PASIR MAS: Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan akan 
memantau projek pembangunan bermasalah di negeri ini bagi 
mengelakkannya terbengkalai sehingga menjejaskan pelaksanaannya dalam 
Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Pengarahnya, Shukry Mohd Salleh, berkata pihaknya akan mengenal pasti 
kontraktor yang bermasalah dari segi pengurusan, kewangan, bekalan 
dan tenaga kerja supaya projek yang tergendala dapat disegerakan.

"Kita akan mengkaji kedudukan projek yang masih gagal disiapkan 
walaupun selepas kontraktor terbabit diberi tempoh lanjutan untuk 
menyelesaikan masalah yang dihadapi. 

"Langkah itu dilakukan bagi membantu kontraktor terbabit walaupun 
sesuatu projek itu menjadi tanggungjawab mereka kerana kita tidak 
mahu melihat pelaksanaan projek itu terus terbengkalai.

"Sehubungan itu, JPP akan memberi tunjuk ajar dan khidmat nasihat 
supaya pembinaan projek itu dapat disegerakan," katanya selepas 
merasmikan Program Belia Benci Dadah - Anda Pilih, Peringkat Negeri 
Kelantan di sini, kelmarin.

Program anjuran Jabatan Belia dan Sukan Kelantan itu berlangsung 
selama empat hari membabitkan 46 penuntut institut pengajian tinggi 
awam yang menjadi fasilitator untuk menyedarkan belia mengenai bahaya 
dadah.

Shukry berkata, sehingga kini pelaksanaan projek RMK-9 di Kelantan 
berjalan lancar dan tidak menghadapi banyak masalah berikutan 
kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri.

"Ketika ini, ada beberapa projek yang belum dimulakan kerana JPP 
masih mengenal pasti tapak sesuai untuk dilaksanakan dan ia akan 
diatasi segera dengan kerjasama semua pihak," katanya.

Selain itu, beliau menyeru kontraktor yang sudah menyiapkan projek 
mereka, khususnya penyelenggaraan infrastruktur asas supaya segera 
mengemukakan tuntutan bayaran daripada JPP.

"Kita akan membuat bayaran serta-merta sebaik menerima tuntutan 
daripada mereka tetapi ia hendaklah disertakan dengan dokumen yang 
lengkap kerana kita mahu melihat projek itu disiapkan dengan 
cepat.//BHarian


Kirim email ke