diedarkan oleh Permodalan Kelantan Berhad yang boleh 
didapati di 10 rangkaian pajak gadai Islam ar-Rahn di Kelantan.

Kerajaan negeri menggalakkan penggunaan dinar itu sebagai simpanan, 
mas kahwin, bayaran zakat dan hadiah.//Bernama 
  



Kirim email ke