KOTA BHARU: Seramai 5,642 golongan kurang mampu, terdiri daripada 
asnaf fakir dan miskin di Kelantan kini mendapat kemudahan rawatan 
percuma di Klinik Projek D'Raja yang mula beroperasi sejak September 
lalu.

Golongan yang menikmati kemudahan itu, penerima bantuan bulanan fakir 
miskin dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 
(Maik) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Klinik itu yang dibina hasil ilham Raja Perempuan Kelantan, Tengku 
Anis Tengku Abdul Hamid terletak di Seksyen 25, Jalan Sultan Yahya 
Petra, di sini, iaitu bersebelahan Kota Bharu Medical Centre (KBMC).

Penyelaras klinik terbabit, Dr Muhamad Sulaiman, berkata selain 
memberi perkhidmatan rawatan dan perubatan percuma kepada golongan 
miskin, klinik itu turut menawarkan perkhidmatan kepada orang ramai.

"Operasi Klinik Projek D'Raja ini berbeza berbanding klinik lain 
kerana di sini kami menyediakan rawatan, perubatan dan khidmat 
nasihat secara percuma kepada golongan fakir.

"Pesakit yang layak mendapat rawatan percuma adalah mereka yang 
mempunyai kad pengenalan khas yang dikeluarkan Maik. Bagaimanapun, 
kami turut membuka klinik ini untuk orang awam secara berbayar," 
katanya ketika ditemui di klinik berkenaan, baru-baru ini.

Dr Muhamad berkata, orang ramai dialu-alu mendapatkan rawatan di 
klinik terbabit kerana wang mereka itu kemudiannya akan digunakan 
untuk membantu golongan fakir jika mereka perlu diberi rawatan lanjut 
di hospital yang membabitkan kos tinggi.

Katanya, klinik berkenaan yang dinaungi sendiri oleh Raja Perempuan 
Kelantan menawarkan kemudahan rawatan dan perubatan selesa yang 
setaraf dengan klinik kerajaan dan swasta.

"Antara kemudahan yang tersedia di klinik ini adalah mesin ECG untuk 
jantung, mesin analisa darah, autoclave atau pencuci hama untuk 
membunuh kuman dan kemudahan lain seperti terdapat di klinik kerajaan 
dan swasta," katanya.

Beliau berkata, ketika ini Klinik Projek D'Raja Kelantan ditabdir 
sebuah jawatan kuasa yang dipengerusikan Pengarah Hospital Raja 
Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan dibantu sekumpulan doktor dari 
hospital berkenaan dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), 
Kubang Kerian, di sini.

"Kesemua doktor yang bertugas di sini adalah dari HRPZ II dan HUSM 
yang bertugas secara bergilir-gilir sambil dibantu tiga staf 
sokongan," katanya.

Dr Muhamad berkata, sehingga kini pihaknya mendapat sambutan yang 
agak menggalakkan daripada pesakit termasuk orang ramai yang 
menunjukkan peningkatan setiap bulan.

"Bagaimanapun, masih ramai yang tidak mengetahui peranan klinik ini 
memandangkan ianya masih lagi baru dibuka dan saya menjangkakan 
jumlah mereka akan meningkat apabila ia dilancarkan tidak lama lagi.

"Malah, ada juga kemungkinan orang ramai tidak datang ke klinik ini 
kerana menyangkakan ianya adalah klinik untuk golongan berstatus 
tinggi kerana kurang faham mengenai fungsinya.

"Tetapi, saya yakin masyarakat akan datang ke sini jika mendapat 
maklumat yang betul dan dihebahkan fungsinya oleh media," katanya.


FAKTA: Klinik Projek D'raja Kelantan
-Rawatan percuma untuk 5,642 pemegang kad pengenalan khas yang 
dikeluarkan Maik
-Mula beroperasi sejak 7 September lalu
-Klinik dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5 petang kecuali -
-Jumaat dan cuti am
-Penubuhannya diilhamkan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku 
Abdul Hamid
-Kos pembinaan dan operasi klinik dibiayai Raja Perempuan Kelantan
-Klinik turut dibuka kepada orang ramai secara berbayar
//BHarian

Kirim email ke